Bidaah Besar Masa Kini

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin meminta peminat memberi masa kepadanya untuk memakai tudung sepenuhnya. Siti Nurhaliza, 29, mengakui sejak pulang menunaikan ibadat haji pada 27 Disember lalu, peminat amat berharap dia memakai tudung, bukan sekadar selendang untuk menutup rambut.  “Saya harap beri sedikit masa kerana saya masih aktif dalam bidang ini (industri hiburan).  

Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) itu berkata, mungkin ada peminat membuat anggapan negatif mengenai tindakannya yang hanya memakai selendang. “Saya akui selesa memakai selendang kecuali untuk disesuaikan dengan persembahan tertentu yang perlu memakai tudung.  “Ini kerana saya tidak mahu perubahan drastik. Insya-Allah, saya akan lakukan perubahan ini secara perlahan-lahan dan harap peminat bersabar,” katanya.

Ahad lalu, seorang peminat menegur Siti Nurhaliza menerusi ruangan i-Metro dalam Metro Ahad mengatakan penyanyi itu tidak konsisten memakai tudung kerana dalam video klip, rambut ditutup, tetapi leher terdedah. Peminat terbabit turut menegur rambut penyanyi wanita nombor satu negara itu terdedah pada waktu santai.   Perkara itu juga pernah dibangkit beberapa peminat lain yang memberi pendapat jika fesyen Siti Nurhaliza sebegitu, lebih baik membuka terus tudung atau selendang kerana imej dulu lebih cantik.

Siti Nurhaliza sebelum ini pernah menyatakan dia bersedia menerima apa saja maklum balas daripada peminat mengenai penampilannya sekarang sama ada positif atau negatif. Dia berkata, tidak mahu melakukan perubahan drastik, sebaliknya dilakukan secara perlahan-lahan.

Sumber : Metro, 21/04/09

Perlaksanaan Hukum Allah SWT Secara Beransur-Ansur Merupakan Suatu Bidaah Besar Masakini.
 
Inilah kesan daripada kekalahan pemikiran umat Islam kepada serangan fikrah yang dilakukan oleh Barat ke atas Islam. Kekalahan ini mengakibatkan umat Islam secara sedar ataupun tidak telah  menerima idea sekular untuk menjadi landasan berfikir bagi menjalani kehidupan dunia mereka di saat ini. Lihatlah persoalan pemakaian tudung oleh artis popular di atas yang ditanggapi oleh ramai pihak dengan pandangan yang berbeda-beda termasuklah oleh si empunya diri. Malahan si empunyai diri juga mengeluarkan kenyataan yang tersasar dari Islam sebenarnya. Apakah memakai tudung secara sempurna itu dianggap sesuatu yang drastik? SubhanAllah. Sebagai seorang Muslim kita perlu memahami bahawa Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW untuk mengatur kehidupan manusia denganNya (aqidah dan ibadah), dengan dirinya sendiri (makanan, minuman,a khlak dan pakaian) mahupun dengan manusia yang lain (‘uqubat dan muamalat) telah mewajibkan umatnya untuk terikat sepenuhnya dengan hukum syara’ tanpa membeza-bezakan dan menangguh-nangguh perintah Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [TMQ Al Baqarah (2) :208]. 
 
Ketahuilah bahawa sesuatu yang wajib itu akan tetap wajib hukumnya tanpa ada konsep tadarruj di dalam perlaksanaannya. Begitu juga bagi sesuatu keharaman itu akan tetap haram hukumnya tanpa ada konsep beransur-ansur dalam meninggalkannya. Sebagai contoh, bolehkah kita melaksanakan solat zhuhur 1 rakaat pada permulaan perlaksanaannya kemudian ditambah menjadi 2 rakaat untuk tahun yang seterusnya , 3 rakaat untuk tahun yang selepas itu sehinggalah akhirnya sempurna 4 rakaat. Sudah pasti kita mengetahui jawapannya.

Ya, kita mengakui bahawa al-Quran turun secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun kepada Rasulullah SAW tetapi perlu diingat bahawa kini al-Quran telah sempurna turunnya dan hukum Islam itu tidak boleh dilaksanakan secara beransur-ansur sebagaimana beransur-ansurnya al-Quran itu diturunkan. Contohilah generasi sahabat yang dibina oleh Rasulullah SAW yang bersedia menjadi umat yang bersegera tunduk kepada perintah Allah SWT:

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. “[TMQ An Nuur (24) :51]. 

Para sahabat Rasulullah SAW di dalam kehidupan mereka senantiasa bersegera melaksanakan perintah Allah SWT dan rasulNya tanpa ada alasan untuk menangguhkan perintah dan larangan tersebut. Terlampau banyak kisah para sahabat yang kehidupan mereka senantiasa bersegera melaksanakan perintah Allah SWT dan rasulNya. Mereka memahami firman Allah SWT:

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa” [TMQ Ali ‘Imran (3) :133].

Suatu renungan untuk artis di atas, hayatilah kepatuhan dan ketundukan muslimah awal Islam dahulu yang telah bersegera untuk melaksanakan perintah Allah SWT yang mewajibkan khimar dan jilbab kepada mereka: “Imam Bukhari meriwayatkan dari ‘Aisyah ra berkata: ‘Semoga Allah merahmati kaum wanita yang berhijrah pertama kali ketika Allah menurunkan firmanNya,   “Dan hendaknya mereka menutup kain tudungnya sampai ke dadanya…[TMQ An Nuur (24) :31]” maka kaum wanita itu mengoyakkan kain sarung mereka (untuk dijadikan tudung) dan menutup kepala mereka dengannya.’

Bilakah lagi kita bidaah ini akan ditinggalkan?