Demokrasi Yang Kian Busuk

PORT DICKSON 10 Okt. – Pengundi di Bagan Pinang diminta keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu esok tanpa perlu ada rasa takut dan bimbang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa terutama polis akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengundi terjamin.

Katanya, polis juga akan melakukan pemantauan secara dekat beberapa lokasi mengundi yang dikenal pasti.

“Yang penting rakyat di Bagan Pinang dapat memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan rasa selamat dan dalam keadaan selesa tanpa digugat oleh mana-mana pihak.

”Ini merupakan satu tanggungjawab yang telah diletakkan ke atas bahu pihak polis. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan memainkan peranan mereka. Saya memang tegas tentang pekara ini dan saya sendiri juga akan turut memantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Kompleks Sukan Rakan Muda, Teluk Kemang di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, peraih undi serta penyokong kedua-dua belah parti dilarang sama sekali untuk berkumpul di kawasan mengundi bagi mengelakkan sebarang pertembungan.

”Perkara ini telah dipersetujui bersama dengan pihak SPR bahawa penyokong kedua-dua belah pihak tidak dibenarkan untuk berkumpul di depan tempat undi sejak di Manek Urai lagi.

”Itu akan kita tekankan kerana di situlah mungkin boleh menjadi pertembungan antara peraih undi. Ini bagi mengatasi berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini pada hari mengundi,” kata beliau.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan dakwaan Pemuda Pas dicederakan beberapa hari lalu serta penyebaran khimat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur provokasi, beliau berkata, semua itu adalah satu pembohongan ekoran tiada laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan tersebut.

”Sekiranya pekara itu benar sejak awal lagi mereka telah membuat laporan polis, namun saya difahamkan sehingga hari ini tiada siapa yang tampil untuk memberikan keterangan dan laporan dibuat.

”Ini menunjukkan insiden itu tidak berlaku. Ingin saya nyatakan kalau susah sangat, saya sendiri boleh bawa mereka buat laporan polis,” katanya yang turut mempersoalkan motif penyebaran tuduhan itu.

Sumber : Utusan Malaysia 11/10/09

Apabila proses demokrasi dicemari dengan insiden keselamatan sebegini maka pihak pengaman seperti polis terpaksa bekerja lebih masa untuk menstabilkan huru-hara yang berlaku. Hakikatnya, perselisihan yang wujud merupakan salah satu manifestasi buruk sistem demokrasi. Demokrasi membuka peluang seluas-luasnya untuk  manusia bersaing, menindas dan jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain dengan apa cara sekalipun demi meraih manfaat. Akibatnya, huru-hara dan pecah-belah menjadi simptom yang lahir dari penerapan dan pengamalan sistem kufur tersebut. Ini sesuai dengan firman Allah SWT,

“Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus maka ikutilah ia, dan janganlah kamu ikut akan jalan-jalan yang lain, kelak ia akan memecah belahkan kamu” [TMQ Al-An’am(6): 153]

Demokrasi tak pernah akan memberi jaminan kepada keamanan manusia termasuk bagi pihak polis itu sendiri. Hanya Islam dan syariah sahaja yang mampu menjamin keamanan bagi umat manusia di seluruh dunia. Maka apakah kita masih mengharapkan demokrasi untuk mengatur hidup kita?