Dakwah di alam maya pun nak kena ada tauliah? La haula wa la quwwata illa billah..

Dakwah di alam maya pun nak kena ada tauliah? La haula wa la quwwata illa billah..

Saya terpanggil untuk memberi sedikit komen mengenai video yang disiarkan oleh Sinar bertarikh 2 Ogos 2020, yang memaparkan wawancara dengan Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nasruddin Hassan, yang baru memegang jawatan tersebut pada 16 Julai lepas. Dalam video berdurasi 3:07 itu, Nasruddin dilihat menjawab soalan (yang terpapar di skrin) “Adakah selebriti media sosial perlu mendapat tauliah”.

Banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh orang nombor satu Yadim itu, yang juga merupakan AJK PAS Pusat, yang agak mengejutkan, walaupun tidak memelikkan. Kenapa mengejutkan?:-

  1. Saya tidak pernah mendengar beliau membicarakan tentang keperluan tauliah untuk berdakwah, apatah lagi di alam maya, sebelum beliau memegang jawatan dalam Yadim. Betulkan jika saya silap.
  1. Sebagai orang yang mempunyai latar belakang agama, beliau sepatutnya sangat arif bahawa dakwah merupakan kewajipan daripada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) yang tidak memerlukan keizinan (tauliah) daripada manusia.
  1. Saya yakin beliau yang aktif berdakwah selama ini pun tidak mempunyai tauliah daripada semua negeri di Malaysia, tetapi beliau tetap menjalankan kewajipan dakwah tersebut di mana sahaja. Sekali lagi, betulkan jika saya silap.
  1. Jika dakwah di alam maya perlu tauliah, maka bagaimana agaknya dengan para penceramah dan ustaz-ustaz yang tersohor dari Indonesia, Timur Tengah, Eropah dan lain-lain, yang kesemua ceramah mereka boleh ditonton dengan mudah di mana-mana sahaja di Malaysia melalui youtube, fb dan lain-lain aplikasi media sosial? Adakah mereka turut bersalah kerana berdakwah tanpa tauliah di media sosial, atau penonton yang bersalah, atau kedua-duanya bersalah?
  1. Apabila kita mengajak orang untuk solat, atau untuk meninggalkan riba, atau untuk menutup kilang arak, baik dalam bentuk video, penulisan, fb live dan sebagainya, ini semua adalah dakwah. Apakah kita memerlukan tauliah hanya melakukan semua ini?
  1. Apabila kita mengajak manusia untuk menyokong penerapan hudud, atau apabila kita menyeru pemerintah untuk menerapkan hudud, yang selama ini dilakukan oleh PAS dan ahli-ahli PAS, baik di alam nyata mahupun di alam maya, ini semua adalah dakwah. Adakah ini juga memerlukan tauliah?
  1. Apabila kita melakukan muhasabah terhadap tindakan salah pemerintah yang menerapkan sistem dan undang-undang kufur, dan mengajak pemerintah untuk berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, ini semua adalah dakwah. Adakah ini juga memerlukan tauliah?
  1. Sejak bila Al-Quran dan As-Sunnah mewajibkan pendakwah ada tauliah? Jika ada nas sila berikan, atau “nas”nya hanyalah taat kepada ulil amri? Walaupun hakikatnya “ulil amri” itu mencegah manusia daripada melakukan kewajipan dan memerintahkan manusia kepada kemaksiatan?
  1. Kita semua tahu ramai kawan-kawan YDP Yadim daripada PAS yang berdakwah, baik di alam nyata mahupun di alam maya, kerana memahami kewajipan dakwah yang ditetapkan oleh Islam. Dan saya yakin ramai daripada mereka yang tidak ada tauliah. Jika YDP Yadim bertegas akan keperluan tauliah untuk dakwah di alam maya, saya tertanya-tanya apakah mereka semua itu akan ditangkap suatu hari nanti apabila menyeru penerapan hudud tanpa tauliah?
  1. YDP Yadim berkata bahawa tauliah tersebut bukan bertujuan untuk menyekat dakwah, tetapi untuk memantau dan mengawal? Hakikatnya, segala kawalan, pemantauan dan peraturan dalam dakwah itu jelas merupakan suatu sekatan dakwah. Tidak hairanlah jika orang politik selalu dicop sebagai lidah bercabang.
  1. YDP Yadim juga berkata bahawa adanya tauliah akan memudahkan kawalan dan pemantauan. Pelik tapi benar. Apa yang susahnya untuk memantau dakwah di alam maya, sedangkan di alam mayalah dakwah itu sangat mudah untuk dipantau kerana boleh diakses oleh semua orang termasuklah pihak berkuasa, boleh disaksikan oleh semua orang, boleh dirakam dan boleh dilihat secara berulang-ulang. Dengan kata lain ia boleh dipantau dengan sangat mudah, pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Apa faktor yang menjadikannya lebih mudah dipantau jika ada tauliah?
  1. YPD Yadim mencadangkan agar dipermudahkan kelulusan tauliah untuk mereka yang mempunyai kelulusan agama. Persoalannya, adakah hanya mereka yang mempunyai ijazah, master atau PhD dalam bidang agama sahaja yang wajib atau layak berdakwah, dan yang perlu dipermudahkan urusan dakwahnya? Dan adakah jaminan bahawa semua orang yang mempunyai ijazah, master atau PhD akan pasti berdakwah menyampaikan perkara yang betul dan benar? Adakah terdapat dua darjat dalam dakwah, sebagaimana terdapat dua darjat dalam isu tangkapan ingkar PKP?

Kenapa kenyataan YPD Yadim ini tidak memelikkan?

  1. Begitulah pejuang politik demokrasi, walaupun dakwaannya adalah pejuang Islam, Sebelum berkuasa nadanya lain, setelah berkuasa dan pegang jawatan, nadanya akan berlainan. Kita sudah menyaksikan banyak hal-hal seperti ini sejak parti Islam naik ke pemerintahan. Hal ini memang tidak memelikkan langsung.

Alangkah bagusnya jika Yang Dipertua Yadim bersungguh-sungguh untuk menerapkan Islam secara kaffah di Malaysia ini, kerana itulah perjuangan yang dicanangnya selama ini, sebelum partinya menjadi kerajaan. Paling tidak pun, beliau seharusnya berdakwah kepada semua anggota kabinet yang merupakan sekutunya dalam pemerintahan, agar menerapkan Islam. Malangnya, beliau pula yang berusaha ingin menyekat dakwah dengan isu tauliah di media sosial. Di harap YDP Yadim akan sedar bahawa beliau sekarang berada dan bersekutu dengan sebuah kerajaan sekular yang tidak menerapkan Islam, yang mempertahankan sistem dan undang-undang batil tinggalan penjajah.

Akhir kalam, tulisan saya ini hanya merupakan secebis usaha dakwah saya kepada beliau, dan kepada mereka yang ingin mendengar, untuk menyedarkan beliau tentang ucapan beliau yang saya lihat sebagai suatu kesalahan. Diharap beliau tidak menolak usaha dakwah saya ini semata-mata kerana saya tidak mempunyai tauliah untuk berdakwah di media sosial, sebagaimana yang beliau kehendaki.

Wallahu a’lam.