Berhimpun Dalam Konteks Ruhiyyah Semata-mata Atau Dalam Ikatan Mabda Islam?
KIRA-KIRA 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mula membanjiri kota suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Sambil mengambil langkah berjaga-jaga berhubung jangkitan wabak influenza A (H1N1), bakal haji sudah mula berkumpul di kota Mekah menjelang hari wukuf di Padang Arafah. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi menggesa semua bakal haji mengambil suntikan vaksin sebelum menunaikan ibadah tersebut bagi mencegah jangkitan wabak yang boleh membawa maut itu. – AFP
Sumber: Utusan Malaysia 19/11/09
Berhimpun Dalam Konteks Ruhiyyah Semata-mata Atau Dalam Ikatan Mabda Islam?
Inilah kebesaran dan keagungan Islam yang mampu menyatukan manusia dari pelbagai penjuru dunia, berlainan bahasa, berbeza warna kulit dan sebagainya dalam suatu perhimpunan besar tahunan bagi dunia umat Islam. Umat Islam yang berhimpun itu datang dengan satu tujuan yang sama iaitu bagi melakukan ibadah haji. Para tetamu Allah ini datang dengan suatu matlamat yang sama iaitu untuk membesarkan Allah SWT. Ibadah haji yang dilakukan itu mengingatkan seluruh umat Islam bahawa mereka sebenarnya menyembah Tuhan yang satu, Allah yang Maha Esa. Mereka bernabikan nabi yang satu, Muhammad SAW. Umat Islam itu berpegang kepada kitab yang satu, Al-Quran yang suci. Mereka menghadapkan wajah mereka kepada Kaabah, kiblat yang satu. Ketika para jemaah haji ini berhimpun untuk melakukan ibadah haji mereka melakukan manasik haji yang sama. Mereka melafazkan kalimah talbiyah yang sama. Mereka memakai pakaian ihram yang sama warnanya. Ketika mereka berhimpun di Mekah itu tidak ada bezanya di antara bangsa Arab dengan bangsa Turki dan tidak ada bezanya bangsa Afrika dengan bangsa Melayu melainkan ketakwaan mereka. Alangkah besarnya keagungan dan kemuliaan yang dilimpahkan oleh Islam. Namun realitinya, perhimpunan yang mencetuskan perasaan ukhuwah Islamiyyah yang terhasil dari perlaksanaan ibadah haji ini tidak berkekalan lama kerana seperti tahun-tahun yang sebelumnya apabila selesai sahaja perhimpunan besar ini, para jemaah haji akan pulang semula ke negara masing-masing dalam keadaan mereka akan terus mengekalkan sikap dan perasaan ashobiyyah.
Apabila sampai ke negara masing-masing perasaan ashobiyyah yang diharamkan Islam itu masih tetap utuh di dalam pemikiran majoriti umat Islam dan ikatan ukuwah Islamiyah yang wujud semasa berlangsungnya perhimpunan ibadah haji itu sirna diselubungi kegelapan jahiliyyah. Maka oleh itu sewajarnya seluruh umat Islam menyedari bahawa mereka wajib bersatu di bawah naungan Daulah Islam. Selama keadaan ini masih belum tercapai maka adalah menjadi kewajiban bagi seluruh umat Islam untuk bergerak merealisasikan kesatuan bernegara ini. Jika umat Islam semasa di dalam melaksanakan ibadah haji boleh berhimpun pada masa dan tempat yang satu maka tidak ada alasan syari’ bagi umat Islam untuk tidak bernaung di bawah Daulah Khilafah. Persoalannya apakah umat Islam sudah bersedia untuk ini?