Mencegah penularan Covid-19 adalah kewajipan syarak yang diperkukuhkan dengan nilai-nilai Islam

Ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang kini telah diisytiharkan sebagai pandemik, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi membendungnya. Pada 18 Mac lalu, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan sekali gus mengawal penyebaran Covid-19. Antara langkah yang diumumkan meliputi arahan pembatalan sebarang aktiviti keramaian termasuklah solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid-masjid, selain daripada penutupan premis-premis kerajaan dan swasta yang tidak tergolong dalam kategori perkhidmatan penting (essential services).

Dalam kita mendepani ujian sebegini, berikut merupakan rampaian nasihat serta peringatan ikhlas yang ditujukan kepada seluruh masyarakat khasnya umat Islam di negara ini:

1. Antara langkah berkesan dalam menghadapi ancaman jangkitan virus ini adalah dengan memelihara kebersihan diri, melalui langkah-langkah seperti menyahkuman permukaan-permukaan yang terdedah kepada kontiminasi virus, mencuci tangan sekerap mungkin, mengelakkan diri daripada menyentuh muka dengan tangan yang kotor, menahan diri daripada bersalaman dan berpelukan, serta menjauhi majlis-majlis keramaian yang dikhuatiri turut dihadiri oleh mereka yang telah dijangkiti virus tersebut. Rasulullah (saw) bersabda,

لاَ تُورِدُوا المُمْرِضَ عَلَى المُصِحِّ

“Janganlah dihimpunkan yang sakit dengan yang sihat” [HR Bukhari].

Manakala dalam Musnad Ahmad pula diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

فِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ فِرَارَكَ مِنَ الْأَسَدِ

“Larilah daripada orang yang berpenyakit kusta sebagaimana engkau lari daripada singa”.

2. Hendaklah kita kekal berada di rumah melainkan untuk melaksanakan urusan-urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Bagi mereka yang terpaksa keluar bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga, hendaklah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelakkan daripada dijangkiti. Antara langkahnya termasuklah mengekalkan jarak yang selamat (social distancing) sejauh lebih kurang 1 meter daripada orang di sekitar, menyahkuman dan mencuci tangan, serta mandi dan menukar pakaian yang dipakai semasa keluar, sebelum kembali bergaul bersama keluarga tersayang. Kesemua ini perlu dilaksanakan sejajar dengan sabda Rasulullah (saw),

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

“Tidak boleh (mewujudkan) mudarat dan tidak boleh memudaratkan (orang lain)” [HR Ibnu Majah].

3. Menjadi kewajipan juga untuk mengurung (kuarantin) mereka yang disyaki dan mengasingkan mereka yang telah disahkan positif wabak tersebut, kerana ia merupakan tuntutan syarak sebagaimana hadis Rasulullah (saw),

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

Apabila kamu mendengar suatu taun (wabak penyakit berjangkit) di suatu daerah maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak tersebut maka janganlah kamu keluar daripadanya[HR Bukhari].

Ummul Mukminin, Aisyah (ra), pernah bertanya kepada Rasulullah (saw) mengenai wabak, lalu baginda (saw) bersabda,

أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Sesungguhnya taun (wabak) itu adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi orang beriman. Tidaklah seseorang yang terkena wabak lalu terus menetap di kawasan yang dilanda wabak tersebut (untuk mencegah penularan) dalam keadaan sabar, berserah diri kepada Allah dan mengetahui bahawa tidaklah sesuatu musibah yang melandanya melainkan suatu yang telah ditetapkan oleh Allah, maka tidaklah baginya melainkan mendapat pahala seperti seorang yang mati syahid[HR Bukhari].

4. Kita juga dituntut untuk melaksanakan amalan-amalan yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai Islam seperti meringankan beban pihak yang dilanda kesusahan akibat wabak, membantu mereka yang lemah dan memerlukan, serta memberi kerjasama kepada pihak berwajib bagi menghadapi wabak ini dengan cara yang benar. Hal ini kerana setiap kita mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri untuk dimainkan bagi menghadapi ujian ini. Al-Mustafa Rasulullah (saw) bersabda,

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤول عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْؤولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ ومَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، – قَالَ: وَحَسِبْتُ أَنْ قَدْ قَالَ: وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي مَالِ أَبِيهِ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ – وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap daripada kamu adalah pemelihara, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipelihara. Seorang pemimpin adalah pemelihara bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dia pelihara. Seorang suami adalah pemelihara bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemelihara bagi rumah tangga suaminya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipeliharanya. Seorang hamba adalah pemelihara bagi harta tuannya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipeliharanya. (Ketahuilah) setiap kamu adalah pemelihara, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pelihara” [HR Muslim].

5. Bahawa umat Islam, tatkala berhadapan dengan pandemik ini, hendaklah meletakkan pengharapan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah (swt) di samping melaksanakan usaha untuk mencegah dan merawatnya. Segala ikhtiar yang dilakukan ini turut berbekalkan keterikatan hubungan dengan Allah (swt), kebergantungan kepada-Nya, serta pengharapan kepada pengampunan daripada-Nya, dan berdasarkan keyakinan teguh terhadap ketentuan (takdir) Allah (swt).

Sesungguhnya, umat manusia pada hari ini benar-benar memerlukan adanya pemeliharaan dan pengaturan yang benar daripada sebuah negara yang mengutamakan kebajikan serta nilai manusiawi berbanding nilai material dan keuntungan semata-mata. Umat manusia sejagat juga memerlukan Khilafah Rasyidah, sebuah negara yang membawa cahaya dan rahmah ke sekalian alam. Negara yang akan menanggapi wabak penyakit sebagai isu kemanusiaan dan tidak mengutamakan untung rugi material sebagai pertimbangan dalam usahanya untuk menyediakan rawatan serta menyekat penularan penyakit sebegini.

Wallahu a’lam.

Diterjemah dan diadaptasi daripada Kenyataan Akhbar Maktab I’lamiy, Hizbut Tahrir Tunisia