Bolehkah Kejayaan Umat Islam Dicapai Melalui Politik Demokrasi?

(Terjemahan)

Disebabkan oleh genosid yang dahsyat di Gaza dan peranan Amerika dalam membantu serta menyokong kekejaman ini berterusan, terdapat banyak perbincangan dalam kalangan umat Islam mengenai bagaimana untuk lebih terlibat dalam politik dan bagaimana komuniti Muslim boleh berada di barisan hadapan dalam membentuk politik Amerika bagi mengubah dunia ke arah yang lebih baik. Dalam perbincangan ini, banyak yang diperkatakan tentang keterlibatan sivik, menyokong calon politik tertentu, menahan undi sebagai bentuk hukuman, serta usaha untuk mendapatkan lebih ramai Muslim atau “sekutu” dalam jawatan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Malah, terdapat perbualan dalam kalangan wanita Muslim yang dengan penuh semangat menyatakan bahawa mereka sedang membesarkan anak mereka untuk menjadi Presiden Muslim Amerika yang pertama. Semua ini digambarkan sebagai kejayaan, bukan hanya untuk Muslim di Amerika, tetapi juga bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini dianggap sebagai pelan kejayaan walaupun hakikatnya semua parti politik – sama ada biru, merah, atau hijau – menyokong entiti Zionis atau negara pelaku genosid lainnya seperti China dan India.

Dalam pilihan raya yang lalu, sebahagian umat Islam masih menyokong Parti Demokrat walaupun mereka melakukan jenayah perang yang kejam di Gaza, dengan alasan bahawa “liberal adalah sekutu kita.” Ada juga yang menyokong calon Parti Hijau, tetapi gagal mengakui sokongan parti itu terhadap negara-negara yang turut melakukan kekejaman terhadap umat Islam seperti di China dan Rusia. Tambahan pula, mereka mengabaikan hakikat bahawa entiti Zionis memainkan peranan utama dalam dasar luar Amerika Syarikat, dan sebarang janji oleh mana-mana calon presiden untuk menghentikan pembiayaan terhadap entiti ini adalah sesuatu yang mustahil. Akhirnya, terdapat juga sebilangan kecil Muslim yang menyokong Trump kerana mereka percaya bahawa dia akan menghentikan genosid (serta sebarang kemungkinan peperangan) dan dasar ekonominya memberi manfaat kepada umat Islam di Amerika. Jika calon pilihan mereka kalah, pandangan yang diberikan adalah, “kita mempunyai masa empat tahun untuk membina blok pengundi Muslim dan berusaha untuk mendapatkan lebih ramai Muslim dalam jawatan kerajaan tempatan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.” Semua strategi ini dipromosikan sebagai cara untuk mencapai kejayaan.

Namun, apakah realiti yang berlaku sejak presiden yang kononnya “anti-perang” itu mengambil alih? Hakikatnya ialah sokongan yang semakin kukuh terhadap Netanyahu dan entiti Zionis. Berbilion dolar lagi telah diperuntukkan dalam bentuk senjata untuk meneruskan rampasan tanah, penyeksaan, dan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Naib Presiden JD Vance mengapi-apikan kebencian terhadap Islam dalam lawatan terbarunya ke Eropah, dan bahkan keselamatan kewangan yang dirasakan oleh umat Islam di Amerika kini semakin terhakis dengan pemotongan dana untuk Medicare/Medicaid serta manfaat keselamatan sosial.

Walaupun keikhlasan umat Islam di Amerika tidak diragui, kerana mereka juga ingin melihat penghapusan genosid dan penjajahan di Tanah yang Diberkati, kebenarannya adalah kejayaan sebagai sebuah Ummah tidak akan tercapai jika kita terus bergantung kepada sistem buatan manusia untuk menyelesaikan masalah kita dan masalah dunia. Nabi Muhammad (saw) menolak untuk bergabung dalam sistem politik Quraisy walaupun ditawarkan kekayaan dan kuasa serta jaminan untuk menghentikan keganasan terhadap umat Islam di Mekah, kerana keutamaan baginda adalah untuk menegakkan hukum Allah (swt). Walaupun ini menyebabkan penindasan terhadap baginda dan para sahabat berterusan, namun pengorbanan mereka membuka jalan bagi Allah (swt) untuk menganugerahkan kejayaan kepada umat Islam dengan menegakkan Daulah Khilafah yang menjadikan dunia Islam sebagai cahaya petunjuk kepads seluruh manusia. Negara dan kepimpinan ini menguruskan urusan rakyatnya dengan adil serta menjadi tempat perlindungan bagi golongan yang tertindas. Para salafus soleh tidak mempunyai pandangan yang sempit atau bersifat jangka pendek, sebaliknya mereka melihat gambaran yang lebih luas. Mereka tidak hanya mengejar kepentingan peribadi, tetapi mengorbankan harta, masa, dan nyawa mereka untuk menegakkan Negara Islam di Madinah, seperti yang dinyatakan dalam sirah.

Kita sebagai ummah perlu mengambil pendirian yang sama. Kita perlu berhenti daripada terus melibatkan diri dalam sistem para penindas – golongan yang merancang semua keganasan, huru-hara, dan kemiskinan di seluruh dunia – dan mencontohi para pendahulu yang soleh dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah dalam usaha mengubah landskap politik. Bagi umat Islam di Amerika, ini bermakna kita mesti melihat melangkaui manfaat jangka pendek, kerana strategi yang digunakan selama ini telah terbukti gagal berkali-kali. Kita mesti berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan sistem politik Islam sebagai satu-satunya penyelesaian terhadap masalah yang semakin menimbun, bukan hanya dalam kalangan Muslim, tetapi seluruh umat manusia. Kita mesti menampilkan keadilan Syariah Allah (swt) dan bagaimana pelaksanaannya secara menyeluruh akan membawa kestabilan serta keselamatan kepada semua yang hidup di bawah naungannya – sama ada Muslim, Kristian, Yahudi, Hindu, dan lain-lain.

Sebagaimana Nabi Muhammad (saw) lakukan, kita sebagai umat Islam mesti berusaha untuk menegakkan kembali sistem Allah (swt) di tanah-tanah umat Islam, supaya kita sekali lagi mencapai kejayaan yang diberkati oleh Pencipta kita (swt) dan menjadi cahaya petunjuk bagi dunia.

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut-Tahrir oleh

Sarah Mohammed – Amerika