COVID-19: Penyelesaian Dari Sudut Realiti dan Perspektif Islam

Ketika sebahagian besar dunia cuba memberi perhatian untuk memulihkan ekonomi dunia yang bergelut dengan bermacam-macam masalah seperti perang perdagangan antara Amerika dan China serta amalan protectionism, tiba-tiba dunia berhadapan dengan virus COVID-19 yang menggugat ekonomi banyak negara. Ternyata virus yang hanya mempunyai dimensi 125 nanometer itu tidak mampu dikalahkan oleh superpower dunia seperti Amerika, Rusia dan China yang mempunyai senjata-senjata dan teknologi yang serba canggih.

Pasaran saham pula jatuh menjunam. Pagi-pagi lagi ketika pasaran saham dibuka, kerisauan tentang virus itu menyebabkan pengendali pasaran saham terpaksa ‘menekan brek’ kerana pasaran saham melampaui batas yang dibenarkan. Setelah mereka menghentikan pasaran saham dan memulakan dagangan, ketakutan tentang virus itu menyebabkan pasaran saham tetap menjunam.

Perniagaan terpaksa dihentikan kerana mereka takut jika perniagaan dijalankan seperti biasa, virus itu akan terus mengganas. Dunia dilanda resesi (kelembapan ekonomi) malah ramai juga menegaskan bahawa kejatuhan ekonomi kali ini akan menyamai atau mengatasi The Great Depression yang pernah menimpa Amerika pada akhir tahun 1920-an dan awal 1930-an.

Sementara itu, hospital pula sesak dengan pesakit. Pihak pengurusan hospital seperti di China dan Itali terpaksa membuat keputusan untuk memilih siapa yang patut mati dan siapa yang patut hidup kerana bilangan pesakit terlalu ramai sedangkan kemudahan hospital amat terhad. Itali yang dikatakan di antara negara yang mempunyai kemudahan perubatan terbaik di dunia terpaksa membiarkan sesetengah pesakit mati kerana tidak menang tangan.

Covid-19: Sedikit Fakta dan Penyelesaian Islam

Islam memiliki kekayaan konsep dan pemikiran cemerlang yang bersifat praktikal. Ia datang dari akidah Islam yang sahih yang terpancar daripada Al-Quran dan AS-Sunnah serta apa yang ditunjukkan oleh kedua-duanya (iaitu Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas). Bahkan Islam telah membuktikan kemampuannya dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi umat manusia di sepanjang sejarahnya yang panjang.

Perkara ini turut diakui oleh cendekiawan Barat, termasuklah dalam aspek menghadapi wabak seperti Covid-19 ini. Majalah Newsweek yang terkenal di Amerika telah menerbitkan sebuah artikel bertarikh 17 Mac 2020 bertajuk “Can The Power of Prayer Alone Stop A Pandemic Like The Corona Virus? Even The Prophet Muhammad Thought Otherwise” yang dikarang oleh seorang cendekiawan, Profesor Craig Considine yang beragama Kristian. Dalam artikel tersebut, beliau telah memuji Nabi Muhammad (saw) yang telah mengamalkan kebersihan yang baik dan kuarantin atau pengasingan dalam menghadapi wabak.

Manusia khususnya umat Islam wajar memandang jauh ke hadapan bahawa negara Khilafah, yang bila diterapkan secara praktikal akan menjadi penyelesaian segera yang dapat dirasakan dunia kebaikannya. Jika peringatan Nabi (saw) ditaati, sudah tentu masalah yang dihadapi sekarang akan dapat ditangani secara berkesan.

Umat Islam pernah diuji dengan taun ketika mereka menghadapi peperangan sengit melawan Rom di Syam pada tahun 18H. Umat Islam telah diuji pada pertengahan abad keenam Hijriyah dengan wabak asy-Syaqfah yang kini disebut cacar yang menyebar dari Syam hingga Maghribi. Umat Islam juga telah diuji pada pertengahan abad kelapan Hijriyah (749M) dengan apa yang disebut Ta’un al-A’zham di Damsyik.

Dalam Islam, pemerintah adalah pihak yang paling bertanggung jawab melakukan tindakan pencegahan untuk bahaya apa pun, termasuk virus Covid-19. Rasulullah (saw) menegaskan,

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara, dan dia yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Al-Bukhari].

Kemudaratan atau bahaya itu sendiri apa pun bentuknya wajib dicegah, sebagaimana sabda Rasulullah (saw),

“Tidak ada mudarat dan tidak boleh menimbulkan mudarat”.

