Di Tengah-Tengah Politik Cacamarba, Masih Wujudkah Sinar Buat Umat Islam?

Dalam dunia politik demokrasi yang diamalkan pada hari ini, kita dapat menyaksikan betapa para pemainnya sentiasa meletakkan manfaat sebagai ukuran dalam percaturan menuju tampuk pemerintahan. Dalam politik demokrasi juga kita dapat menyaksikan bahawa sesungguhnya tiada sekutu yang kekal, dan tiada pula seteru yang kekal. Yang kekal hanyalah manfaat yang ingin dicapai. Setelah luput manfaat yang menyatukan mereka, maka terlerailah ikatan yang terbina.

Hakikat ini jelas dapat disaksikan apabila Pakatan Harapan (PH) mengangkat Tun Dr. Mahathir selaku calon Perdana Menteri seandainya mereka berjaya mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN). Keadaan ini mencetuskan dilema buat sebilangan penyokong pembangkang, khasnya mereka yang bergiat aktif menentang kezaliman “Maha-Firaun” semasa zaman Reformasi dahulu.

Ironisnya, dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), Mahathir telah diangkat mengetuai pakatan pembangkang yang pada awalnya tertubuh ekoran tindakan beliau memecat serta memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun setelah dua dekad berlalu, Anwar hanya melihat kezaliman ke atasnya itu tidak lebih daripada sekadar ‘luka kecil’, kerana mereka berdua kini mempunyai manfaat bersama yang ingin dicapai iaitu untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Justeru, tidak menghairankan apabila kita dapat melihat kenyataan-kenyataan bercanggah antara yang dikeluarkan sebelum ikatan manfaat sebegini terjalin dan juga sesudahnya. Kenyataan-kenyataan sebegini jugalah yang dijadikan modal dalam menjatuhkan kredibiliti seteru politik masing-masing dan menimbulkan keraguan serta syak-wasangka dalam kalangan penyokong parti pembangkang.

Terdapat juga penyokong BN yang membongkar kelemahan-kelemahan Mahathir sepanjang tempoh 22 tahun pentadbirannya dahulu. Namun tindakan sebegini sebenarnya akan memakan tuan, kerana kebanyakan pimpinan BN yang ada pada hari ini turut berada di bawah pentadbiran Mahathir, bahkan ada antara mereka yang turut sama dalam kabinet Mahathir. Mengapa hanya setelah Mahathir tidak lagi bersama mereka barulah dibongkar segalanya? Apakah perkara yang sama juga berlaku pada hari ini di bawah pentadbiran Najib? Mungkinkah terdapat banyak skandal yang “didiamkan” pada hari ini, semata-mata demi menjamin keberlangsungan survival politik masing-masing?

Lalu timbul persoalan demi persoalan, apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh para politikus di negara ini? Benarkah mereka membawa aspirasi rakyat, atau sekadar ingin mencapai cita-cita dan kepentingan peribadi? Apakah kita boleh bergantung harap kepada para politikus ini demi masa depan yang lebih baik? Adakah ini sahaja pilihan yang ada – memilih antara yang buruk atau yang lebih besar keburukannya?

Seandainya PH berjaya mendapat mandat dalam PRU-14, lalu Mahathir meletakkan jawatan bagi memberikan laluan kepada Anwar (seandainya beliau mendapat pengampunan – yang dilihat agak tipis berdasarkan kesalahan yang disabitkan ke atas beliau), adakah aspirasi rakyat akan benar-benar dipenuhi? Bagaimana pula dengan kesalahan-kesalahan Mahathir yang sebelum ini digembar-gemburkan? Adakah telah wujud perjanjian di sebalik tabir bagi “mengampunkan” dosa silam Mahathir dan jaminan karier politik anaknya, Mukhriz?

Jika BN berjaya mengekalkan pemerintahan, apakah kemelut yang melanda negara ini akan berjaya ditangani? Bagaimana pula dengan skandal-skandal yang terpalit pada pimpinan BN selama ini?

Bagaimana pula jika salah satu pihak hanya menang tipis? Kerajaan campuran mungkin akan ditubuhkan atas kompromi antara pihak pembangkang dan kerajaan. Tidak mustahil juga jika terdapat pihak yang melompat parti, atau meninggalkan pakatan yang telah dibuat demi menduduki tampuk pemerintahan. Kelompok ketiga pula akan dianggap sebagai ‘king maker’, dan dilihat akan mampu meletakkan syarat-syarat yang berpihak kepadanya. Namun dalam masa yang sama, perlu disedari bahawa mereka juga terpaksa berkompromi dalam hal-hal tertentu termasuklah dalam prinsip-prinsip perjuangan mereka sendiri.

Akibat kecelaruan yang timbul daripada politik cacamarba ini, telah muncul gerakan ‘undi rosak’ sebagai tanda protes yang saban hari semakin mendapat momentum dalam kalangan rakyat. Mereka dilihat sudah muak dengan lakonan di pentas politik demokrasi, namun pada masa yang sama tidak menemui sebarang alternatif lain di luar kerangka politik demokrasi. Ke mana hala tuju golongan ini setelah merosakkan undi mereka? Apakah tindakan sebegini akan dapat merungkai kecelaruan yang berlaku pada hari ini, serta mengembalikan fokus kepada akar permasalahannya? Atau sekadar protes yang disusuli dengan rungutan di kemudian hari semata-mata?

Demikianlah realiti yang terjadi dalam arena politik tanah air pada hari ini. Sesungguhnya perubahan hakiki tidak akan dapat tercapai selagi mana sistem yang digunapakai pada hari ini terus dikekalkan. Hatta parti yang membawa aspirasi Islam sekalipun akan terpaksa berkompromi dan mengorbankan prinsip apabila mereka bergelumang dalam demokrasi.  Sedangkan selaku seorang Muslim yang meyakini bahawa Islam adalah sebuah mabda’ (ideologi) yang sempurna, pasti kita ingin Islam diterapkan secara kaffah termasuklah dalam aspek kenegaraan tanpa sebarang kompromi. Dalam pada itu, kita perlu jelas bahawa sesungguhnya Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, apatah lagi hendak dikompromikan semata-mata demi meraih kekuasaan.

Terdapat sebilangan politikus yang menggunakan slogan “Selamatkan Malaysia” dalam kempen politiknya, namun sebenarnya yang perlu kita lakukan adalah dengan menyelamatkan negara ini daripada dihancurkan akibat percaturan politik demokrasi yang rosak lagi merosakkan ini. Inilah hakikat yang perlu disedari dan disusuli dengan tindakan tuntas ke arah kebangkitan hakiki. Dengan mencampakkan demokrasi dan berusaha mengembalikan Khilafah Islam, sinar harapan pasti akan kembali buat umat ini. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia