Demonstrasi aman terbesar: Satu pujian untuk umat Islam Indonesia
Ratusan ribu umat Islam berhimpun di pusat kota Jakarta semalam (4 November 2016) dalam satu demonstrasi aman terbesar dalam sejarah negeri itu, atas tujuan yang satu yakni untuk membela al-Quran yang dihina oleh Gubernur DKI Jakarta, Basuki Tjahya Purnama atau Ahok. Dalam masa yang sama, umat Islam menuntut agar Gubernur beragama Kristian itu ditangkap dan dihukum sewajarnya atas tindakan kurang ajarnya itu.
Perhimpunan tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia walaupun ada media yang cuba mengapikan isu perkauman disebabkan Ahok berbangsa cina. Padahal penolakan umat Islam terhadap Ahok bukanlah kerana bangsanya, tetapi kerana agamanya dan juga kerana keceluparannya menghina al-Quran yang menjadikannya tidak layak untuk memimpin kaum Muslimin.
Sesungguhnya demonstrasi tersebut wajar dipuji kerana ia berjalan dalam keadaan aman dan terkawal, walaupun dengan jumlah massa yang luar biasa besarnya. Sejak awal, banyak gerakan Islam dan para ulama yang memberi pesanan agar umat Islam mematuhi segala hukum syarak, menjaga akhlak dan adab apabila turun berhimpun. Malah kaum Muslimin turut berpesan-pesan sesama mereka agar menjaga diri dari sebarang keharaman dan provokasi tatkala berdemonstrasi.
Ternyata, sejak sebelum solat Jumaat sehinggalah ke waktu maghrib, demonstrasi berjalan dengan cukup aman dan tertib. Terdapat beberapa provokasi kecil yang berlaku, tetapi terus ditangani oleh peserta-peserta di sekitar dengan segera dan tuntas, sehingga tiada ruang untuk provokator meneruskan kejahatannya. Hanya setelah waktu Isyak tatkala perhimpunan sebenarnya sudah hampir berakhir, wujud kejadian yang tidak diingini menyebabkan beberapa orang tercedera hasil perlawanan dengan pihak polis.
Namun secara keseluruhannya demonstrasi tersebut berjalan aman, lancar dan amat baik sekali. Malah bila sesekali muncul provokasi dan kemarahan oleh segelintir individu yang tidak dapat menahan emosi akibat tidak dibenarkan mara oleh pihak polis, mereka terus diingatkan bahawa pihak polis juga adalah saudara sesama Muslim yang haram untuk disakiti. Begitulah antara “keindahan” yang wujud dalam demonstrasi kali ini, sebuah demonstrasi yang menyaksikan majoriti kaum Muslimin mempamerkan sikap dan akhlak sebagai Muslim sejati.
Kami dari Hizbut Tahrir Malaysia, yang mengikuti dan menyaksikan secara langsung demonstrasi tersebut di laman-laman sosial, dengan ini memberi pujian dan menyampaikan rasa gembira kami terhadap akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh saudara-saudara seakidah di Indonesia. Kami sungguh cemburu dan terharu dengan kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh para ikhwan dan akhawat di Indonesia bagi menjayakan demonstrasi aman ini dalam rangka membela Islam dan al-Quran.
Kami berdoa agar Allah SWT memberkati demonstrasi tersebut dan seterusnya memberikan kemenanganNya ke atas kita semua dalam usaha kita menegakkan keseluruhan hukum-hukum al-Quran dan kita disatukan segera di bawah Negara Islam al-Khilafah al-Islamiyyah ala minhaj nubuwwah.