Blair Adalah Penjenayah Perang Dunia Seperti Sekutu-sekutu Lainnya

tony-blairBlair tidak kesal isytihar perang Iraq

LONDON 1 Sept. – Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair berkata, beliau ‘sangat sedih’ berhubung kematian tentera British dalam perang di Iraq dan melabelkan kepimpinan Gordon Brown sebagai ‘satu bencana’ ketika melancarkan memoirnya hari ini.

Bertajuk A Journey , Blair berkata, buku tersebut menceritakan kisahnya semasa memerintah selama satu dekad dari 1997-2007, ketika beliau membongkar apa yang berlaku di sebalik pintu hitam 10 Downing Street.

Memaparkan kejadian seperti pencerobohan di Iraq, proses perdamaian Ireland Utara, pembaharuan domestik dan hubungan yang goyah dengan Menteri Kewangannya, Brown ketika itu, Blair menceritakan kisah-kisah tersebut dari pandangannya.

Perang di Iraq merupakan satu kejadian utama semasa pemerintahannya dan beliau menerusi memoirnya mendedahkan kepercayaannya terhadap konflik tersebut.

Blair berkata, beliau sangat sedih berhubung semua kematian yang berlaku termasuk melibatkan tentera Britain, sekutu mereka, penduduk awam Iraq, diplomat dan kematian lain seperti tebusan yang dibunuh.

Namun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak menyesali keputusan untuk berperang di Iraq sambil mengemukakan alasan kepada konflik berkenaan.

“Saya selalu berfikir sama ada apa yang saya lakukan ini salah. Saya minta anda renungkan sama ada saya betul,” katanya.

Menurutnya, beliau menangisi kehilangan nyawa di Iraq, namun meneruskan perang di negara itu kerana adalah menjadi satu risiko besar untuk terus membenarkan Saddam Hussein memerintah berbanding menyingkirkannya.

Blair menerusi memoirnya turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggantinya, Brown, yang disifatkan telah menyebabkan Parti Buruh kehilangan kuasa pada pilihan raya Mei lalu kerana ‘meninggalkan’ partinya, dengan memodenkan pendekatan ‘Buruh Baru’.

Katanya, tempoh tiga tahun pemerintahan Brown merupakan satu ‘bencana’ dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah satu ‘tindakan kurang bijak kerana ia memang tidak berhasil’. – AFP

Sumber: Utusan Malaysia 02/09/10

Hanyalah Khilafah sahaja yang boleh menghukum seorang penjenayah perang seperti Blair

Pada tanggal 11 September 2010, seluruh dunia akan memperingati serangan terhadap Amerika Syarikat, yang mengorbankan lebih 3000 nyawa. Semasa penaklukan Amerika Syarikat dan Britain ke atas Irak, dianggarkan 100,000 nyawa telah terkorban, jauh melebihi angka korban pada 11 September di Amerika Syarikat. Yang anehnya, semasa serangan Amerika Syarikat dan Britain ke atas Irak, faktor agama langsung tidak dikaitkan terhadap penjenayah perang yang terbabit yang bertanggungjawab menyebabkab kematian 100,000 orang di Irak, tidak seperti semasa serangan September 11.Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair adalah seorang penjenayah perang. Beliau dan sekutunya George Bush telah melancarkan perang tanpa alasan kukuh ke atas Irak.

Apa yang jelas, sistem demokrasi Barat beria-ria menghukum penjenayah perang yang dihasilkan oleh sistem diktator seperti di Irak (Saddam Hussein), Nazi (pasca Perang Dunia Kedua di Nuremburg) dan Jepun (selepas Perang Dunia Kedua). Namun, sistem demkokrasi telah gagal untuk menghukum penjenayah perang yang dihasilkannya sendiri seperti Bush dan Blair. Bukan sahaja itu, kedua-dua penjenayah ini bebas bergerak ke sana dan ke sini memberikan ucapan di serata dunia tanpa ada kekhuatiran untuk ditangkap dan diadili oleh mahkamah keadilan.

Keadaan pasti berbeza ketika muncul kesatuan dan kekuatan umat Islam dengan Khilafah. Penjenayah seperti Bush dan Blair tidak akan diberikan ruang untuk bergerak dan akan ditangkap dan diadili. Keika Perang Salib, keadaan yang sama pernah berlaku. Seorang pemimpin Perang Salib yang bernama Raymond Chatillon telah melakukan jenayah melampau terhadap umat Islam. Dia telah ditangkap oleh tentera Salahuddin dan dihukum mati kerana jenayahnya terhadap umat Islam.

Adalah merupakan perbuatan yang sia-sia sekiranya umat Islam masih mengharapkan badan-badan dunia seperti PBB, OIC atau Mahkamah Antarabangsa untuk menghukum para penjenayah perang seperti Bush dan Blair. Badan-badan tersebut dilahirkan oleh sistem yang sama yang melahirkan para penjenayah ini dan badan-badan inilah juga yang memberikan ruang kepada para penjenayah perang untuk terus melakukan jenayah mereka.