Cari punca bagi tangani mat rempit: Muhyiddin
“Kita perlukan pendekatan jangka panjang untuk menyelesaikan kecenderungan antisosial yang mereka lakukan. Saya belum diberi taklimat oleh pihak keselamatan mengenai masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran di Bukit Kiara di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan terhadap aktiviti generasi muda sekarang sama ada yang bersekolah atau yang sudah habis zaman persekolahan.
“Apakah mereka tidak diberi ruang dan peluang untuk membangunkan diri dengan aktiviti berfaedah selain daripada memecut motosikal dan menimbulkan masalah keselamatan dan masalah sosial lain,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau sudah berjumpa wakil kesatuan sekerja sektor pendidikan, minggu lalu.
“Ia adalah pertemuan yang mesra. Mereka memberikan pelbagai idea dan pandangan bagaimana untuk meningkatkan tahap pengajaran di negara ini. Mereka juga membangkitkan isu meningkatkan kebajikan dan standard profesion itu.
“Saya bersikap terbuka mengenainya dan saya mencadangkan supaya mereka menyampaikan (idea dan pandangan) itu secara formal dan kami dari semasa ke semasa akan melihat perkara yang dibangkitkan.
“Profesion pendidikan bukan saja mulia… mereka yang terbabit dengannya juga mesti gembira dengan galakan yang sepatutnya,” katanya. Beliau berkata, isu beban kerja guru juga dibangkitkan dan memberi jaminan akan menelitinya dan menentukan apa yang boleh dilakukan bagi menaikkan semangat dan komitmen guru.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke bahagian teknologi pendidikan semalam, Muhyiddin berkata bahagian itu memerlukan lebih banyak peruntukan dan ini akan diteliti oleh kerajaan.
Katanya, sehingga kini lebih 200,000 guru sudah dilatih untuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran.
[Berita Harian: 13/05/09]
Isu Mat Rempit ini nampaknya telah menjadi isu negara yang sehingga kini masih gagal ditangani. Pelbagai pihak telah cuba untuk menangani masalah ini namun menemui jalan buntu. Isu ini nampaknya telah menjadi isu nasional yang parah sehinggakan orang nombor dua negara terpaksa menyentuh persoalan ini.
Seharusnya, kita perlu melihat persoalan Mat Rempit ini sebagai persoalan manusia biasa yang mempunyai perasaan dan pemikiran. Selama kita gagal untuk mengubah pemikiran dan perasaan golongan ini maka selama itulah masalah ini tidak akan dapat diselesaikan.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. [TMQ ar-Ra’d (13) :11].
Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan pemikiran dan perasaan manusia ataupun masyarakat terhadap Islam. Untuk itu, penyelesaian jangka panjang mahupun jangka pendek yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan mengambil Islam sebagai rujukan. Sebagai seorang Muslim, sewajarnya TPM tanpa perlu berdalih mahupun berselindung harus mengatakan bahawa isu Mat Rempit ini hanya mampu diselesaikan apabila Islam diterapkan kembali di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Namun saat ini Islam telah disekularkan oleh umatnya sendiri, terutamanya mereka yang memegang kekuasaan apabila Islam disudutkan dan dimandulkan di dalam kehidupan masyarakat dan negara. Islam(yang ajarannya terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah) hanya diimani dalam konteks tertentu sahaja(individu) dan dinafikan dalam konteks yang lain(masyarakat dan negara). Renungilah firman Allah SWT ini:
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. [TMQ al-Baqarah (2) :85].
Inilah hakikat pahit yang perlu diakui dan diterima oleh setiap dari kita. Oleh kerana itu yakin dan percayalah bahawa selagi kita tidak mengembalikan Islam ke dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara maka selama itulah kita akan menerima kegagalan walaupun kesemua cerdik pandai berhimpun dan berkumpul untuk mencari penyelesaian kepada persoalan yang melibatkan masalah manusia yang bergelar Mat Rempit ini secara khususnya dan manusia amnya.
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) :124].
Bilakah lagi kalian akan menerapkan Islam wahai para pemimpin yang memegang kekuasaan saat ini?