Derita Gadis Yang Hidup di Bawah Sistem Kapitalisme

Diari dedah kisah hitam gadis 16 tahun
PETALING JAYA: Seorang ibu yang terbaca diari anak gadisnya terkejut apabila mendapati anaknya itu menjadi mangsa rogol bapa saudara sejak tahun lalu. Difahamkan, mangsa yang berusia 16 tahun sering menjadi pemuas nafsu bapa saudaranya yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah lelaki terbabit ketika tiada sesiapa di rumah. Menurut sumber, mangsa meluahkan rasa bersalahnya itu dalam diari kerana tidak berani memberitahu sesiapa selepas diugut akan dicederakan lelaki terbabit. “Mangsa terpaksa tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya di Kota Damansara selepas ibu bapanya bercerai pada 2006. Sumber berkata, sejak itu, mangsa sering kali dijadikan alat pemuas nafsu bapa saudaranya. “Mangsa pada mulanya cuba melawan, namun terpaksa mengalah selepas gagal menghalang lelaki itu daripada memperkosanya,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, penderitaan mangsa terbongkar apabila ibunya yang melawatnya di rumah itu terkejut apabila membaca diari berkenaan. “Wanita itu membuat laporan polis Sabtu lalu lalu kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Sumber : MyMetro, 05/04/2011


Derita Gadis Yang Hidup di Bawah Sistem Kapitalisme
Terlalu banyak kali kita dihidangkan dengan pelbagai laporan berkaitan sumbang mahram dan kes-kes haruan makan anak. Namun, bagi kes seperti ini, gadis tersebut hanya mampu meluahkan masalah di diari peribadi sahaja. Ini mungkin kerana risaukan risiko yang bakal ditanggung sekiranya mengadu masalah kepada orang lain. Ini jelas membuktikan, keselamatan masyarakat masih tidak terjamin oleh pemerintah, hatta mereka masih tidak rasa selamat untuk mengadu masalah yang dihadapi. Sungguh sedih melihat nasib seorang gadis yang terpaksa berhadapan dengan keluarga dan negara yang sepatutnya menjaga kebajikannya, tetapi apa yang beliau perolehi adalah sebaliknya.

Inilah kepincangan dalam institusi keluarga yang lahir dari sistem kufur yang diterapkan dalam masyarakat. Meskipun ibu bapa sudah bercerai, ini tidak bermakna mereka sudah terlepas daripada tanggugjawab memberi nafkah serta memelihara si anak hasil perkahwinan mereka.  Selain itu, sikap bapa saudara yang sepatutnya turut menjaga kebajikan anak gadis tersebut nyata telah hancur dalam masyarakat individualistik kapitalis sekarang. Dalam Islam, hubungan kekeluargaan yang wujud bukanlah hanya berkisarkan pada sikap saling ziarah – menziarahi semasa di Hari Raya, tetapi hubungan yang wujud juga membentuk sikap menjaga perihal kekeluargaan supaya tidak menyimpang daripada Islam, inikan pula daripada bertindak sebagai ikan haruan.

Keluarga yang lahir daripada penerapan sistem Islam akan saling menjaga ahli keluarga supaya tidak melanggar hukum syarak, tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat serta memuhasabah sekiranya ada ahli keluarga yang mula terpesong daripada ajaran Islam. Inilah keluarga sakinah yang akan lahir sekiranya sistem pergaulan dan sistem sosial yang digariskan Islam diterapkan dalam masyarakat. Dengan penerapan sistem ini serta sistem Islam secara keseluruhannya, ia bukan sekadar menjamin ketenteraman di dalam keluarga, bahkan akan menjamin kesejahteraan seluruh masyarakat dunia amnya!