Dunia Mat Rempit

Aktiviti ‘merempit’ dalam kalangan anak muda di sekitar ibu kota sering menimbulkan pelbagai masalah kepada semua pihak termasuk pemandu kenderaan lain. Mereka ini yang dikenali sebagai mat rempit sering bergerak secara berkumpulan dengan menunggang motosikal di sekitar ibu kota sebagai memenuhi aktiviti malam minggu. Bahkan, mat rempit itu juga tidak langsung mementingkan keselamatan diri sendiri kerana memecut laju untuk berlumba di persimpangan lampu isyarat walaupun ia masih lagi berwarna merah.   Apa yang pasti, aktiviti ‘merempit’ anak-anak muda terutamanya Melayu di sekitar Kuala Lumpur semakin bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.  

Jika tidak ada aktiviti ‘raja jalanan’ pada setiap malam minggu, mat rempit ini sering mengambil kesempatan untuk melepak di sekitar ibu kota sebagai salah satu aktiviti larut malam mereka. Tidak seperti sebahagian anak-anak muda lain yang mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti berfaedah, sebaliknya mereka terbabit menghabiskan masa sehingga ke pagi dengan hanya melepak. Bukan berdua atau bertiga, sebaliknya mereka berkumpul dengan motosikal masing-masing menghabiskan masa berborak. Malah, ada antara mereka dilihat bersama dengan pasangan masing-masing. Sampai bila keadaan ini akan berlaku?
 
Sumber : Utusan Malaysia, 20/04/09

Aktiviti Mat Rempit…. Masyarakat Tersepit! Negara Menjerit?

Pelbagai kisah dan cerita negatif mat rempit sering dipaparkan sejak dulu lagi di dada-dada media. Pelbagai pendekatan dan langkah telah cuba diambil untuk menangani masalah mat rempit ini namun sehingga kini keberkesanannya tidak seperti yang diharapkan. Suatu masa dulu sebahagian dari kumpulan mat rempit ini pernah menyertai “Kembara Kemanusiaan Motor Putera” anjuran Biro Putera UMNO Malaysia yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin ketika itu. Antara perkara yang pernah disampaikan oleh Khairy Jamaluddin di program itu adalah:

“Program yang dianjurkan oleh Biro Putera ini merupakan satu sejarah di mana golongan yang dikenali sebagai ‘Mat Rempit’ ini dikumpulkan untuk membawa mesej keamanan”.

Beliau juga menjelaskan bahawa konvoi ini adalah merupakan program pertama Pemuda untuk mendampingi Mat Rempit yang sebelum ini dilabel sebagai kumpulan bermasalah atau ancaman kepada masyarakat. “Kita mahu terus mendekati mereka (Mat Rempit) dan menubuhkan satu kelab motor yang tersusun agar mereka ini boleh bersama dengan kita dan menghilangkan tanggapan negatif masyarakat.”. “Program seumpama ini akan dijadikan satu program yang berterusan dan akan diperluaskan ke seluruh negara”, katanya.

Ini menjadi bukti bahawa golongan Mat Rempit boleh menyumbang sesuatu yang bermakna.  “Ini secara tidak langsung memberikan pendidikan, pendedahan satu amalan budaya sihat di kalangan mereka”, ujarnya. 

Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga pernah berkata bahawa orang ramai sering memandang “Mat Rempit” sebagai satu kumpulan remaja bermotor yang suka berlumba dan mempamerkan aksi-aksi berbahaya sahaja tetapi tidak melihat nilai positif yang ada dalam diri golongan tersebut. 

“Mat Rempit tetap manusia yang ada hati dan perasaan. Program seperti ini adalah penzahiran yang boleh membuktikan kepada umum bahawa mereka juga boleh menyumbang sesuatu untuk membantu sesama manusia”, katanya.  Tambah beliau lagi, ” program seumpama ini juga mampu memberi ruang kepada masyarakat untuk membuang minda daripada prasangka dan prejudis terhadap belia bermotorsikal. “

Kini nampaknya program tersebut hanya tinggal program dan mat rempit terus menerus merempit dan terus menimbulkan pelbagai masalah dengan gelagat mereka. Persoalan yang timbul sekarang ini adalah bagaimana masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas? Realitinya, mat-mat rempit adalah juga sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, untuk  menangani permasalahan ini tindakan yang bersepadu perlu dilakukan bagi memperbetulkan kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Usaha ini perlu ditangani oleh setiap individu, seluruh masyarakat dan negara. Dalam aspek ini peranan negara mendasari penyelesaian bagi masalah ini. Di tangan para pemimpin negaralah kekuatan dalam memastikan undang-undang dan kesemua sistem kehidupan terlaksana dengan tuntas. Persoalan mat rempit ini bukanlah hanya menyangkut permasalahan sosial semata-mata tetapi sebenarnya merangkumi seluruh sistem kehidupan yang ada. Solusi kepada masalah ini harus turut melibatkan sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kehakiman disamping sistem sosial itu sendiri.

Oleh sebab itu, apa yang diperlukan adalah satu penyelesaian bersepadu yang bukan hanya mampu menyelesaikan masalah rempit malah menyelesaikan juga pelbagai masalah lain yang dihadapi oleh individu, masyarakat dan negara. Atas dasar ini, maka jelas sekali tidak ada cara yang terbaik untuk menyelesaikan persoalan mat rempit ini kecuali diterapkan Islam sebagai suatu sistem kehidupan yang menyeluruh meliputi kehidupan individu, masyarakat mahupun negara.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ al-Baqarah (2) : 208].

Nabi SAW telah menunjukkan kejayaan menjinakkan masyarakat Arab jahiliyyah yang lebih ganas dari mat rempit yang ada pada hari dengan Islam.

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari i’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Ju’muah (62) :2].

Bilakah lagi seluruh umat Islam dan para pemimpin kaum Muslimin akan bersedia untuk tunduk kepada Islam dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi?