Bisyarah (Khabar Gembira) Rasulullah (saw) kepada umat Islam
Umat Islam kini sedang menghadapi pelbagai penderitaan di seluruh pelosok dunia tanpa adanya pembelaan. Seribu satu macam masalah melanda kaum Muslimin namun penyelesaian yang hakiki bagi permasalahan tersebut tidak muncul tiba. Apa pun, di sebalik titik hitam ini kita harus yakin kepada khabar gembira (bisyarah) dari Allah (swt) akan kemenangan kaum Muslimin. Seorang Muslim sejati yang meyakini bisyarah ini akan memulakan usaha ke arahnya dan sentiasa berharap agar dia, dengan izin Allah (swt), merupakan salah seorang dari umat Islam yang berusaha memperoleh bisyarah tersebut.
Bisyarah adalah sebuah khabar gembira yang diberitakan oleh Allah (swt) kepada umat Nabi Muhammad (saw), baik melalui Al-Qur’an ataupun melalui apa yang diucapkan oleh Rasulullah (saw). Bisyarah adalah janji Allah (swt) dan ia sekali gus menjadi pembakar semangat kaum Muslimin sejak berabad lamanya. Keyakinan akan janji Allah (swt) ini tersemat kuat di dalam jiwa kaum Muslimin dan menjadi harapan di tengah-tengah keputusasaan, menjadi peringatan di saat umat kealpaan dan menjadi semangat yang tidak pernah terbatas dek waktu. Dengan bisyarah inilah kaum Muslimin berjuang dan melakarkan tinta emas dalam sejarah peradaban dunia.
Salah satu bisyarah yang telah menginspirasi kaum Muslimin adalah bisyarah Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru (ra), Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya, begitu juga al-Hakim dan disahihkan serta disepakati oleh az-Zahabi, dari Abu Qabil yang berkata,
“Ketika kami sedang bersama Abdullah bin Amr bin al-As, beliau ditanya, ‘Kota manakah yang akan dibuka terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom?’. Kemudian beliau (Abdullah) berkata, ‘Ketika kami sedang menulis di sekitar Rasulullah (saw), baginda ditanya, ‘Di antara dua kota ini yang manakah akan dibuka lebih dulu, Konstantinopel atau Rom?’ Baginda (saw) menjawab, ‘Kota Heraklius akan dibuka lebih dahulu, iaitu Konstantinopel”.
Dalam sebuah hadis yang lain berkenaan pembukaan kota Konstantinopel, Rasulullah (saw) bersabda,
«… فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ»
“Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya (yang membuka Konstantinopel)” [HR Ahmad].
Sejarah telah memperlihatkan sikap kaum Muslimin tentang bisyarah Rasul ini sehinggakan ramai dalam kalangan pemimpin umat Islam berlumba-lumba untuk menjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut. Sejarah telah mencatatkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh percubaan untuk membuka kota Konstantinopel seawal tahun 49 Hijrah lagi dengan usaha pertama dilakukan oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang telah mengamanahkan anaknya, Yazid bin Muawiyah untuk mengetuai kekuatan seramai 300 ribu tentera dengan 300 buah kapal.
Namun usaha ini gagal dan Abu Ayyub Al Anshari (ra) telah syahid dalam perjalanan ke sana. Abu Ayyub begitu meyakini bisyrah ini sehinggakan beliau telah mewasiatkan agar jasadnya dikebumikan di bawah kubu kota Konstantinopel kerana beliau ingin ‘mendengar’ derapan kaki kuda ketua yang terbaik, yang memimpin tentera yang terbaik, ketika mereka bergerak masuk ke dalam kota Konstantinopel. Akhirnya cubaan ke-7 pada tahun 857 Hijrah berhasil merealisasikan bisyarah Rasul (saw) ketika kota Konstantinopel berjaya dibuka di bawah kepimpinan Muhammad Al-Fateh. Beliau mengepung kota Konstantinopel selama 54 hari bermula pada tanggal 23 Mac 1453 dengan kekuatan tentera laut dan darat seramai 250 ribu orang.
Konstantinopel (sekarang Istanbul) yang menjadi simbol keagungan empayar Byzantine dan kaum Nasrani ketika itu, telah berjaya dibuka oleh kaum Muslimin, yang berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan bisyarah Rasulullah (saw). Dengan izin Allah (swt), Rom juga akan pasti dibuka sebagaimana janji yang terdapat dalam hadis Rasulullah (saw).
Selain itu, terdapat banyak lagi hadis tentang bisyarah yang seharusnya menjadi sumber inspirasi dan motivasi umat Islam iaitu kembalinya Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah. Antaranya;
”Rasulullah (saw) bersabda: Akan ada zaman kenabian di tengah-tengah kalian, ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang diktator (Mulkan Jabariyyatan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah). Kemudian baginda (saw) diam” [HR Ahmad dan Baihaqi dari Nu’man bin Basyir dari Hudzaifah].
