Ceramah Ramadhan Menyuntik Pemikiran Muslimah Supaya Bersegera Dalam Beramal

12 Julai 2014, Muar – Bersempena dengan kedatangan Ramadhan 1435H, MHTM Cawangan Muar telah menganjurkan Ceramah Ramadhan bertajuk “Andai Ini Ramadhan Terakhir”. Ceramah yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di Masjid Jamek Nurul Iman, Parit Bakar, terpaksa ditukar ke lokasi baru berikutan tindakan pihak masjid yang membatalkan keizinan tanpa sebarang alasan. Walaupun begitu, kedatangan para peserta yang memenuhi lokasi baru iaitu Dewan Masjid Al-Hikmah, Parit Kadi amat memberangsangkan. Program dimulakan dengan solat sunat Dhuha secara berjamaah yang diimamkan oleh Ustazah Asiah. Tepat jam 9.45 pagi, Pn. Ainis memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an mengenai kewajipan berpuasa daripada surah al-Baqarah, ayat 183 hingga 187.

Ketua MHTM Cawangan Muar, Ustazah Amani dalam ceramahnya menyentuh hati dan fikiran para peserta dengan mengajak peserta untuk berfikir apakah yang paling penting dan sebaiknya dilakukan andai Ramadhan kali ini adalah peluang terakhir yang diberikan oleh Allah SWT. Justeru, tentunya ia perlu dilalui sebagai Ramadhan terbaik sebelum menghadapinya dengan merebut segala kerahmatan dan keampunan. Andai ini Ramadhan terakhir, tentu setiap saat tidak akan dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Malah diisi dengan mengerjakan semua kewajipan dan menggandakan amalan-amalan nafilah yang mendekatkan diri kepadaNya serta berazam meninggalkan semua laranganNya agar digolongkan sebagai orang yang bertaqwa. Janji Allah dalam Surah al-Hijr ayat 45 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman syurga dan (dekat dengan) mata-mata air yang mengalir”.

Penceramah turut menghuraikan tentang pengertian taqwa yang merupakan natijah bagi mereka yang berpuasa serta perbezaan antara Muslim Ramadhan dengan Muslim Kaffah (keseluruhan) supaya para peserta mendapat gambaran yang benar. Akhirnya, mereka turut didedahkan dengan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi dalam menjalani ibadah di bulan Ramadhan di beberapa buah negara seperti Muslim Uighur, Muslim Rohingya dan juga Muslim di Palestin. Ini bertujuan untuk menyedarkan para peserta bahawa penerapan Islam secara kaffah oleh seorang pemimpin yang bertaqwa dalam naungan Daulah Khilafah Islam adalah sangat penting untuk kesejahteraan keseluruhan umat manusia terutamanya umat Islam.

Sebelum bersurai, para tetamu mengambil peluang menyaksikan pameran yang disediakan serta menurunkan tandatangan sebagai sokongan kepada usaha MHTM dalam menolak penganjuran pertandingan Mrs Universe di Malaysia pada tahun ini.

MHTM mengucapkan jutaaan terima kasih kepada pihak masjid Al-Hikmah kerana telah memberikan kerjasama yang sangat baik dalam usaha untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat setempat. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada para peserta yang hadir kerana menjayakan program ini. Semoga pengisian dalam ceramah kali ini berhasil menjadikan kita semua sebagai hamba Allah yang bertaqwa dan seterusnya bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan RasulNya.