Bunuh Diri Sepanjang PKP, Bukti Gagal Demokrasi Kapitalis

Mutakhir ini kita diberitakan dengan kes bunuh diri setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Purata 2 kes bunuh diri setiap hari dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Antara punca bunuh diri yang dikenalpasti hasil siasatan ialah mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan. Selain itu, dari sumber berita yang lain, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan telah menerima 8,380 panggilan berkaitan kes kesihatan mental kesan akibat penularan pandemik Covid-19 sehingga 18 Mei. Situasi ini sememangnya membimbangkan, namun sepatutnya boleh dijangka kian memburuk. Ini kerana, pada tahun lepas apabila pandemik bermula kita sudah dikejutkan dengan beberapa siri kes bunuh diri terkait situasi pandemik. Misalnya pada Ogos 2020, berita melaporkan tentang seorang juruterbang dipercayai membunuh diri dengan terjun dari sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Serdang akibat tekanan yang dialami selepas diberhentikan kerja dua bulan sebelum insiden. Kes yang sama berlaku pada Oktober 2020 apabila seorang tukang masak yang diberhentikan kerja kerana Covid-19 bertindak menggantung diri dalam kejadian di Taman Berjaya, Simpang Renggam.

Demokrasi Kapitalis Punca Bunuh Diri

Terdapat banyak faktor yang dikenalpasti menjadi punca seseorang itu nekad membunuh diri. Daripada dua kes di atas, mangsa membunuh diri kerana tekanan yang dihadapi setelah dibuang kerja akibat Covid-19 yang melanda negara. Hakikat kehidupan manusia tidak boleh lari dari sistem kehidupan. Sementara kehidupan kita pada hari ini dipandu oleh sistem kapitalis, dimana asasnya adalah manfaat dan keuntungan. Tiada unsur ruhiyah mahupun kemanusiaan. Justeru, sisi hodoh negara kapitalis bertambah terserlah apabila Covid-19 melanda negara. Peningkatan kes bunuh diri sepanjang PKP adalah bukti tiada jaminan dari sistem kehidupan yang diguna pakai saat ini (demokrasi kapitalis) ke atas jiwa dan nyawa manusia.

Selain dari faktor ekonomi, kegagalan negara dalam menyediakan nuansa keimanan dan ketakwaan kepada rakyat juga menyebabkan lemahnya jiwa manusia saat ditimpa ujian kehidupan sehingga begitu tekad membunuh diri. Dasar negara sekular yang memisahkan agama dari kehidupan ternyata gagal menyediakan persekitaran Islami menyebabkan jiwa manusia jauh dari ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Kepelbagaian faktor ini menjadikan permasalahan bunuh diri ternyata bukan sekadar isu tekanan biasa, melainkan ia adalah permasalahan sistemik yang berpunca daripada kelemahan-kelemahan polisi negara dalam mentadbir urus kebajikan rakyat tatkala kemelut wabak melanda. Lalu, apakah solusi bagi menangani permasalahan ini?

Peranan Negara

Negara perlu menukar sistem kehidupan yang tidak Islami kepada sistem Islam. Islam adalah “the way of life” yang mana setiap pengaturan manusia itu dipandukan oleh wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, seterusnya kepada seluruh umat manusia. Sistem ekonomi yang diterapkan hendaklah sistem ekonomi Islam yang mana pemenuhan keperluan asas setiap individu seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian akan dijamin sepenuhnya oleh negara tanpa mengira bangsa dan agama.

Rasulullah saw bersabda: “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban ke atas pihak yang dipimpinnya,  sementara pemerintah yang memimpin rakyat, dan dia akan diminta pertanggungjawaban ke atas rakyatnya.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Hibban]

Hadis di atas adalah bukti seruan tanggungjawab sesebuah negara dalam memastikan kesejahteraan kehidupan rakyatnya baik harta dan nyawa.

Lalu, apakah sebenarnya peranan negara kepada seluruh rakyatnya, dalam kehidupan biasa terlebih lagi pada waktu pandemik seperti saat ini ialah, bertanggungjawab memastikan keperluan asas setiap rakyatnya dipenuhi. termasuklah lapangan pekerjaan sebagai upaya pemenuhan nafkah bagi kelangsungan hidup setiap keluarga. Selain itu, negara juga perlu menjamin tiga lagi hak yang menjadi keperluan warganegara iaitu perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan yang dapat dinikmati secara percuma. Oleh itu, negara bertanggungjawab besar memastikan agar tiada seorang pun rakyat yang tidak makan atau terputus bekalan makanan, dan tidak mempunyai pekerjaan untuk penafkahan diri dan orang dibawah tanggungan mereka.

Dalam situasi wabak, negara perlu berperanan mengerahkan sumber dari Baitul Mal bagi membantu mereka yang terkesan. Malah negara perlu bersungguh-sungguh mengurus gerak kerja yang sistematik dan mengerah kepakaran teknologi bagi mewujudkan pangkalan data setiap rakyat yang memerlukan pelbagai jenis bantuan dengan memanfaatkan sistem bancian yang sedia ada. Di samping itu, negara juga boleh bekerjasama dengan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  bagi menjayakan misi ini. Selain itu, pemerintah juga hendaklah menerima pandangan masyarakat, pakar-pakar terkait pengurusan dan penanganan Covid-19 secara terbuka. Dengan kata lain, negara perlu lebih  proaktif dalam menangani semua permasalahan yang timbul, berbanding menyerahkan urusan ini kepada kelompok individu dan komuniti tertentu semata-mata.

