Boikot pilihan raya hanya memberi kemenangan parti kerajaan yang zalim?

Persoalan 6

Memboikot pilihan raya hanya akan memberi kemenangan kepada parti kerajaan yang zalim, kerana biasanya yang memboikot adalah pembenci kerajaan.

Jawapan:

Ya kenyataan ini memang benar, tetapi hakikat yang perlu disedari ialah parti mana pun yang menang dalam pilihan raya, semuanya akan menjadi pemerintah yang zalim apabila mereka tidak menerapkan hukum Allah. Firman-Nya:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [Al-Ma’idah (5): 45].

Kita telah pun menyaksikan di Malaysia dan di seluruh dunia bahawa parti Islam yang berjaya naik ke pemerintahan melalui jalan demokrasi, juga tidak pernah menerapkan Islam, sama seperti mana parti pemerintah yang sekular. Bahkan lebih buruk daripada itu, ada parti Islam yang naik ke pemerintahan kerana bekerjasama dan menyokong parti sekular.

Hakikatnya, tidak pernah ada apa-apa perubahan pun yang berlaku baik parti kerajaan mahu pun parti pembangkang yang menang, apatah lagi apabila dilihat dari sudut penerapan Islam. Kesemua parti, hatta parti Islam sekali pun, apabila menang, hanya menjadi penerus kepada sistem dan undang-undang kufur yang diterapkan oleh kerajaan sebelumnya. Sudah banyak bukti di depan mata bahawa parti Islam terus hanyut mengejar kemewahan duniawi, dan lebih buruk, ia memusuhi pula gerakan Islam lainnya yang ingin menegakkan agama Allah, dan yang menegur mereka.

Ini belum mengambil kira pembelotan dan pengkhianatan calon yang melompat parti dan yang menukar sokongan setelah mereka menang pilihan raya. Calon-calon ini tidak pernah mempedulikan nasib mahu pun perasaan para pengundi mereka, kerana apa yang mereka pedulikan hanyalah perut dan periuk nasi masing-masing sahaja. Demi kuasa, wang dan pangkat, mereka akan melompat dan menukar sokongan pada bila-bila masa sebagaimana yang kita saksikan kebelakangan ini.

Tidak cukupkah bukti di depan mata bagaimana tumbangnya kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Kedah, Perak, Johor, Sabah dan Melaka, semuanya kerana pembelotan dan pengkhianatan ahli parlimen dan DUN, yang asalnya menang pilihan raya atas tiket lain? Jadi, tidak ada guna dan tidak ada bezanya calon mana pun yang diundi kerana tidak ada jaminan yang mereka tidak akan belot, dan langsung tidak ada jaminan bahawa mereka akan menerapkan Islam. Kesemuanya apabila berkuasa, akan termasuk golongan yang zalim sebagaimana firman Allah (swt) dalam ayat di atas.

Justeru, jika kita menginginkan perubahan, khususnya jika ingin menyaksikan penerapan hukum Islam sepenuhnya, jalannya bukanlah melalui pilihan raya, tetapi melalui jalan thalab an-nusrah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).