Secara turutan, bentuk dan perubahan sistem pemerintahan yang telah, sedang dan akan terjadi adalah:
Pertama: Masa pemerintahan yang dipimpin langsung oleh Nabi Muhammad (saw) yang disebut sebagai masa kenabian. Tempoh ini telah pun berakhir dengan kewafatan baginda.
Kedua: Khilafah berdasarkan minhaj an-nubuwwah. Masa ini dimulai dengan berdirinya kekhilafahan Abu Bakar (ra) sampai wafatnya Ali (ra). Sebahagian ulama memasukkan pemerintahan Hasan bin Ali ke dalam zaman ini. Inilah 30 tahun masa Khilafah ala minhaj nubuwwah, seperti yang disebutkan oleh Nabi (saw) dalam hadis baginda yang lain.
Ketiga: Zaman mulkan ‘adhan (para penguasa yang menggigit), iaitu setelah kekhilafahan Hasan bin Ali sampai runtuhnya kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah menjelang abad ke-20M. Permulaan zaman ini adalah setelah berakhirnya zaman khilafah Rasyidah, atau disebut dalam hadis lain sebagai zaman raja-raja. Namun, perlu dicatat bahawa ‘raja-raja’ tersebut hanyalah pada gelaran, sedangkan sistem pemerintahan mereka masih tetap sistem Khilafah, walaupun terdapat kezaliman di dalamnya. Tetap terdapat Khalifah yang adil di dalamnya Umar bin Abdul Aziz.
Keempat: Zaman mulkan jabariyyatan (penguasa-penguasa yang memaksakan kehendak – diktator), iaitu sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah sehingga ke hari ini. Titik hitam sejarah umat Islam ini berlaku pada 28 Rejab 1342H bersamaan dengan 3 Mac 1924M, tatkala kaum kuffar penjajah yang diketuai oleh British, dengan bantuan para penguasa pengkhianat Arab dan Turki telah berjaya menghapuskan Daulah Islam (Daulah Khilafah). Pengkhianat pada waktu itu, Mustafa Kamal laknatullah ‘alaihi, telah mengumumkan berakhirnya Khilafah di Istanbul, mengepung Khalifah serta mengusirnya pada pagi hari tersebut. Zaman ini mencakupi seluruh bentuk pemerintahan di dunia Islam pada hari ini baik sistem beraja, demokrasi atau penguasaan rejim kafir ke atas kaum Muslimin.
Kelima: Khilafah ’ala minhaj nubuwwah iaitu khilafah yang mengikut jalan kenabian. Zaman ini akan muncul kembali setelah berakhirnya zaman mulkan jabariyyatan dan sistem pemerintahannya akan mengikuti jalan kenabian sebagaimana pemerintahan Khulafa’ Rasyidin.
Tiga zaman yang awal telahpun berakhir dan kini kita sedang mengharungi zaman keempat di bawah pemerintahan yang zalim (diktator), walaupun namanya demokrasi. Bagi yang mengimani hadis ini, ia pasti akan mengimani bahawa kekhilafahan di atas jalan kenabian akan pasti kembali dengan izin Allah (swt). Ia bukan sahaja meyakini, malah ia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Khilafah di atas jalan kenabian. Umat Islam di akhir zaman ini seharusnya mengimani janji Rasulullah (saw) sebagaimana generasi awal mengimani bisyarah pembukaan kota Konstantinopel dengan melakukan usaha keras ke arah itu dan tidak hanya menjadi pemerhati.
Sesungguhnya kemuliaan kaum Muslimin yang hakiki ini akan hanya tercapai apabila Daulah Khilafah, institusi politik umat Islam yang agung, kembali tertegak. Inilah yang telah dikecapi oleh kaum Muslimin terdahulu tatkala mereka hidup di bawah naungan Khilafah. Dan Insya Allah, inilah juga yang akan kita kecapi apabila institusi agung pemersatu ummah ini kembali ditegakkan. Keadilan hakiki hukum Allah akan dapat dikecapi apabila Al-Quran dan As-Sunnah kembali menjadi pengatur urusan hidup dan urusan negara. Segala kemuliaan yang hilang akan pasti kembali ke pangkuan kita. Cahaya kebaikan akan bergemerlapan, berseri, dan memancarkan sinarnya menembusi alam. Bumi umat Islam akan diselimuti dengan segala macam berkat dan rahmat dari Allah Azza wa Jalla. Ya benar, semua ini akan terjadi, dengan izin Allah (swt) tatkala Khilafah menaungi dunia untuk kedua kalinya.
Lajnah Tsaqofiyyah
Hizbut Tahrir Malaysia