Ibu Sebagai Pembina Generasi Unggul

Ibu adalah sekolah yang jika engkau telah mempersiapkannya bererti engkau telah mempersiapkan suatu bangsa yang mempunyai akar-akar yang baik.“      (M. Nashih Ulwan)

Dewasa ini, kita seringkali dikejutkan dengan pelbagai tragedi hitam yang melibatkan remaja belasan tahun di negara kita. Kes-kes buli dan gangsterisme sehingga mengorbankan nyawa pelajar sekolah menengah seawal tingkatan satu pernah menggemparkan negara. Tidak kurang juga, remaja perempuan yang tergelincir ke lembah penzinaan, melahirkan anak luar nikah, malah lebih tragis sanggup membunuh dan membuang bayi-bayi mereka di surau-surau, tepi-tepi jalan, mahupun dibiarkan bersama longgokan sampah sarap! Selain itu, bukan sedikit kes-kes yang melibatkan remaja yang terlibat dengan penagihan dadah, ketagihan alkohol, dan rempit jalanan. Isu-isu masalah sosial seakan-akan telah menjadi asam garam kehidupan masyarakat hari ini.

Lantas, ramai di antara kita kemudiannya tertanya-tanya; apakah yang telah terjadi dengan anak-anak kita hari ini? Jika kita cuba menjawab persoalan ini dengan saksama, kita akan sampai kepada satu kesimpulan yang jelas. Soalan tersebut sebenarnya kurang tepat. Anak-anak kita adalah anak-anak yang serupa dengan kita, sama seperti kita di zaman dahulu. Sama-sama memiliki rasa ingin tahu yang tinggi, sama- sama selalu ingin meniru, dan sama-sama masih belum mampu membezakan antara realiti dan yang mana bukan.

Justeru, apakah hal yang membezakan diantara kita dan anak-anak kita? Satu-satunya jawapan yang paling tepat ialah persekitaran kita yang berbeza. Dahulu, di zaman kita, tidak ada smackdown. Tidak ada sinetron atau drama-drama picisan yang mengajarkan bunuh diri sebagai solusi. Tidak ada pula tayangan filem-filem 18 SG atau 18 SX yang penuh kekerasan dan paparan tidak bermoral. Malah, yang lebih utama, dahulu kebanyakan dari kita masih didampingi oleh ibu.

Apakah kaitannya dengan ibu?  Ya, dulu para ibu memperuntukkan dirinya untuk mendidik anak-anak, mengajarkan nilai-nilai kebaikan dan akhlak sesuai dengan Islam serta menunjukkan perbuatan-perbuatan yang salah dan bercanggah dengan syariat. Peranan seperti ini diibaratkan seperti perisai yang melindungi kita daripada pelbagai anasir-anasir tidak baik yang berlaku di sekeliling kita.

Kini, anak-anak kita tidak lagi memiliki perisai itu. Ibu-ibu hari ini lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah untuk memenuhi keperluan ekonomi keluarga atau sekadar mengejar karier dan reputasi diri. Jika ada ibu-ibu yang tidak bekerja dan duduk di rumah sekalipun, mereka lebih disibukkan dengan tayangan-tayangan television seperti sinetron, drama-drama air mata, rancangan-rancangan hiburan dan realiti TV. Tidak cukup dengan itu, mereka malah menggalakkan anak-anak untuk bersama-sama menonton rancangan-rancangan TV yang tidak bermanfaat. Padahal, yang sewajarnya merekalah yang patut mendidik anak-anak agar menonton pengisian yang sesuai dan bakal memberikan input berguna kepada anak-anak mereka.

PERANAN IBU

Idea feminisme yang semakin pesat menular dalam masyarakat kini sangat berpengaruh terhadap perubahan sudut pandang umum berkaitan peranan ibu. Ideologi Kapitalisme menanamkan pendapat bahawa peranan sejati ibu untuk duduk di rumah adalah tidak produktif kerana tidak akan menghasilkan nilai materi (baca: sumbangan kepada ekonomi keluarga, masyarakat dan negara). Malahan, ada juga pandangan yang cenderung menganggap peranan ibu seperti yang difahami sebelum ini, akan merendahkan martabat wanita di bawah lelaki dan membataskan peranan wanita untuk sekadar duduk di ceruk dapur semata-mata.

