Cabaran Ibu pada Masa Kini: Mengembalikan Martabat Ibu Sebagai Pendukung Generasi.
Oleh : Ummu Ruqayyah
Pada era moden yang serba pantas dan mencabar, peranan ibu sebagai tunjang utama dalam pembentukan generasi yang beriman, berilmu dan berakhlak semakin sulit. Kehidupan yang semakin sibuk serta perubahan sosial, ekonomi, dan teknologi telah membawa kepada krisis keibuan yang menjejaskan kedudukan serta martabat seorang ibu dalam masyarakat. Justeru, usaha mengembalikan martabat ibu sebagai pendukung generasi amat diperlukan bagi melahirkan generasi yang berdedikasi serta mempunyai jati diri Islam.
Cabaran Ibu Masa Kini
Ramai ibu berhadapan dengan dilema antara tanggungjawab keluarga dan tuntutan kerjaya. Kebanyakan wanita kini perlu bekerja bagi menyumbang kepada ekonomi keluarga, tetapi pada masa yang sama, mereka masih diharapkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu sepenuhnya. Hal ini menimbulkan tekanan emosi, mental dan fizikal yang boleh menjejaskan kesejahteraan ibu serta anak-anak mereka. Wanita yang bekerja berhadapan dengan masalah kekurangan masa dan tenaga untuk meluangkan perhatian kepada anak-anak.
Tambahan pula, dalam usaha untuk menyamai pencapaian lelaki dalam dunia pekerjaan, sesetengah ibu merasa terbeban dengan persepsi bahawa kerja rumahtangga kurang bernilai. Hal ini boleh menyebabkan sang ibu mengabaikan aspek penting dalam pendidikan anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka. Walhal telah menjadi kewajipan seorang ibu untuk mendidik dan mengasuh anak sebaik mungkin seperti yang disebutkan dalam hadis. Rasulullah SAW bersabda,
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan terhadap anak-anak dan dia akan dipertanggungjawabkan atas kempimpinannya…” [HR Bukhari dan Muslim]
Selain itu, perkembangan teknologi moden masa kini memperlihatkan trend ibu yang lebih banyak bergantung kepada alat digital untuk mendidik anak-anak, menyebabkan hubungan emosional menjadi renggang. Interaksi yang dahulunya dilakukan secara langsung kini semakin berkurang, menyebabkan ibu kurang memahami keperluan emosi dan perkembangan sosial anak-anak.
Mengembalikan Martabat Ibu
Terdapat enam aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengembalikan peranan ibu sebagai pembina generasi. Pertama, menanam kesedaran tentang peranan ibu itu sendiri. Dalam Islam, ibu memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk keluarga dan generasi akan datang. Ibu diberikan kehormatan dan kedudukan yang istimewa, bahkan disebut berulang kali dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda,
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak untuk aku layan dengan baik?’ Baginda menjawab: ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Rasulullah menjawab: ‘Ayahmu.'” [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan ibu pada kedudukan yang sangat tinggi, bahkan tiga kali lebih utama daripada ayah dalam aspek layanan dan penghormatan. Ini membuktikan betapa besarnya peranan ibu dalam kehidupan seorang anak serta tanggungjawab yang dipikulnya dalam mendidik dan membimbing keluarga ke arah yang diredhai Allah.
Umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang menekankan peranan ibu sebagai pendidik utama dalam keluarga. Pendidikan yang diberikan oleh ibu bukan sahaja melibatkan ilmu agama seperti solat dan membaca al-Quran, tetapi juga membentuk akhlak dan kefahaman tentang kehidupan yang berlandaskan syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda,
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menegaskan bahawa ibu bapa, khususnya ibu, mempunyai peranan besar dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, masyarakat harus menanam kesedaran bahawa pendidikan Islam bukan hanya sekadar mengajarkan ilmu asas seperti solat dan membaca Al-Quran, tetapi juga memastikan anak-anak memiliki akhlak yang baik, bertanggungjawab, dan berpegang teguh pada ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
Kedua, memperkasakan pendidikan ibu itu sendiri. Pendidikan ibu perlu diberi penekanan yang lebih serius, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam pengurusan keluarga, psikologi anak-anak, dan kemahiran keibubapaan. Contohnya, ibu perlu memahami psikologi anak-anak untuk mendidik mereka dengan pendekatan yang betul berdasarkan usia dan keperluan emosi. Seorang ibu yang berilmu bukan sahaja dapat mendidik anak-anak dengan lebih baik tetapi juga mampu mengurus rumahtangga dengan lebih efisien dan sesuai dengan tuntutan agama.
