Demokrasi – Senjata Barat Menghancurkan Islam (Siri 1)
Keruntuhan Soviet Union pada awal dekad 90-an, pada hakikatnya adalah kehancuran suatu negara dalam ertikata keruntuhan dan kepunahan sebuah ideologi secara internasional (tidak ada lagi negara yang mengembangkannya ke seluruh dunia) dan universal (tidak dianut lagi oleh suatu umat/bangsa mana pun).
Dengan hancurnya Sosialisme seiring dengan keruntuhan Soviet Union, akhirnya AS, dengan ideologi Kapitalismenya, telah mendominasi percaturan politik internasional. Ini kerana, tidak ada lagi negara di dunia ini yang mengembangkan ideologi lain (selain Kapitalisme) dan menjalankan strategi politik internasionalnya atas dasar ideologi tersebut. Namun ditinjau dari segi kewujudannya secara universal, sesungguhnya Islam masih tetap merupakan ideologi, yang kini menjadi satu-satunya musuh dan saingan kepada Kapitalisme.
Dengan adanya dominasi tunggal AS, lahirlah Tata Baru Dunia (a new world order), suatu istilah yang dapat dianggap tepat jika ditinjau dari segi kewujudan ideologi secara internasional. Oleh karena itu, wajarlah kalau Presiden AS pada waktu itu (George Bush) mengumumkan kelahiran Tata Baru Dunia, sebab AS adalah negara adidaya terkuat di dunia. Dialah pemimpin negara-negara Kapitalis sekali gus pembawa bendera propaganda ideologi Kapitalisme.
AS mulai menyebarkan Kapitalisme sejak ia tampil di pentas dunia sebagai negara penjajah. Metode yang digunakannya untuk menyebarkan Kapitalisme adalah dengan melakukan penjajahan (imperalisme), baik penjajahan gaya lama mahupun gaya baru.
Berkaitan dengan penyebaran Kapitalisme ini, ada satu hal yang betul-betul perlu diperhatikan dengan saksama. Bahawasanya, setelah AS berhasil memantapkan dominasi ideologi Kapitalisme secara internasional, kini AS sedang berusaha untuk memantapkan dominasi ideologi itu secara universal.
Sebelumnya, AS – dengan dibantu negara-negara Kapitalis lain – telah berjaya menjadikan Kapitalisme sebagai asas interaksi dan konvensi internasional. Dan kini, AS mempunyai cita-cita baru untuk menjadikan Kapitalisme sebagai “agama” bagi seluruh bangsa dan umat di muka bumi, termasuklah umat Islam.
Cara yang ditempuhnya untuk meraih cita-citanya itu, ialah dengan mengajak seluruh umat manusia untuk meyakini dan mengamalkan akidah dan ajaran Kapitalisme serta menjadikan idea-idea Kapitalisme sebagai mafahim (konsep), maqayis (standard) dan qana’ah (keyakinan) dalam kehidupan bagi seluruh umat manusia. AS tidak merasa cukup hanya menerapkan Kapitalisme sebagai peraturan dan undang-undang dalam negaranya sahaja, tetapi menginginkan seluruh bangsa di dunia agar menganuti dan mengamalkan apa yang mereka anut dan amalkan.
Dalam mencapai cita-citanya itu, AS bersama dengan negara-negara Barat yang lain mensasarkan Islam, satu-satunya ideologi yang menjadi musuhnya kini, sebagai sasaran utama. Serangan Barat ini berupa serangan pemikiran yang tidak disedari oleh sebahagian kaum Muslimin. Serangan ini dilakukan secara berterusan melalui pelbagai corong, ruang dan peluang yang ada, apatah lagi dengan kekuatan yang dimilikinya, termasuklah kekuatan media, maka Barat memanfaatkannya sepenuh kekuatannya itu untuk menghancurkan ideologi Islam.
Serangan Barat ini terwujud dalam empat slogan yang sebenarnya merupakan substansi ideologi Kapitalisme iaitu demokrasi, pluralisme, hak asasi manusia dan politik pasar bebas. Sebelum membahas slogan ini secara rinci, amat penting untuk umat Islam memahami terlebih dahulu kerosakan asas pemikiran yang melahirkan slogan-slogan tersebut.
Adapun asas slogan-slogan tersebut ialah akidah yang dimiliki oleh ideologi Kapitalisme itu sendiri, iaitu akidah pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme). Akidah sekularisme bukanlah akidah yang lahir daripada proses berpikir. Malah tidak dapat dikatakan sebagai sebuah pemikiran yang logik pun. Akidah pemisahan agama daripada kehidupan tidak lain hanyalah penyelesaian yang cenderung ke arah jalan tengah atau bersikap moderat, antara dua pemikiran yang kontradik.
