Chavez gesa sekutu keluar simpanan dari bank AS

‘Bawa pulang semua wang kita’ – Chavez gesa sekutu keluar simpanan dari bank AS

CARACAS , Venezuela 27 Jan. – Presiden Venezuela, Hugo Chavez menggesa sekutu rapatnya di Amerika Latin mengeluarkan simpanan berbilion-bilion dolar di bank-bank Amerika Syarikat (AS) berikutan ramalan
berlakunya krisis ekonomi negara itu.

Chavez mengemukakan cadangan itu semalam semasa menjadi tuan rumah sidang kemuncak bagi meningkatkan integrasi negara Amerika Latin dan menentang pengaruh AS.

“Kita patut mula membawa pulang semua simpanan kita di sana. Kenapa wang itu perlu berada di utara?

“Anda tidak boleh menyimpan semua telur di dalam satu bakul,” katanya.

Bagi tujuan mengumpul dana serantau, Chavez dan sekutunya telah melancarkan Alternatif Bolivarian bagi Negara-Negara Amerika (ALBA).

Perikatan serantau berhaluan kiri yang disokong oleh Chaez itu bertujuan menawarkan alternatif, gaya sosialis dalam integrasi dan pada masa sama menolak perdagangan bebas yang disokong AS.

Chavez memberi amaran bahawa “imperialis AS menuju krisis dan ia akan memberi kesan kepada kita”.

Beliau turut menggesa para sekutunya membantu menamatkan dominasi antarabangsa AS.

“Kita perlu melakukan apa sahaja yang terdaya bagi menjatuhkan empayar AS dalam beberapa tahun lagi,” katanya.

Para pemimpin ALBA turut menandatangani siri perjanjian selepas sidang kemuncak yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga hingga pertanian, serta dokumen tambahan yang menolak “sikap suka berperang kerajaan AS dan serangannya ke atas kerajaan-kerajaan kita.”

– AP

Sumber: Utusan Malaysia 27/01/08

Ulasan:

Hugo Chavez memang terkenal dengan sikapnya yang anti-AS. Beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang lantang dan berani mengutuk Bush secara terbuka. Berdasar apa yang dilaporkan, apa yang menarik dengan Presiden Venezuela ini ialah tentang ‘polisi’ yang dibuatnya untuk menggesa semua sekutunya mengeluarkan simpanan mereka di AS. Walaupun kenyataan beliau ini nampak mudah dan ringkas, namun ada kebenarannya dan yang lebih penting, kenyataan yang sebegini ringan sekali pun tidak akan kita dengar dari pemimpin umat Islam. Pemimpin umat Islam yang ada sebaliknya lebih bacul dan pengecut dan hanya berminat untuk ‘menyembah’ Bush dan langsung tidak berani bersuara dengan syaithan manusia ini.

Seperkara lagi yang menarik ialah, kenyataan Chaves yang berterus terang yang lebih berat (dari kenyataan di atas) menyatakan,

“Kita perlu melakukan apa sahaja yang terdaya bagi menjatuhkan empayar AS dalam beberapa tahun lagi.”

Sekali lagi, kita tentunya tidak akan mendengar pemimpin umat Islam yang rata-ratanya adalah pengecut untuk mengeluarkan kenyataan sebegini. Sungguh malang nasib umat Islam mempunyai pemimpin sebagaimana yang ada sekarang. Nampaknya Chaves jauh lebih ‘mulia’ dari pemimpin umat Islam yang ada sekarang dalam usahanya untuk menyelamatkan dunia dari cengkaman dan kemusnahan yang dibawa oleh Bush laknatullah.