Penyelesaian yang tepat untuk penyakit ini adalah seperti yang ditunjukkan oleh syariah Allah (swt), iaitu dengan pemerintah menelusuri penyakit tersebut sejak awalnya dan berusaha membatasi penularan penyakit di tempat kemunculannya sejak awal lagi. Manakala orang-orang sihat di tempat-tempat lain (di luar kawasan wabak) tetap dibenarkan bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa tanpa mengabaikan langkah pencegahan secara umumnya. Sikap pemerintah Malaysia, Amerika, China dan beberapa negara lain semasa di peringkat awal penularan wabak ini jelas menunjukkan mereka tidak serius untuk mengekang virus tersebut.

Menteri Kesihatan Indonesia pada 2 Mac lalu menunjukkan sikap acuh tidak acuh apabila beliau mengatakan, “Ini (Covid-19) termasuk ‘self-limited disease’ ertinya boleh sembuh dengan sendirinya, kerana itu penjagaan kekebalan (daya tahan) tubuh itu yang paling penting,”. Sikap tidak peduli itu juga kelihatan dari aspek kemampuan kemudahan kesihatan di Indonesia yang terbatas pada jumlah tertentu.

Di Indonesia, petugas-petugas kesihatan begitu terdesak sehingga mereka terpaksa membeli baju hujan untuk dijadikan sebagai baju perlindungan kerana pemerintah tidak serius tentang masalah ini. Sesetengah petugas kesihatan di Indonesia mengugut untuk mogok jika pemerintah tidak membantu mereka mendapatkan baju perlindungan yang sesuai. Malah terdapat laporan bahawa kes yang dilaporkan di Indonesia sebenarnya hanyalah 2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketelitian dalam melaksanakan langkah untuk mencegah penyakit perlu diberikan penekanan. Misalnya sebelum penguatkuasaan kawalan pergerakan (PKP) dimulakan, orang ramai panik dan berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan kerana takut bekalan akan habis. Ini boleh menyebabkan keadaan menjadi parah kerana jangkitan akan lebih cepat menular jika terdapat pembawa dalam kerumunan tersebut.

Di samping itu, negara wajib melarang kemasukan penduduk dari negara yang dilanda wabak. Rasulullah (saw) menyatakan melalui lisannya yang mulia,

“Jika kalian mendengar suatu negeri dilanda wabak, maka jangan kalian memasukinya. Jika wabak itu terjadi di negeri yang kalian berada di dalamnya, maka jangan kalian keluar darinya” [HR Bukhari dan Muslim].

Setelah berhadapan dengan pelbagai tekanan dan desakan daripada pelbagai pihak, akhirnya Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir mengumumkan langkah menyekat kemasukan rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei pada 27 Januari. Banyak pihak yang mengkritik kelewatan kerajaan dalam melakukan sekatan. Walhal sejak 11 Januari lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai ‘Public Health Emergency of International Concern’ (PHEIC). Pertimbangan kesihatan sewajarnya diletakkan lebih utama mengatasi pertimbangan ekonomi.

Penyelesaian Islam dalam isu ini bermula dari sebelum sesuatu wabak itu bermula lagi. Islam sangat menekankan aspek kebersihan di samping menitikberatkan pengambilan makanan yang halal dan toyyib (baik). Wabak dari Wuhan ini dilaporkan berpunca daripada virus yang disebarkan daripada hidupan liar kepada manusia. Amalan memakan hidupan liar seperti kelawar yang dikategorikan sebagai makanan ‘eksotik’ menjadikan virus yang terdapat pada haiwan tersebut tersebar kepada manusia.

Dalam pada itu, penekanan Islam terhadap kesucian daripada najis juga mendorong umat Islam untuk sentiasa membersihkan diri daripada sebarang kotoran, sekali gus mengurangkan risiko terkena penyakit.

Di samping itu, Nabi Muhammad (saw) juga pernah mengingatkan umatnya agar tidak memasuki wilayah yang sedang terkena wabak. Sebaliknya jika mereka berada di dalam tempat yang terkena wabak, maka mereka dilarang untuk keluar. Sabda Rasulullah (saw):

“Jika kamu mendengar wabah di suatu wilayah, maka janganlah kalian memasukinya. Tapi jika terjadi wabak di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu” [HR Bukhari].

