Memanifestasikan Kecintaan Terhadap Rasulullah

Setiap kali tibanya 12 Rabi’ al-Awwal, umat Islam di negara ini meraikan Maulid ar-Rasul dengan tujuan memuliakan Rasulullah (saw) dan menzahirkan kecintaan kepada baginda (saw). Saban tahun, pelbagai acara dianjurkan oleh pemerintah dan agensi mereka, termasuk masjid-masjid dengan tujuan tersebut. Saban tahun juga, dana diperuntukkan bagi sambutan Maulid ar-Rasul yang meliputi perarakan, ceramah, persembahan qasidah, dan sebagainya.

Namun, pada tahun ini semua sambutan tersebut tidak dianjurkan ekoran pandemik Covid-19 yang memberikan kesan bukan hanya terhadap kesihatan bahkan kepada kehidupan bermasyarakat dan ekonomi; sehingga menatijahkan apa yang dinamakan sebagai ‘norma baharu’. Tatkala kesemua acara sambutan tersebut tidak dapat dilakukan, mungkin inilah masanya untuk kita muhasabah diri sejauh manakah kita benar-benar mencintai Rasulullah (saw) dan memanifestasikan kecintaan tersebut.

Kecintaan kepada Rasulullah (saw) bukan hanya terhad kepada penganjuran majlis-majlis yang dilakukan setahun sekali, itu pun jika niatnya betul, sebaliknya mesti diterjemahkan dalam setiap saat kehidupan kita, dengan mengambil apa sahaja yang Rasulullah (saw) bawa, dan meninggalkan apa sahaja yang baginda (saw) larang.

وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa sahaja yang diberikan Rasul kepada kalian, maka terimalah; dan apa saja yang dia larang atas kalian, maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya [Al-Hasyr (59): 7].

Realitinya, pemerintah yang selama ini menganjurkan dan menggalakkan penganjuran pelbagai acara sambutan Maulid ar-Rasul, namun tidak pernah berhukum dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah (saw) – Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Sebaliknya, sejak merdeka hinggalah ke hari ini, terus berhukum dengan apa yang dibawa dan ditinggalkan oleh kuffar penjajah.

Hatta hingga ke saat wabak Covid-19 melanda negara, berapa banyak daripada perintah Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) yang dilanggar. Masjid-masjid ditutup daripada solat Jumaat dan solat jemaah, malah lebih buruk apabila masjid dan surau dibuka semula, pemerintah telah menetapkan satu bidaah dengan mengarahkan penjarakan saf dalam solat berjemaah! Di manakah kecintaan mereka kepada Rasulullah (saw) seperti mana yang mereka laungkan, apabila mereka jelas-jelas menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya?

Saat ini kita sedang menyaksikan gelombang ketiga wabak Covid-19, yang lebih besar daripada gelombang sebelumnya, apabila pemerintah membuat keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di saat wabak yang merbahaya itu sedang melanda Sabah. Sedangkan perintah Rasulullah (saw),

Apabila kamu mendengar satu wabak di suatu daerah maka janganlah kamu memasukinya (daerah tersebut), dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak, maka janganlah kamu keluar daripadanya” [HR Bukhari].

Sesungguhnya mencintai Rasulullah (saw) bukanlah dengan “memperlihatkannya” melalui pelbagai majlis sambutan tahunan, tetapi kosong daripada pengamalan Sunnahnya. Mencintai Rasulullah (saw) itu bermula daripada niat yang ikhlas di dalam hati, yang kemudiannya terpancar melalui lisan atau perbuatan harian yang mengikuti setiap jejak langkah baginda dalam setiap perkara.

Dalam aspek bernegara, kecintaan kepada Rasulullah (saw) itu mesti dizahirkan dengan perjuangan menegakkan Daulah Islam, dengan mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh baginda (saw), yang semua itu dilakukan demi menerapkan syariat Allah (swt) secara kaffah dan mempersatukan kaum Muslimin di bawah satu kepimpinan, seterusnya menyebarkan dakwah dan melakukan futuhat agar agama Allah (swt) zahir di atas seluruh agama lain, sekali gus menjadi rahmatan lil alamin. Inilah caranya memanifestasikan kecintaan kepada Rasulullah (saw).

Semoga dengan merealisasikan usaha-usaha begini yang lahir daripada kecintaan kita kepada Rasulullah (saw), mudah-mudahan di akhirat kelak kita akan beroleh syafaat baginda (saw). Aamiin.