Najib Berselawat Tetapi Tolak Syariat

PUTRAJAYA 21 Mac – Terpampang gambar dan paparan berita Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut serta bersama ribuan umat Islam dalam majlis Selawat Perdana, Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra malam ini. Isterinya yang suka dikenali dengan the First Lady of Malaysia, juga dilaporkan turut serta dalam majlis tersebut.

Mungkin ramai yang terkejut dan gembira dengan kehadiran Najib dan Rosmah di dalam majlis seperti itu. Tidak kurang yang merasa janggal dan pelik dengan keadaan tersebut.

Sudah pasti sebagai seorang Muslim yang sejati, perasaan dan rasa cinta kepada Rasulullah SAW itu adalah sesuatu yang wajib dan wajar. Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang dikasihinya lebih daripada ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya”
[HR Bukhari dan Muslim].

Perlu diketahui dan difahami bahawa kecintaan kita kepada Allah dan Rasul itu hendaklah dilakukan dengan cara yang benar dan bukan sekadar ungkapan di mulut sahaja yakni setiap ungkapan, ucapan atau dakwaan cinta tentu memerlukan bukti. Al-Azhari berkata: “Erti cinta seseorang hamba itu kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati dan mengikuti perintahNya dan RasulNya” [Min Muqawwimat an-Nafsiyah al-Islamiyyah].

Contoh yang paling baik untuk kita ikuti di dalam mencintai Rasul ialah dengan melihat kepada tindakan para sahabat terhadap orang yang dicintainya itu. Para sahabat merealisasikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Ya benar mereka berselawat kepada Rasul, tetapi dengan cara yang diperintahkan oleh Rasulullah, bukannya dengan mengikut cara dan hawa sendiri.

Apa yang lebih penting, mereka melaksanakan segala perintah Rasulullah berupa yang wajib dan sunat dan mereka akan menjauhkan perkara yang ditegah oleh Rasulullah sama ada yang haram mahupun makruh. Mereka tidak tinggal diam di dalam sistem kufur Jahiliyyah (semasa di Mekah). Mereka berjuang bersama Rasulullah untuk menumbangkan dan merubah sistem Jahiliyyah kepada sistem Islam sehinggalah nyawa mereka menjadi galang gantinya. Mereka berjuang untuk menegakkan agama Allah sehingga tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah. Inilah tanda cinta mereka kepada Rasulullah.

Manakala semasa di Madinah, mereka bersama Rasulullah menerapkan Islam secara kaffah dan mempertahankan agama Allah. Mereka melaksanakan hududullah dan berjihad bersama Rasulullah membuka (futuhat) negeri-negeri yang baru. Sebagai bukti tanda kecintaan mereka kepada Rasul, Qais pernah berkata:

“Aku melihat tangan Abu Thalhah menjadi lumpuh, kerana dengan tangannya itulah dia telah menjaga Nabi SAW pada saat perang Uhud” [HR al-Bukhari].

Persoalannya, bagaimana dengan pemerintah pada hari ini yang hadir dalam majlis selawat? Mereka berselawat kepada Rasul, namun dalam masa yang sama mereka menolak penerapan syariat Allah!!! Mereka menolak penerapan hududullah dengan pelbagai alasan. Mereka menolak berjihad di jalan Allah, malah mereka membiarkan ramai Muslim mati dibunuh di seluruh dunia tanpa mereka melakukan apa-apa pembelaan.

Begitu juga dengan sebahagian umat Islam yang datang berselawat, apakah mereka berjuang untuk menghapuskan sistem Jahiliyyah moden pada hari ini, sebagaimana Rasulullah dulu berjuang menghapuskan sistem Jahiliyyah? Apakah mereka sudah meninggalkan riba sebagai tanda cinta mereka kepada Rasulullah? Kerana Rasulullah bersabda,

“Riba itu mempunyai 73 pintu, sedangkan yang paling ringan adalah seperti seseorang menikahi ibunya sendiri” [HR Ibnu Majah dan Al-Hakim]

“Mereka itu sama (iaitu yang memakan riba, memberinya, menuliskannya dan yang menyaksikannya)[HR Bukhari dan Muslim]

Baguslah jika mereka tidak mengambil riba, namun adakah mereka berjuang untuk menumbangkan sistem ribawi ini sebagaimana Rasulullah dulu berjuang menumbangkan segala sistem ribawi di zaman Jahiliyyah? Sesungguhnya banyak lagi persoalan yang boleh ditanya….pokoknya, cukupkah dengan hanya mencintai Rasulullah di bibir sahaja tanpa dibuktikan dengan amalan?

Rasulullah SAW bersabda,

“Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh kepada keduanya; (yakni) Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya”
[HR Imam Malik dalam Al-Muwattha].

Justeru, bagaimana mungkin seseorang sanggup mengaku bahawa ia mencintai Rasulullah, tetapi tidak berjuang menegakkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah yang Rasulullah perintahkan? Kita tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berlakon dan semoga umat tidak terus tertipu dengan pemimpin seperti ini dan semoga umat yang mulia ini tidak hanya terus membasahi bibir dengan berselawat tetapi kering ruh dan amalannya dengan Sunnah Rasulullah yang banyak ditinggalkan.
 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.