Mini Seminar Khilafah Islamiyyah Di Kampar

KAMPAR, 6 Mac – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) cawangan Perak telah berjaya menganjurkan mini seminar kepada umat Islam di Kampar. Seminar yang diadakan sejak jam 9.30 pagi mendapat sambutan menggalakkan dari penyokong HTM di Kampar. Majlis yang penuh kesederhanaan itu dianjurkan di dewan Rumah Rehat Kampar di mana dua kertas kerja telah dibentangkan – Sejarah Negara Islam (Khilafah) dan Kewajipan Menegakkan Negara Islam. HTM menganjurkan program kesedaran ini bersempena mengingati kejatuhan Khilafah Islam pada tarikh 3 Mac 1924. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Encik Abdul Hamid dan majlis dipengerusikan oleh Encik Ahmad Haris.

Dalam kertas kerja pertama, Ustaz Ridhuan Hakim membentangkan fakta sejarah dan politik negara Islam (Khilafah) yang bermula sejak 1H sehingga keruntuhannya pada 28 Rejab 1342H. Dalam pembentangannya beliau menekankan aspek kehidupan yang cemerlang dan gemilang yang pernah dikecapi umat Islam sepanjang 1300 tahun dan merupakan rekod tamadun manusia yang paling hebat. Di akhir ceramahnya beliau menyatakan bahawa zaman kegemilangan Islam pasti akan kembali melalui beberapa bukti ayat Quran dan hadis Nabi SAW serta beberapa petunjuk kenyataan politik semasa. Sementara itu, kertas kerja kedua pula disampaikan oleh Ustaz Abu Aiman. Dalam kertas kerjanya beliau menyampaikan beberapa dalil syarak dan pendapat para ulamak mengenai kewajipan umat Islam menegakkan semula Daulah Islam (Khilafah) yang telah dijatuhkan oleh usaha puak nasionalis Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal. Katanya, umat Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab  ini agar terlepas dari dosa (kerana tidak berbuat apa-apa mengenainya). Menurutnya lagi, kewajipan ini sama seperti kewajipan-kewajipan lain yang dituntut oleh syarak.

Selain dari mendengar penyampaian kertas kerja, para hadirin juga disajikan dengan pameran Khilafah, jualan buku dan cenderahati Hizbut Tahrir serta tayangan video. Majlis yang berlangsung sehingga jam 1.30 petang diakhiri dengan bacaan doa dari En. Abdul Hamid setelah sesi soal-jawab ditutup.