Kepemimpinan negara wajar mengambil iktibar dari keteladanan yang ditunjukkan oleh sosok pemimpin Islam bernama Umar Al Khattab. Ketika memegang amanah sebagai pemimpin, beliau memantau dari rumah ke rumah bagi memastikan keperluan asas setiap rakyatnya terpenuhi. Integriti Saidina Umar sebagai pemimpin umat Islam terserlah apabila beliau mengutamakan keselesaan dan kemaslahatan ummah dalam hal pentadbiran negara.

Begitu juga dalam soal penyediaan lapangan pekerjaan kepada warganegara. Baginda Rasul SAW sendiri pernah memberi dua dirham kepada seseorang, kemudian berkata, “Makanlah dengan satu dirham, dan bakinya belikanlah kapak, lalu gunakanlah ia untuk bekerja”.

Justeru sudah jelas bahawa negara bukan sahaja perlu membantu rakyat dalam pemenuhan hal makan minum dan tempat tinggal, tapi turut berperanan membuka lapangan pekerjaan, menyediakan bantuan dan prasarana, serta sumber kewangan yang syarie dari Baitulmal. Begitu pula bentuk pakej bantuan yang hendak  diberikan ini mestilah berdasarkan akad syarie. Bukan berdasarkan model bantuan kewangan kapitalis yang mengamalkan riba seperti yang terjadi pada hari ini, yang menawarkan solusi moratorium dan pinjaman berasaskan ribawi lainnya untuk meneruskan kehidupan.

Sangat menyedihkan bila mana masalah ini menjadi masalah global di mana penanganan pandemik dan polisi bantuan yang diterapkan adalah dari dasar yang sama yakni kapitalisme. Menyebabkan ramai terputus mata pencarian, dihimpit oleh hutang-hutang ribawi dan kemiskinan yang kian mencengkam. Inilah yang mengarahkan manusia dalam situasi hari ini kepada kehidupan yang tertekan dan menyesakkan dada.

Mewujudkan Nuansa Kehidupan Islami

Oleh sebab itu, negara bertanggungjawab mewujudkan persekitaran kehidupan dengan nuansa Islam. Meneguhkan setiap rakyatnya dengan tsaqafah Islam seterusnya mewujudkan individu serta masyarakat yang mempunyai sifat takut (khauf) akan azab dan berharap (al-raja’) kepada Allah SWT dalam segala ujian dan cabaran. Sementara itu, bagi individu atau masyarakat, walau seberat mana pun ujian yang menimpa, keputusan untuk membunuh diri adalah tetap salah (haram) hukumnya di sisi agama. Ingatlah bahawasanya membunuh diri itu hukumnya kekal di neraka jahannam, sepertimana yang dinyatakan dalam hadis berikut,

Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw., beliau bersabda,

«مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِداً مُخَلَّداً فِيهَا أَبَداً، وَمَنْ تَحَسَّى سُمّاً فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً مُخَلَّداً فِيهَا أَبَداً، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً مُخَلَّداً فِيهَا أَبَداً» متفق عليه واللفظ للبخاري

“Siapa yang menjatuhkan diri dari gunung dan membunuh dirinya sendiri maka dia di neraka Jahanam yang dia menjatuhkan dirinya di situ, dia kekal selamanya di dalamnya. Dan siapa yang menghirup racun dan membunuh dirinya sendiri maka racunnya itu di tangannya yang dia hirup di neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya selamanya. Dan siapa yang membunuh dirinya sendiri menggunakan pisau maka pisaunya ada di tangannya yang dia tusukkan di perutnya di neraka Jahanam kekal di dalamnya selamanya.” (HR Al-Bukhari dan Muslim, lafal Al-Bukhari)

Khatimah

Muslimin Muslimat, sedarilah kalian bahawasanya tidak ada ideologi selain Islam yang mampu mengurus tadbir rakyatnya dengan sejahtera, dalam keamanan serta terpenuhi segala keperluan asas kehidupan walau dalam keadaan apa pun. Tidak ada kepemimpinan selain kepemimpinan yang didasari akidah Islam, yang beriman dan bertakwa dengan bersungguh-sungguh serta mampu melindungi dan memelihara kalian. Ingatlah bahawa musibah Covid-19 ini adalah tanda kemurkaan Allah kerana tidak diterapkan syariat Islam di muka bumi ini. Oleh itu, bangkitlah wahai umat Muslimin dan sudah tiba masanya kita mencampakkan demokrasi kapitalis ini ke dalam tong sampah seterusnya kembalikan kepemimpinan kepada mereka yang layak, seterusnya menjadikan Islam sebagai satu-satunya dasar pemerintahan negara agar kita dapat melangsungkan kehidupan dalam nuansa keimanan dan kesejahteraan jiwa.

Maizatul Akmar

(Aktivis MHTM)

Sumber :

  1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/468-kes-bunuh-diri-bagi-tempoh-januari-hingga-mei-tahun-ini-pdrm-306084
  2. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/05/19/ramai-stres-kkm-terima-lebih-8000-panggilan-aduan-kesihatan-mental-sepanjang-pkp—dr-noor-hisham
  3. https://www.malaysiakini.com/news/537387
  4. https://www.kosmo.com.my/2020/10/02/gantung-diri-tertekan-hilang-kerja/