Pandangan-pandangan ini adalah sangat bercanggah dengan fakta kerana kajian telah membuktikan bahawa peranan ibu sebagai pendidik pertama anak-anak di rumah tidak mungkin dapat digantikan dengan sesiapa pun selainnya. Tempoh 0-6 tahun pertama bagi anak merupakan masa keemasan untuk pertumbuhan dan perkembangan sang anak. Ini kerana 80% daripada otaknya berkembang untuk membentuk kecerdasan dan dasar-dasar keperibadiannya. Ketika inilah, anak-anak sangat memerlukan sosok ibu sebagai pendamping untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan yang optimum dapat dicapai oleh anak-anak.

Pembantu atau pengasuh bayi dan anak-anak adalah sangat jauh dari kriteria tersebut. Pusat penjagaan bayi atau nursery yang semakin banyak dibuka juga tidak akan mampu untuk memberikan rangsangan optimum untuk pertumbuhan anak-anak. Ini kerana pusat seperti isu kebiasaannya dirancang untuk menempatkan ramai bayi dan kanak-kanak untuk dijaga pada satu-satu masa. Akibatnya, mereka tidak mungkin dapat memenuhi setiap keperluan anak-anak di bawah jagaan mereka dengan teliti sepertimana yang dilakukan oleh ibu. Malah, mereka tidak akan dapat menyaingi perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu. Kasih sayang merupakan salah satu unsur utama yang diperlukan oleh anak-anak selain gizi seimbang dan rangsangan persekitaran.

Pengasuhan dengan kasih sayang yang tulus sangat diperlukan oleh anak dalam perkembangan kecerdasan emosionalnya. Inilah yang akan membuatkan anak-anak belajar menghargai dirinya, menumbuhkan rasa keyakinan kepada diri sendiri, kemampuan untuk berempati dan bertimbangrasa dengan orang lain. Berbeza pula dengan anak yang kekurangan kasih sayang kerana mereka cenderung untuk mengembangkan perasaan negatif, rendah diri, introvert (tertutup) dan menyimpan potensi gagal dalam kehidupannya.

Kasih sayang yang tulus dan melimpah ruah hanyalah datang dari seorang ibu. Didikan terbaik juga tentulah dari seorang ibu. Maka, jika fungsi ibu terabai kerana harus keluar rumah, siapakah yang mampu menggantikan peranannya?

TELADAN DARIPADA IBU PARA TOKOH
Thomas Alva Edison, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dialah yang telah melakukan pelbagai penemuan dan memiliki ribuan hak paten. Namun, tahukah anda bahawa dia hanya menerima pendidikan formal selama 3 bulan? Dia dibuang sekolah kerana gurunya menganggap dia terlalu bodoh untuk bersekolah. Ibu Edison tidak mempercayai hal tersebut, lalu mendidik sendiri Edison di rumah. Ternyata usaha gigihnya tidak sia-sia. Edison menemui potensi terpendamnya sebagai seorang pengkaji. Di usia 10 tahun, dia telah memiliki makmal peribadinya sendiri. Malah lebih dari itu, ibunya mendidik Edison sifat berani berjuang dan berdikari. Pada usia mudanya, dia menjual surat khabar untuk membiayai sendiri projek-projek kajiannya. Cuba bayangkan jika ibu Edison bersikap seperti gurunya. Mungkin penemuan elektrik akan lebih lambat dan segala penemuan yang memerlukan elektrik juga pasti akan terhambat.

Ibu Imam Syafi’i pula mewakili perjuangan ibu dari tokoh-tokoh agama. Suaminya meninggal sebelum Imam Syafi’i dilahirkan. Dia membesarkan Syafi’i bersendirian dan memotivasikannya untuk menuntut ilmu. Pada usia 7 tahun, Syafi’i sudah hafiz Al-quran. Ibunya juga membayar guru-guru untuk mengajarkan Syafi’i, walaupun dia terpaksa bekerja keras  untuk menanggung bayaran mereka.

Percayalah,bukan sedikit tokoh-tokoh dunia yang lahir kerana peranan seorang ibu di belakangnya. Cuma, mungkin nama-nama mereka tidak tercatat dalam sejarah. Namun, nama anak-anak mereka tercatat dengan tinta emas, dan itu cukup menjadi bukti kehebatan peranan golongan ibu.

