Boikot pilihan raya merupakan pendirian golongan haluan kiri?

Persoalan 7

Boikot merupakan pendirian (stand) golongan haluan kiri.

Jawapan:

“Golongan kiri” atau “haluan kiri” secara umumnya merupakan istilah negatif yang cuba dikaitkan dengan golongan penentang kerajaan, golongan yang berpegang kepada sosialisme atau anarkisme. Justeru, melabel orang yang boikot sebagai berhaluan kiri hanyalah cubaan untuk memburuk-burukkan orang yang memboikot pilihan raya di mata masyarakat.

Istilah tersebut memang sering digunakan dalam politik dan kenegaraan bagi memberi stigma negatif kepada siapa sahaja yang menentang kerajaan. Sedangkan hakikatnya tidak semua penentang kerajaan itu adalah buruk atau salah.

Isu yang perlu diperhatikan di sini ialah siapakah “kerajaan” yang ditentang itu, kezaliman dan keadilan mereka, dan apakah sistem serta undang-undang yang mereka terapkan. Selain itu, faktor dan bentuk “penentangan” itu juga perlu diperhatikan. Apabila semua ini diperhatikan, barulah benar untuk mengukur sama ada golongan “berhaluan kiri” itu baik atau buruk, benar atau salah, perlu disokong atau tidak.

Jika kerajaan yang ditentang itu ialah kerajaan yang tidak sah, sebagaimana kerajaan Mustafa Kamal Ataturk, yang merampas kuasa daripada Khalifah yang sah, maka sudah pasti penentangan melawan kerajaan tersebut adalah sah, malah wajib dilakukan, kerana ia telah mengguling sebuah kerajaan yang sah dari segi syarak.

Begitu juga jika penentangan itu dilakukan terhadap kerajaan yang zalim dan korup, kerajaan yang berkiblatkan Barat, kerajaan yang menerapkan sistem dan undang-undang kufur, maka sudah pasti penentangan terhadap kerajaan seperti itu adalah sah, malah wajib dilakukan.

Jika penentangan oleh golongan yang disebut sebagai berhaluan kiri itu adalah untuk menggantikan sistem kufur yang batil kepada sistem Islam, maka penentangan itu adalah baik dan benar serta wajib disokong.

Namun jika penentangan terhadap kerajaan itu adalah untuk “memperbaiki” sistem demokrasi, untuk menegakkan sistem kapitalisme atau komunisme, atau menggantikan sistem sosialisme kepada sistem kapitalisme, atau untuk menggantikan sistem monarki dengan sistem demokrasi, atau untuk menukar sistem Islam dengan sistem kufur, maka semua penentangan ini buruk dan haram untuk dilakukan.

Manakala jika dilihat kepada bentuk penentangan pula, sekiranya bentuk penentangan itu bercanggah dengan syarak seperti menggunakan kekerasan, atau mengambil kaedah jihad dengan penafsiran yang salah, maka bentuk penentangan seperti itu adalah haram dan tidak boleh diambil.

Rasulullah (saw) dan para Sahabat merupakan golongan yang “menentang” pemerintah Quraisy dan pemerintahan Jahiliah, kerana ia merupakan pemerintahan kufur. Tujuannya ialah untuk menggantikan sistem kufur kepada sistem Islam, selain menyeru kepada pemerintah kufur untuk memeluk Islam.

Di samping itu, kita perlu faham bahawa siapa pun yang disebut sebagai golongan kanan atau berhaluan kanan, iaitu yang hakikatnya terdiri daripada pihak yang menyokong dan mendukung pemerintah yang sekular, zalim, korup, tidak berhukum dengan hukum Allah, melaksanakan polisi yang bercanggah dengan Islam, mengabaikan kepentingan rakyat, tunduk kepada Barat dan sebagainya, semua ini adalah haram, walau pun mereka menggelar diri mereka sebagai golongan kanan.

Justeru, kita tidak seharusnya terpengaruh dengan istilah tanpa melihat kepada konteks, realiti dan nas. Kerajaan yang zalim dan para penyokong mereka akan memainkan istilah seumpama ini untuk kepentingan mereka, dalam rangka memburukkan atau memberi imej negatif kepada para penentang mereka.

Jadi kita harus memahami bahawa haluan kiri atau haluan kanan, jika ia bercanggah dengan syarak, maka semuanya haram, tetapi jika bertepatan dengan syarak, maka ia adalah benar. Apabila meletakkan syarak sebagai panduan, maka kita akan memahami apakah hukum boikot pilihan raya, tanpa rasa khuatir atau terpengaruh dengan istilah.