Deklarasi Untuk Mengukuhkan Sekularisme?

6 inisiatif ‘Deklarasi Darul Ehsan’

SHAH ALAM 7 April – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor menggariskan enam inisiatif sebagai ketetapan bagi memastikan parti itu terus kukuh dan dapat meneruskan aspirasi serta mengembalikan keyakinan rakyat.   Inisiatif yang dikenali sebagai ‘Deklarasi Darul Ehsan’ itu dibuat atas usaha serta kesedaran seluruh ahli serta kepimpinan BN Selangor ekoran landskap politik yang kini dilihat berkecamuk kesan dasar destruktif pakatan pembangkang genap dua tahun mentadbir negeri itu.   Deklarasi yang dibacakan serentak lebih 2,000 ahli serta pemimpin daripada parti-parti komponen BN di hadapan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menggariskan enam inisiatif bagi mencapai matlamat tersebut iaitu berubah dan melakukan transformasi menjadi barisan hadapan juarai isu rakyat; bersungguh dan ikhlas berkhidmat membela nasib rakyat; memacu menggerakkan gagasan 1Malaysia.   Selain itu, inisiatif lain ialah mengembalikan maruah dan peranan negeri Selangor sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negara; memulih keyakinan rakyat dalam kelancaran pentadbiran dan keharmonian antara kaum; menilai dan memperkukuhkan strategik terbaik untuk menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.   Deklarasi tersebut diserahkan kepada Najib oleh Setiausaha UMNO Bahagian Sepang, Mohd. Arifin Mohd. Razid sebagai simbolik terhadap kesungguhan dan azam keseluruhan ahli serta pemimpin BN negeri itu agar parti terus diharapkan dan diyakini rakyat.

Sumber : Utusan Malaysia, 08/04/2010

Deklarasi Untuk Mengukuhkan Sekularisme?

BN yang diketuai oleh UMNO mula mengorak langkah bagi menawan kembali Selangor yang terlepas ke tangan PR selepas pilihanraya umum yang ke-12 lalu. Tambahan pula dengan pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April nanti, BN melihat ini sebagai peluang yang cukup baik untuk mengukur sejauh mana kekuatan dan sokongan rakyat terhadap mereka. Tidak hairanlah apabila kita melihat saat ini pelbagai jenis peruntukan sedang dicurahkan dan pelbagai janji manis sedang ditaburkan di Hulu Selangor. Deklarasi yang dikeluarkan itu juga nampaknya tidak lebih dari strategi BN untuk mengukuhkan gerak kerja mereka bagi menghadapi PRK di Hulu Selangor. Hakikatnya, konvensyen yang diadakan juga bertujuan untuk meraih manfaat untuk memenangi pilihanraya semata-mata.

Kita perlu sedar bahawa siapapun yang memerintah, samada BN mahupun PR, selagimana perlembagaan sedia ada terus diguna pakai maka yang pastinya, kehidupan sekularlah yang akan terus diterapkan. Dan jika inilah yang berlaku maka semakin jauhlah umat dari keberkataan yang dijanjikan oleh Allah SWT: ”Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96]. Yang jelasnya, deklarasi BN Selangor ini tidak lebih hanyalah deklarasi untuk mengukuhkan kehidupan sekular yang sememangnya sudah berakar umbi dalam UMNO dan BN itu sendiri.