Selain itu, terdapat keperluan bagi negara untuk mewujudkan sektor penyelidikan yang cekap. Negara mestilah maju dalam aspek penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan kuman-kuman penyebab wabak, alat perubatan, dan penghasilan ubat. Alat-alat perubatan dan bekalan perubatan dalam skala yang banyak perlu dipersiapkan. Industri yang menghasilkan alat perubatan mestilah mampu digerakkan supaya dapat menghasilkan alat tersebut bila-bila masa dan dalam kuantiti yang banyak untuk menampung permintaan. Di negara kaum Muslimin termasuk di Malaysia, kebanyakan ubat dan peralatan perubatan diimport dari luar.

Dalam pada itu, data-data tentang wabak perlu dianalisis dengan bersungguh-sungguh dengan melibatkan kerjasama rapat antara pihak kementerian dan juga tenaga kepakaran dari universiti-universiti tempatan dan lain-lain.

Kejayaan Korea mengurangkan jumlah jangkitan tanpa melakukan lockdown, yang seharusnya boleh dicontohi. Korea melaksanakan sistem “test, trace, and treat” (uji, kesan, dan rawat). Secara puratanya mereka melakukan hampir 20 ribu ujian setiap hari. Terdapat 43 stesen pengujian pandu lalu di seluruh Korea dan konsep ini ditiru oleh Amerika, Kanada dan Britain.

Di China, ketika mereka mendapati bahawa hasil ujian saringan konvensional memerlukan masa yang lama, mereka mengubah pendekatan mereka dengan melihat hasil CT scan yang boleh mengesan pneumonia. Hasil X-ray lebih cepat diperolehi dan membolehkan rawatan segera dilakukan. Negara perlu belajar daripada pengalaman yang dilalui oleh negara-negara luar, di samping menambahbaik langkah-langkah yang diambil berdasarkan kajian terhadap tindakan yang diambil oleh negara-negara tersebut.

Negara wajib melakukan langkah praktikal yang produktif untuk peningkatan daya tahan tubuh masyarakat. Setiap individu masyarakat terutama yang miskin mesti mendapat akses kepada makanan dan minuman yang berkhasiat. Negara mesti menjamin pemenuhan keperluan asas individu dan orang ramai yang semua itu penting bagi terwujudnya sistem imuniti yang kuat.

Langkah segera dan proaktif mesti dilakukan untuk membendung wabak ini dari menular. Jika didapati ada para pesakit yang berkeliaran, negara mesti mengerahkan segenap usaha untuk mencari mereka secepat mungkin sebelum mereka menjangkitkan virus itu kepada orang lain. Inovasi dalam melancarkan proses mengesan dan merawat pesakit perlu dikembangkan sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi.

Sebagai contoh, Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan telah melancarkan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan orang-orang yang dikuarantin dan mengumpulkan data tentang simptom-simptom. Perkara ini tercapai dengan mengumpulkan maklumat tentang nombor telefon bimbit, kad kredit dan data-data lain milik mereka yang telah diuji positif untuk mengkonstruksi semula lokasi-lokasi yang pernah mereka kunjungi.

Maklumat tersebut dikongsi dalam media sosial yang membolehkan orang lain mengetahui sama ada mereka pernah bertembung dengan orang yang dijangkiti. Namun, langkah sebegini perlu diambil secara berhati-hati agar data tersebut tidak disalahgunakan sehingga boleh menggugat hak individu terbabit.

Sistem penyampaian maklumat yang berkesan juga perlu demi memastikan orang ramai mendapat berita yang tepat dan benar. Komunikasi berkesan tentang bagaimana melindungi diri mereka dan orang lain, terutama ke atas golongan yang berada dalam kategori berisiko tinggi perlu dilaksanakan. Ketelusan dalam memberi maklumat perlu ada supaya orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan berita-berita palsu.

Demikianlah gambaran secara umumnya mengenai bagaimana Islam menanggapi penularan wabak seperti Covid-19 ini. Sudah semestinya penyelesaian yang lebih menyeluruh tidak dapat dijelaskan secara terperinci dalam ruang penulisan yang terhad ini. Namun setidak-tidaknya ia boleh dijadikan panduan secara umum dalam memacu hala tuju negara bagi menanganinya, selari dengan tuntutan syarak. Akhirnya, marilah kita bersama-sama memohon agar Allah memelihara kita daripada musibah serta menamatkan segera wabak yang sedang melanda. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Idris