Mini Seminar “Membina Generasi Muslim Era Pasca Modenisasi”

BUKIT MERTAJAM 12 Ogos – Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) Pulau Pinang sekali lagi menganjurkan mini seminar Muslimah bertajuk “Membina Generasi Muslim Era Pasca Modenisasi”.

Mini seminar yang bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari ini telah diadakan di Dewan Seminar, No 37, Tingkat 1, Lorong Perda Utama 7, Bandar Perda, Bukit Mertajam. Seminar ini menampilkan seorang penceramah berpengalaman iaitu Ustazah Roshayati Binti Johari yang juga merupakan ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) Manjung, Perak.

Mini seminar yang dipilih ini amat bersesuaian dengan pelbagai isu dan permasalahan yang sedang membelenggu generasi Muslim di era pasca modenisasi masa kini yang semakin parah. Ia juga turut memaparkan penyelesaian yang hakiki yang diperlukan untuk merungkai permasalahan ini sehingga ke akar umbinya.

Pada sesi pertama, Ustazah Roshayati telah memaparkan realiti keadaan kebahagiaan generasi Muslim di seluruh dunia yang sementara dan rosak dalam realiti hari ini sebagai seorang remaja, isteri, ibu, pekerja dan Muslimah. Ia memberi gambaran menyeluruh bahawa generasi Muslim sebenarnya tidak akan menjumpai kebahagiaan yang hakiki melainkan dipandu dengan jalan yang diredhaiNya. Akibatnya pelbagai penderitaan yang semakin parah dialami oleh anak-anak muda sekarang kerana tersalah pilih dalam memandu jalan ke arah mencari kebahagiaan sebenar. Kebahagiaan yang sebenar yang ditunjuk oleh Khalifah di zaman Khilafah Islamiyah dipaparkan juga sebagai perbandingan dengan keadaan sekarang yang hidup tanpa penerapan syariah Islamiyah.

Seterusnya, sesi kedua menghuraikan siapakah generasi Muslim yang dimaksudkan dan bagaimana ingin membina generasi sekarang menjadi generasi Muslim sejati. Beberapa peranan wanita dan penyelesaian Islam yang akan menuntaskan segala permasalahan generasi Muslim di era pasca modenisasi ini dengan sebaik-baiknya dibongkarkan. Wanita juga mempunyai kewajipan menuntut ilmu, berdakwah dan berpolitik. Ini kerana wanita juga merupakan bahagian penting masyarakat. Tak cukup dengan itu, syariat Islam juga mesti dilaksanakan secara keseluruhannya. Syariat Islam pula hanya boleh diterapkan dengan adanya Negara iaitu Khilafah Islamiyah yang mengatur dan mengurusi urusan umat melalui sistem pemerintahan, sistem pendidikan, sistem sosial, sistem uqubat, sistem ekonomi dan lain-lain yang berlandaskan kepada hukum syarak. Oleh yang demikian, penyelesaian masalah wanita sehingga ke akarnya menuntut ditegakkannya pemerintahan yang menerapkan Islam (Khilafah).

Seminar diakhiri dengan soal jawab, dan sambutan peserta sangat memberangsangkan. Oleh kerana banyaknya soalan yang diajukan, moderator terpaksa memilih soalan untuk dijawab oleh penceramah. Demi kepuasan peserta, puan Hamidah selaku juruacara majlis membuka peluang kepada peserta berinteraksi secara bebas dengan ahli panel selepas majlis berakhir, serta bergambar bersama-sama dengan penceramah dan ahli jawatankuasa majlis. Mereka juga turut ditawarkan untuk mengikuti program-program lain yang akan diadakan oleh penganjur.

Di kesempatan ini, MHTM Pulau Pinang ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa demi merealisasikan gerak kerja dakwah dalam mendekati umat ini. Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh.