Di sebalik penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB

1mdbDalam usaha rasionalisasinya, 1MDB minggu lalu telah menjual 60 peratus pegangan ekuitinya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

Umum mengetahui bahawa penjualan tersebut bukan sekadar untuk menyelamatkan 1MDB, tetapi lebih kepada menyelamatkan reputasi Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri, yang telah dikecam hebat berhubung isu syarikat pelaburan kerajaan yang penuh skandal itu.

Bagi mereka yang ada maruah dan celik politik, apa pun yang Najib lakukan, mereka akan melihatnya sebagai nasi yang sudah menjadi bubur. Penjualan 60 peratus ekuiti dalam BMSB kepada IWH dan CREC, sebuah syarikat dari China, bukanlah suatu yang boleh ditelan bulat-bulat oleh rakyat. Projek Bandar Malaysia seluas 486 ekar di ibu kota Kuala Lumpur, yang menjadi projek kembar kepada Tun Razak Exchange (TRX) bukanlah satu projek anak ayam yang boleh dijual kepada syarikat asing dengan begitu sahaja. Kerana itu, banyak pihak bangkit untuk menyuarakan bantahan walaupun hingga kini kerajaan hanya memekakkan telinga.

Konsortium IWH-CREC telah menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Jadi, nilai bersamaan 60 peratus yang dibelinya adalah sebanyak RM7.41 bilion. Berita melaporkan yang 1MDB akan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta apabila Perjanjian Jual Beli Saham dilaksanakan nanti.

Bandar Malaysia merupakan sebuah projek inklusif yang berorientasikan pengangkutan awam. Ia direka untuk memudahkan orang ramai berjalan kaki melalui jalinan laluan pejalan kaki dan berbasikal yang selamat dan selesa, berlatarbelakangkan kehijauan dan kawasan terbuka yang luas. Apabila siap, Bandar Malaysia yang terletak kira-kira tiga kilometer dari TRX itu bakal menyediakan penyelesaian urban paling inovatif untuk keselesaan dalam sebuah ekosistem urban yang baharu. Ia menyusun semula hubungan antara manusia, bangunan, lalu lintas serta alam sekitar di ibu negara.

Setiap projek pembangunan yang mengambil kira kestabilan ekosistem dan keselesaan manusia memanglah suatu yang baik. Namun, apa yang menjadi isu di sebalik projek pembangunan ini ialah salah tadbir dan segala macam skandal yang wujud dalam 1MDB yang mengendalikannya. Apa pun, atas semua itu, persoalan mendasar apabila kita bercakap tentang pembangunan ialah, adakah kita memerlukan pembangunan seumpama itu buat masa sekarang?

Beberapa perkara penting yang perlu diketahui di sebalik projek Bandar Malaysia mahupun TRX ialah:

  1. Dalam politik ekonomi Islam, keperluan asasi dan hak asas rakyat wajib dipenuhi terlebih dahulu oleh negara berbanding pembangunan untuk rakyat. Dengan kata lain, tidak boleh bagi negara menyibukkan diri dengan projek pembangunan sedangkan keperluan dan hak asas rakyat terabai. Negara wajib memastikan keperluan asas setiap individu rakyat iaitu makan-minum, pakaian dan tempat tinggal terpenuhi terlebih dahulu. Begitu juga dengan hak asas seperti hak kepada pendidikan percuma, kesihatan percuma dan keamanan wajib dipenuhi oleh pemerintah terlebih dahulu sebelum melakukan pembangunan-pembangunan lain dalam negara. Dalam konteks ini, negara wajib menyediakan sekolah, hospital dan penjagaan keselamatan dengan segala sumber manusia dan peralatan secukupnya kepada rakyat, terlebih dahulu. Setelah keperluan dan hak asas ini dipenuhi, termasuklah kemudahan-kemudahan lain seperti jalan raya, pengangkutan awam, masjid dan sebagainya dibina dengan secukupnya, maka apabila ada kelebihan pendapatan negara, barulah projek pembangunan lain dilakukan. Inilah politik ekonomi Islam yang wajib dipatuhi oleh pemerintah.
  1. Melihat kepada realiti di Malaysia yang mana masih banyak keperluan dan hak asas rakyat yang tidak dipenuhi oleh kerajaan, apatah lagi dengan jumlah hutang negara yang begitu tinggi, maka projek mega tidak sepatutnya dijalankan.
  1. Isu 1MDB dengan projek mewahnya Bandar Malaysia dan TRX ini membuktikan kepada kita bagaimana politik dan ekonomi negara sebenarnya hanya “dimainkan” dan dimonopoli oleh para kapitalis. Sesiapa yang menguasai atau memiliki modal, maka merekalah yang menguasai negara. Inilah realiti sebuah negara Kapitalis! Golongan kaya akan bertambah kaya dan golongan miskin akan sentiasa tertindas. Kekayaan ekonomi negara hanya dimiliki oleh segelintir orang dan mereka yang menguasai modal (kapitalis) akan menguasai orang-orang politik seterusnya menguasai negara.
  1. Penerapan hukum Allah langsung tidak pernah diutamakan, malah ditolak. Sejak dulu dengan silih bergantinya Perdana Menteri, apa yang “ditawarkan” kepada rakyat hanyalah pembangunan demi pembangunan demi pembangunan. Bukanlah tidak bagus dengan pembangunan, malah kita memerlukannya menurut kesesuaian. Namun, perlu diingat bahawa pembangunan bukanlah segala-galanya yang kita perlukan. Realitinya, apa yang ditawarkan oleh setiap Perdana Menteri kepada rakyat ialah pembangunan, seolah-olah apabila bangkit di akhirat kelak, apa yang Allah akan tanya mereka ialah, sejauh manakah pembangunan yang telah kamu berikan kepada rakyat? Wang dan kuasa telah melupakan mereka bahawa apabila mereka bangkit di Akhirat kelak, apa yang Allah akan tanya mereka ialah, sejauh manakah kamu telah menerapkan hukumKu?

Wallahu a’lam.