Cintailah Rasulullah Dengan Melaksanakan Syariat-Nya
Sudah berpuluh tahun umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul, demi menunjukkan kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Pelbagai aktiviti dan program telah dirancang untuk memeriahkan sambutan kali ini. Di mana-mana, pihak penganjur telah pun menyusun jadual aktiviti dan program sejak berbulan-bulan yang lalu. Kesungguhan yang tinggi ditunjukkan oleh mereka demi kecintaan kepada Rasulullah SAW. Namun, di sebalik semangat kecintaan yang tinggi itu, masih belum terlihat kehidupan Rasulullah yang sebenar diamalkan di kalangan masyarakat. Amalan politik kotor berbudaya barat, pesta hiburan melibatkan pergaulan bebas remaja, krisis ekonomi akibat bertunjangkan amalan riba dan banyak lagi kehidupan yang jelas-jelas tidak melambangkan budaya Islam terlihat di mana-mana.
Sedangkan kehidupan yang Rasulullah SAW jalani itu adalah suatu kehidupan yang murni dan sejahtera disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Kehidupan bersyariat yang dimaksudkan bukan sekadar melaksanakan solat, puasa, haji dan mengeluarkan zakat, tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan yang bersumber daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Ini termasuklah di dalam hal ehwal pemerintahan , perundangan, ekonomi, pendidikan dan sosial. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW dan mendambakan kehidupan sejahtera dan diredhai Allah (swt), maka kita harus bersungguh-sungguh untuk berusaha hidup di dalam syariat yang dibawa oleh baginda. Kecintaan kepada baginda bukan sekadar secara lisan dan di hati, tetapi juga harus ditunjukkan di dalam bentuk perbuatan.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak hanya sekadar kata-kata dan puji-pujian, tetapi ia haruslah meninggalkan kesan dan kesedaran perihal kewajipan dan ketaatannya untuk mengikuti dan meneladani baginda, bukan hanya semata-mata menumpukan kepada aspek akhlak atau nilai moral tetapi di dalam seluruh aspek kehidupan baginda. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah, “Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kalian.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [TMQ ali Imran (3): 31].
Tafsir Ibn Katsir menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah barangsiapa yang mencintai Allah dan RasulNya, sementara ia tidak mengikuti jalan hidup baginda, maka di dianggap pendusta, sehinggalah di benar-benar mengikuti seluruh syariat yang dibawa oleh baginda bukan hanya di dalam ucapan, tetapi juga di dalam seluruh amalannya.
Tafsir al-Qurthubi, al-Azhari, menyatakan, “Mencintai Allah dan Rasul-Nya ditunjukkan dengan mentaati keduanya dan menjalankan perintah keduanya.”
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman yang maksudnya: “Sungguh telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu,(yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” [TMQ al-Ahzab(33): 21]
Wallahu alam
Dr Tarmizi Salleh
Ketua
Majlis Kepimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia