Demonstrasi HTM Desak Rejim Komunis China Henti Tindas Muslim Uighur

KUALA LUMPUR 27 Disember – Sebuah perhimpunan aman telah dianjurkan di Kedutaan Besar Republik Rakyat China sejurus selepas solat Jumaat hari ini bagi mendesak rejim China agar menghentikan segera penindasan ke atas Muslim Uighur di wilayah Turkistan Timur (Xinjiang).

Di samping itu, perhimpunan anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ini turut bertujuan untuk menzahirkan solidariti kepada Muslim Uighur yang berhadapan dengan penyeksaan dan penindasan secara sistematik oleh rejim komunis China, serta mendesak para pemimpin umat Islam untuk melakukan tindakan konkrit bagi menamatkannya.

Perhimpunan bermula sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, sebelum para peserta berarak dalam barisan yang tertib ke Kedutaan Besar China di Jalan Ampang. Laungan takbir dan syahadah bergema di sepanjang perjalanan sekitar 1.4 km itu. Peserta turut melaungkan “Hidup Islam”, “Hancur Komunis” dan “Tegak Khilafah” dengan penuh semangat sehingga ke kedutaan.

Pihak polis pada asalnya telah membenarkan HTM berhimpun di seberang jalan bersebelahan kedutaan Arab Saudi yang betul-betul menghadap ke kedutaan China. Namun di saat akhir mereka (PDRM)  terpaksa melencongkan peserta perhimpunan ke kawasan lain setelah kedutaan Arab Saudi tidak membenarkan perhimpunan berlangsung di kawasan tersebut.

Perhimpunan HTM turut beriringan dengan sebuah lagi perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta beberapa NGO lain yang berarak dari Masjid Ibnu Mas’ud dan kesemuanya berkumpul tidak jauh dari kawasan kedutaan China atas arahan polis. Walaupun kelihatan bertembung, namun perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa isu Muslim Uighur ini merupakan isu umat Islam yang wajib diambil berat tanpa mengira latar belakang organisasi mahupun arah perjuangan masing-masing. Dianggarkan lebih daripada 500 orang telah bersama-sama menghadiri perhimpunan aman ini.

Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dan Presiden ABIM, Sdr Muhammad Faisal Abdul Aziz menjadi wakil kumpulan masing-masing untuk menyerahkan memorandum ke kedutaan yang bagaimanapun tidak diterima oleh kedutaan rejim komunis tersebut. HTM menyampaikan mesej yang tegas agar China menghentikan segera penyeksaan dan penindasan terhadap Muslim Uighur serta mengembalikan semula hak mereka khususnya untuk mengamalkan ajaran Islam.

Abdul Hakim dalam ucapannya selepas penyerahan memorandum tersebut menyifatkan pihak kedutaan China sebagai pengecut kerana tidak berani menerima walaupun sekeping kertas. Selain itu, Jurucakap HTM itu turut menyifatkan bahawa sikap kedutaan yang tidak berani menghantar wakil untuk menerima memorandum tersebut sebagai membuktikan kezaliman mereka ke atas Muslim Uighur benar-benar berlaku.

Muslim Uighur telah berhadapan dengan penindasan oleh rejim komunis China semenjak tanah air mereka dijajah pada tahun 1949. Atas alasan untuk memerangi ekstremisme dan terrorisme, dilaporkan lebih 1 juta Muslim Uighur ditahan di kem-kem yang mereka gelar sebagai ‘kem pendidikan semula’ yang hakikatnya merupakan kem penyeksaan dalam usaha jahat China untuk mengeluarkan mereka daripada Islam dan mendoktrinkan mereka agar menerima cara hidup yang bertentangan dengan Islam yang diamalkan oleh China.

Selain mengutuk apa yang dilakukan oleh rejim China, Abdul Hakim turut membacakan lima tuntutan HTM kepada kerajaan Malaysia dalam isu ini. “Hizbut Tahrir berjuang di seluruh dunia untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah, yang apabila tegak sedikit masa lagi, Khalifah akan pasti mengisytiharkan jihad untuk membebaskan kaum Muslimin yang tertindas di Turkistan Timur dan lain-lain bahagian dunia”, ucapnya dengan penuh semangat.

Perhimpunan ditutup dengan bacaan doa oleh pimpinan pusat HTM, Ustaz Umar Hussein dan bersurai dengan aman sekitar jam 3.30 petang.