DILEMA IBU
Seorang ibu pastinya bercita-cita untuk menjadi seorang ibu yang ideal, agar dapat menjalankan peranan utamanya seperti mendampingi anak-anak, mendidik mereka dengan sempurna dan mencetak mereka menjadi generasi unggul yang kelak akan mewarisi kepimpinan umat ini. Namun, hari ini para ibu berhadapan dengan pelbagai tentangan yang menghambat cita-cita mereka ini.

Masalah utama dan terbesar ialah faktor ekonomi. Peningkatan taraf hidup dengan pendapatan seorang suami sahaja tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga. Akhirnya, ramai ibu terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka untuk sama-sama terjun ke medan kerjaya demi menampung ekonomi keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak membesar tanpa perhatian dan pendidikan yang sempurna daripada ibubapa. Tiada yang mengambil peduli tentang bahan tontonan anak-anak, dan aktiviti seharian anak bersama teman sebaya sehinggalah pada suatu ketika ibubapa dikejutkan dengan penglibatan anak-anak mereka dalam masalah-masalah sosial atau jenayah yang serius.

Cabaran kedua yang menimpa para ibu ialah berkaitan dengan pengetahuan ibu tentang kaedah pendidikan anak. Bukan sedikit para ibu yang tidak bekerja, tinggal di rumah, tetapi tidak arif tentang kaedah mendidik anak dengan baik. Mereka tidak tahu potensi diri anak-anak dan cara untuk mengembangkan potensi tersebut. Masalah ini menjadi lebih parah bagi ibu-ibu yang bekerja dan pada masa yang sama tidak tahu kaedah mendidik anak dengan baik. Ibu-ibu seperti ini cenderung untuk membiarkan saja anak-anak mereka membesar semahu mereka, seperti air yang mengalir ke muara kerana si ibu sendiri tidak pernah meletakkan target dan cita-citanya dalam hal pendidikan anak-anak. Para ibu seperti ini tentu sahaja tidak boleh diharapkan untuk dapat melahirkan generasi unggul di masa hadapan.

Menyedari kepentingan peranan ibu dalam pendidikan generasi pelapis negara, para pemimpin seharusnya mengambil berat dalam mencari jalan keluar untuk membantu para ibu keluar dari hambatan cabaran-cabaran yang membelenggu mereka ketika ini. Bukankah generasi muda hari ini yang akan menentukan keberlangsungan masyarakat yang bersyakhsiah tinggi dan bertamadun pada masa hadapan? Adakah para pemimpin kita sanggup membiarkan kerosakan demi kerosakan terus melanda masyarakat kerana anak-anak mudanya semakin terjerumus ke lembah kehancuran dan kebinasaan? Selagi para ibu terus disibukkan dengan urusan-urusan di ‘luar rumahnya’ sehingga mengabaikan peranan asasnya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga, dan selagi mereka masih tidak memahami tanggungjawab dan ilmu pendidikan anak-anak, maka selagi itulah generasi unggul tidak dapat dibentuk. Umat akan semakin terpuruk dan tidak lagi mampu bangkit.

Maka, tugas pemimpin adalah untuk menjamin agar para ibu mampu menjalankan peranannya sebagai ibu dengan sempurna. Memaksa para ibu untuk keluar ke lapangan pekerjaan demi mencari nafkah untuk keluarga adalah sama juga dengan usaha untuk menjual masa depan anak-anaknya dengan menggadaikan pendidikan terbaik dari ibunya sendiri. 

Negara juga berperanan untuk menjamin pendidikan para ibu dengan kurikulum yang tepat. Kurikulum pendidikan yang mampu untuk membentuk akidah dan syakhsiyah Islamiyah ibu agar dengan itu mereka meletakkan cita-cita perjuangan Islam sebagai cita-cita tertinggi mereka yang bakal diwarisi kepada anak-anak. Cita-cita ini tidak akan mungkin dapat dibentuk dalam diri para wanita yang dididik dengan sistem pendidikan sekular-kapitalisme kerana materi, pangkat, dan karierlah yang kelak menjadi orientasi kehidupan mereka.

Sesungguhnya, para ibu mempunyai tanggungjawab besar  yang dipikul di bahu-bahu mereka. Maka, tidak salah jika dikatakan bahawa wanita adalah tiang negara. Jika tiang ini roboh, maka nantikanlah detik keruntuhan sebuah negara!   Wallahu ‘alam