Apabila Pendidikan Diniagakan Terhadap Rakyat

Kapitalisme sebagai sebuah ideologi ciptaan manusia yang lahir daripada aqidah sekular sekali lagi telah memunculkan 1001 macam masalah di dalam kehidupan masyarakat. Perlu diketahui dan diakui bahawa kapitalisme adalah suatu cara hidup yang tidak sesuai dengan fitrah manusia.  Segala solusi yang diberikan oleh kapitalisme pastinya akan menyengsarakan masyarakat terutamanya kepada golongan bawahan. Kali ini kita dipaparkan dengan kejadian bunuh diri seorang pelajar yang bernama Kristel Tejada yang berusia 16 tahun di Filipina gara-gara kerana gagal untuk menjelaskan hutang pengajian universitinya. Inilah hasil daripada penerapan sistem yang rosak di tengah-tengah umat. Dalam bahasa mudahnya, kapitalisme mengatakan bahawa jika seseorang itu ingin menyambung pengajiannya dan menjadi cerdik pandai, maka ia mesti mempunyai wang. Pendidikan telah dijadikan sebagai barang dagangan dalam dunia kapitalisme.

Di Malaysia, isu pendidikan sentiasa menjadi topik hangat kerana golongan mahasiswa dibebankan dengan yuran pengajian yang tinggi. Kerajaan sekular yang ada hanya memberikan solusi palsu kepada rakyat melalui kewujudan PTPTN di mana pada hakikatnya para mahasiswa telah diikat dengan beban pinjaman yang bukan sahaja tinggi kosnya, malah lebih parah lagi diheret masuk ke dalam dosa besar riba. Realitinya, rakyat masih dipaksa untuk menanggung bayaran kos pendidikan. Walaupun ada sebahagian pelajar yang ditanggung oleh biasiswa tertentu, tetapi bilangannya adalah terlalu sedikit dan bukan semua rakyat diberikan hak yang sama. Ia tidak lebih hanya sekadar ingin mengaburi mata rakyat bahawa ia telah menjalankan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pemerintah.  Melalui PTPTN, kerajaan pastinya mampu mengukir senyuman dengan keuntungan yang diperolehinya saban tahun hasil daripada perniagaan yang dijalankannya dengan rakyat sendiri. Ia ibarat seorang ayah yang mengenakan bayaran kepada anak di bawah tanggungannya sendiri bagi si anak mendapatkan hak-haknya. Walhal Islam sebagai suatu ideologi yang benar telah pun menjawab seluruh persoalan kehidupan manusia termasuklah isu pendidikan sejak dari dahulu lagi. Solusi yang diberikan oleh Islam itu secara pasti adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah manusia, memuaskan aqal dan lebih jauh daripada itu akan memberikan ketenangan kepada jiwa, kerana Islam itu pada hakikatnya adalah suatu cara hidup yang datangnya daripada Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Sesuai dengan firman Allah SWT, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21) :107]. [Sila baca: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/306-sn108-pembiayaan-pendidikan–tanggungjawab-siapa]

Sumber: Kosmo, 19/03/13