Demokrasi melindungi kepentingan rakyat?
beliau menyatakan bahawa kerajaan akan terus melindungi kepentingan majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini daripada ancaman pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya lagi, kumpulan majoriti mesti dipertahankan daripada kumpulan minoriti yang cuba hendak menggugat keamanan kerana ia adalah prinsip asas demokrasi.
Mungkin kumpulan minoriti yang dimaksudkan itu adalah Hindraf dan juga kumpulan-kumpulan lain yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Kumpulan mana sahaja yang mengkritik kerajaan biasanya akan dianggap sebagai ‘menggugat keamanan negara’. Seperkara lagi, kumpulan-kumpulan yang mengkritik kerajaan ini juga akan dianggap sebagai menentang ‘demokrasi’ yang dianggap suci yang menjadi amalan negara sejak sekian lama. Justeru, apa sahaja tindakan mana-mana kumpulan yang menentang kerajaan akan dikatakan tidak demokratik dan akan ditafsirkan sebagai menggugat keamanan.
Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh ramai orang, apatah lagi pemerintah dalam sistem sekarang. ‘Demokrasi’ akan digunakan oleh pemerintah untuk melabelkan siapa sahaja yang mereka tidak suka sebagai ‘melanggar prinsip demokrasi’. Dan apabila prinsip suci ini dilanggar, maka setiap orang akan menjadi bersalah dan akan dihukum.
Idea asal demokrasi adalah memberi hak kepada setiap orang untuk bersuara dan berkumpulan. Namun oleh sebab demokrasi ini hanyalah diletakkan di bawah ketiak kerajaan, maka terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat pelbagai tafsiran mengenainya. Walaupun mereka menafikan hak rakyat untuk bercakap, berhimpun, menubuhkan kumpulan dan sebagainya (yang sebenarnya dibolehkan dalam sistem demokrasi), namun mereka tetap menyatakan tindakan mereka menghalang semua ini sebagai demokratik. Kerana apa? Kerana ‘definisi’ demokrasi adalah di tangan mereka dan mereka memiliki hak mutlak untuk menafsirkannya.
Justeru, mana-mana individu atau kumpulan yang mereka tafsirkan sebagai membahayakan demokrasi, maka individu atau kumpulan terbabit biasanya akan ditangkap, termasuklah para pejuang Islam yang ingin menegakkan agama Allah. Walaupun tanpa bukti yang para pejuang Islam ini menimbulkan kekacauan, ketidakstabilan atau keganasan, namun oleh sebab tindakan mereka mengkritik kerajaan, maka ini dikatakan boleh menimbulkan huru-hara dan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Hakikatnya demokrasi bukanlah memberi kesejahteraan kepada rakyat tetapi hanya memberi kesejahteraan kepada pemerintah. Demokrasi memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemerintah untuk sewenang-wenangnya menggubal pelbagai undang-undang dan peraturan, hatta sezalim mana sekalipun undang-undang tersebut, selagi mana majoriti ahli-ahli parlimen menyokongnya, maka ia akan diluluskan. Dengan inilah wujudnya, ISA, OSA, AUKU, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi akta-akta lain yang bertentangan sama sekali dengan Islam yang mereka luluskan demi membendung mana-mana orang atau kumpulan dari mengkritik kerajaan. Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh kerajaan kerana dapat menjaga ketamakan, kerakusan dan kezaliman mereka terhadap rakyat.
Jadi, kepentingan siapakah yang sebenarnya dilindungi oleh demokrasi, rakyat atau kerajaan? Kerajaan kononnya mengatakan bahawa mereka akan memastikan kepentingan majoriti rakyat dilindungi tetapi pada masa yang sama hak rakyat dirampas sewenang-wenangnya. Kepentingan dan hak rakyat ke atas hasil minyak, gas, balak dan hasil bumi lainnya, semuanya telah dikaut oleh pemerintah dan pemerintah menjadi kaya raya kerananya, manakala rakyat terus merana. Bila rakyat bersuara ingin menuntut hak mereka, dengan kata lain mengkritik kerajaan kerana hak mereka telah dirampas, maka perbuatan rakyat ini akan terus dicop sebagai melanggar prinsip demokrasi. Inilah keindahan demokrasi yang dinikmati oleh kerajaan dan rakyat yang masih belum sedar bahawa demokrasi hanyalah sebuah sistem kufur yang diwariskan dari penjajah terus menerus berusaha memperjuangkannya, walhal mereka senantiasa dalam keadaan ditipu dan ditindas oleh pemerintah, atas nama demokrasi!