Ceramah Perdana – ‘Khilafah adalah Kewajipan’

Ahad, 28hb Jun 2009, Bandar Baru Bangi

Jawatankuasa Surau Bangi Perdana telah menganjurkan program Ceramah Perdana pada hari Ahad 28hb Jun 2009. Seawal pukul 6.30 petang, pameran dan jualan buku-buku Islam serta cenderahati telah dibuka kepada orang ramai manakala ceramah pula dimulakan selepas solat maghrib. Penceramah jemputan kali ini adalah Ustaz Abdul Hakim Othman yang juga presiden Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).

Tajuk ‘Khilafah adalah Kewajipan’, yang sangat relevan dan akan sentiasa relevan telah dikupas oleh penceramah dengan terperinci berdasarkan dalil-dalil syara’ dan pendapat ulama’. Dalil-dalil yang dibincangkan dengan tegas dan jelas menekankan kewajipan (mendirikan dan mempertahankan) sistem Khilafah. Pemilihan tajuk ini bertepatan dengan keadaan umat Islam yang berada dalam satu situasi yang amat hina sekarang ini. Sebab kepada situasi ini adalah tidak lain kerana umat telah melalaikan satu kewajipan yang cukup besar, menegakkan Khilafah. Khilafah disebut di  dalam hadis Rasulullah sebagai junnah atau perisai yang mampu menguruskan seluruh urusan umat Islam, seterusnya merubah keadaan mereka menjadi umat yang gemilang seperti yang telah tercatat dalam lipatan sejarah meniti zaman selama 1,400 tahun.

Di awal ceramah ini, Ustaz Abdul Hakim memperkenalkan secara ringkas bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bergerak di 40 buah negara termasuk di negara Barat sepeti UK dan AS. Hizbut Tahriri bermatlamat untuk mengembalikan Khilafah sebagai sebuah entity politik yang akan menerapkan hukum-hukum Islam dalam kehidupan manusia secara total berlandaskan tariqah perjuangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Dakwah Hizbut Tahrir bersifat politik semata tanpa elemen kekerasan seperti yang telah ditunjukkan baginda semasa mendirikan Daulah Islam yang pertama kali di Madinah.

Kekelirun segelintir masyarakat termasuk parti politik yang menyamakan Khilafah dan khilafiah juga diperjelaskan. ‘Khilafah’ adalah sistem pemerintahan Islam yang mengikut manhaj Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang mengatur urusan umat atau rakyat dengan wahyu dari Allah semata-mata, bukannya dengan akal manusia seperti yang diamalkan dalam sistem kapitalis/demokrasi mahupun komunis/sosialis. Khilafiah pula merujuk kepada perbezaan/perselisihan pendapat terhadap sesuatu perkara atau hukum di kalangan ulama’ kaum Muslimin.

Seterusnya, Ustaz Abdul Hakim membentangkan dalil wajibnya Khilafah ke atas kaum Muslimin yang dipetik dari sumber syarak iaitu iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak Sahabat. Ia dikuatkan lagi dengan penggunaan kaedah fiqh dan senarai panjang ulama-ulama muktabar yang mewajibkannya. Menegakkan Khilafah melibatkan perlantikan seorang Khalifah (pemimpin umum kaum Muslimin) yang akan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan yang diatur hanya dengan hukum-hukum Islam secara menyeluruh. Kemudian khalifah yang dilantik ini akan menyebarkan Nur Islam ke seluruh dunia dengan jihad futuhat bagi merealisasikan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam, termasuk bagi orang kafir.

Hadirin seterusnya diperingatkan bahawa ‘kewajipan’ ini bukan hanya terletak di atas bahu Hizbut Tahrir atau orang arab tetapi ia terletak di atas bahu semua manusia yang beraqidah Islam di mana pun ia berada, termasuk penduduk Bangi Perdana.

Di penghujung ceramah, diperlihatkan struktur  sistem pemerintah Islam secara total di mana ia diperincikan lagi secara ilmiah dengan dalil-dalil syara’ di dalam buku Ajhizah ad-Daulah al-Khilafah’- Struktur Negara Khilafah (Pemerintahan dan Administrasi) terbitan Hizbut Tahrir.

Dalam kesempatan ini pihak Hizbut Tahrir (Malaysia) ingin merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa dan qariah Surau Bangi Perdana atas kepercayaan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah pada program ini. Semoga ceramah ini akan dapat membuka hati dan fikiran umat untuk sama-sama bergerak menunaikan kewajipan mengembalikan Khilafah agar Islam dan umatnya kembali menjadi satu kekuasaan yang akan mengatur urusan dunia ini dengan Sistem Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, amin.

* Ceramah perdana ini boleh diperolehi dalam bentuk VCD/DVD.