Apakah dua pemikiran yang kontradik ini? Yang pertama ialah pemikiran yang dimiliki dan diserukan oleh tokoh-tokoh gereja di Eropah sepanjang abad pertengahan (abad ke 5-15 M), yakni kewajipan menundukkan segala urusan dalam kehidupan menurut ketentuan agama. Manakala yang kedua ialah pemikiran sebahagian cendekiawan dan ahli falsafah yang mengingkari keberadaan Al-Khaliq (Pencipta), sekali gus mengingkari kewujudan dan ketentuan agama.
Jadi, pemikiran “pemisahan agama daripada kehidupan” (sekularisme) merupakan jalan tengah (kompromi) di antara dua sisi pemikiran tadi. Penyelesaian jalan tengah, sebenarnya mungkin sahaja terwujud di antara dua pemikiran yang berbeza, jika masih mempunyai asas yang sama. Namun penyelesaian seperti itu (jalan tengah) tidak mungkin terwujud di antara dua pemikiran yang mempunyai asas yang kontradik.
Ini kerana, dalam pemikiran jalan tengah tadi yang asasnya kontradik, hanya ada dua kemungkinan. Kemungkinan yang pertama ialah kewujudan Al-Khaliq yang menciptakan manusia, alam semesta, dan kehidupan. Pembahasan yang sepatutnya muncul dari sini ialah, apakah Al-Khaliq telah menentukan suatu peraturan tertentu, lalu manusia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam kehidupan? Demikian juga, apakah Al-Khaliq akan menghisab manusia setelah mati mengenai keterikatannya terhadap peraturan Al-Khaliq ini?
Manakala kemungkinan yang kedua ialah ketidakwujudan Al-Khaliq. Jika demikian halnya, kesimpulan yang boleh dibuat dari sini ialah bahawa agama tidak perlu lagi dipisahkan daripada kehidupan, tetapi sebaliknya wajib dibuang terus daripada kehidupan. Ini kerana ketiadaan Al-Khaliq bermaksud ketiadaan agama, lalu kenapa perlu dipisahkan suatu yang tidak wujud?
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa keberadaan Al-Khaliq tidaklah lebih penting daripada ketiadaan-Nya, maka ini adalah suatu idea yang tidak memuaskan akal dan tidak menenteramkan jiwa.
Jadi, berdasarkan fakta, akidah Kapitalisme adalah jalan tengah di antara dua pemikiran kontradiktif yang sebenarnya mustahil untuk diselesaikan dengan jalan tengah. Berdasarkan hal ini sahaja sudah cukup bagi kita untuk mengkritik dan membatalkan akidah ini. Tidak ada bezanya apakah akidah ini dianut oleh orang yang mempercayai kewujudan Al-Khaliq atau yang mengingkari kewujudanNya. Di sinilah jelasnya kebatilan akidah Kapitalisme yang cukup dibuktikan dengan menunjukkan bahawa ia dibangun di atas jalan tengah antara dua pemikiran yang kontradiktif, dan bukannya dibangun atas dasar pertimbangan akal yang rasional.
Dengan merobohkan akidah Kapitalisme ini, sesungguhnya sudah cukup untuk merobohkan ideologi Kapitalisme secara keseluruhan. Sebab, seluruh pemikiran cabang yang dibangun di atas landasan yang batil pada hakikatnya adalah batil juga. Sepintas lalu ini bererti tidak perlu lagi dibahas idea-idea pokok dalam Kapitalisme satu per satu secara terperinci.
Namun, pembahasan secara terperinci terhadap idea-idea pokok Kapitalisme itu kini telah menjadi satu kemestian, kerana sebahagian idea-idea tersebut telah dipasarkan secara universal dan diterima oleh sebahagian kaum Muslimin. Selain itu, idea-idea tadi ternyata telah menjelma menjadi slogan-slogan yang digunakan Amerika untuk menyerang Islam dan umatnya dengan suatu serangan yang sangat ganas dan berbahaya.
Oleh kerana itulah, idea-idea pokok tadi mesti dibahas secara terperinci, kemudian diterangkan kekeliruannya dan kontradiksinya dengan Islam. Dengan demikian, diharapkan kaum Muslimin akan mengetahui bahawa mereka diharamkan untuk mengambil idea-idea tersebut. Dan lebih dari itu, mereka bahkan diwajibkan membuang sama sekali semua idea-idea itu dan menentang serta melawan siapa pun yang berusaha menjajakannya.