Ketiga, mengukuhkan sistem sokongan keluarga yang kuat bagi memastikan kesejahteraan rumahtangga. Ayah dan ahli keluarga yang lain perlu memainkan peranan aktif dalam membantu ibu melaksanakan tugas harian mereka. Islam menggalakkan pembahagian tanggungjawab antara suami dan isteri agar kehidupan berkeluarga menjadi lebih harmoni. Apabila ibu mendapat sokongan moral dan fizikal yang mencukupi, mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih efektif, sekaligus mampu melahirkan keluarga yang bahagia dan harmoni berlandaskan ajaran Islam.
Keempat, mendidik anak-anak melalui teladan. Mendidik anak-anak bukan hanya melalui kata-kata, tetapi lebih berkesan melalui contoh dan teladan yang baik daripada ibu bapa, khususnya ibu. Ibu yang berkeperibadian mulia akan menjadi cerminan nilai-nilai Islam kepada anak-anak dan membentuk mereka menjadi insan yang berkeperibadian mulia juga. Anak-anak memerlukan bimbingan yang berterusan dalam kehidupan mereka. Ibu adalah individu yang paling rapat dengan anak sejak lahir, maka tingkah laku dan keperibadian ibu akan menjadi contoh utama bagi anak-anak.
Jika ibu menunjukkan akhlak yang baik dan konsisten dalam mendidik anak-anak, mereka akan membesar dengan nilai-nilai Islam yang kukuh. Sebagai contoh, ibu yang mengerjakan solat fardhu lima menunjukkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Nilai-nilai ini bukan hanya diajarkan melalui kata-kata tetapi juga ditunjukkan melalui perbuatannya. Ini menjadikan anak-anak lebih mudah mencontohinya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Kelima, menggalakkan ibu mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga. Islam tidak melarang wanita bekerja, tetapi ibu perlu bijak mengimbangi tuntutan masa dan tenaga terhadapa pekerjaan dan keluarga. Mereka boleh memilih pekerjaan yang fleksibel atau bekerja dari rumah. Institusi masyarakat dan majikan juga perlu menyediakan sokongan seperti cuti bersalin yang lebih panjang dan waktu kerja yang lebih fleksibel.
Keenam, memanfaatkan teknologi untuk pendidikan. Teknologi boleh dimanfaatkan dengan bijak oleh ibu untuk mendidik anak-anak. Contohnya, penggunaan aplikasi pendidikan yang berunsur Islam boleh membantu anak-anak belajar nilai-nilai agama dengan cara interaktif. Namun, ibu perlu bijak mengawal penggunaan gajet terhadap anak-anak agar tidak berlebihan menggunakannya.
Kesimpulan
Krisis keibuan moden hanya dapat diatasi dengan mengembalikan ibu kepada fitrah dan peranan asal mereka sebagai pendidik generasi. Dalam menghadapi cabaran moden, pendekatan Islam yang komprehensif perlu diterapkan. Dengan bimbingan dan sokongan yang betul, ibu masa kini mampu kembali menjadi pembina generasi yang kuat, bertakwa, dan berjaya di dunia dan akhirat.
Rujukan:
- Cabaran Ibu Bekerja Syif: Kerjaya Atau Keluarga? (Buletin TV3, 12 Mei 2024)
- Kekang Ketagihan Gajet (Harian Metro, April 25, 2023)
- Impak Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Terhadap Kesihatan Mental, Kajian Literatur (2024)