Sentuh Anjing: Introspeksi Buat Umat Islam Terhadap Kecelaruan Dalam Meletakkan Keutamaan Pada Tempatnya

Persoalan mengenai anjing dan kenajisannya bukanlah suatu perkara yang baru dalam dunia fiqh, sebaliknya pembahasannya telah pun dirungkaikan oleh para imam mazhab dan diperakukan sebagai sebahagian daripada perkara khilaf dalam khazanah keilmuan Islam semenjak berkurun lamanya. Meskipun terdapat sedikit perbezaan pendapat, namun perbezaan tersebut tetap dinilai sebagai pandangan syarak selagimana pembahasannya dibuat berdasarkan nas-nas syarak melalui proses ijtihad yang benar. Perbezaan sebegini merupakan suatu lumrah yang syar’ie dan sepatutnya dibahaskan secara harmoni serta ia tidak sewajarnya mencetuskan polemik yang berpanjangan sehingga boleh memecah-belahkan umat.

Penganjuran program “I Want to Touch a Dog” di Bandar Utama pada 19 Oktober lalu telah mencetuskan kontroversi apabila tindakan tersebut menerima kritikan hebat daripada sebilangan pihak yang melihatnya dengan penuh kesangsian. Dianggarkan  sejumlah 1000 orang telah menghadiri program tersebut termasuk individu-individu Muslim. Penganjurnya, Syed Azmi Al-Habshi menyatakan bahawa tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk menghakis ketakutan orang ramai terhadap anjing yang digambarkan sebagai ganas dan sering menyerang manusia. Sungguhpun demikian, beliau telah menerima banyak reaksi yang negatif termasuklah cacian dan ancaman bunuh oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Kecaman yang keterlaluan sedemikian merupakan tindakan yang sangat tidak wajar walaupun pada hakikatnya kita tidak bersetuju dengan penganjuran program tersebut.

Namun persoalan mula timbul apabila pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang meluluskan program tersebut kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan bahawa perjalanan program tersebut adalah tidak sama dengan permohonan yang dibuatnya sebelum ini. Rentetan daripada isu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir berkata bahawa Majlis Fatwa telah memutuskan bahawa isu menyentuh anjing ini bertentangan dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Imam Syafie*. [1]

Dalam pada itu, program ini juga secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada penularan idea liberal dalam umat melalui penyahpekaan budaya (cultural desensitization), walaupun mungkin perkara ini tidak disedari oleh pihak penganjur. Jika dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti terdapat segelintir umat Islam yang jahil akan meniru budaya Barat yang menganggap anjing sebagai ‘teman terbaik manusia’ (man’s best friend) lalu menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri ra, beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak sekali pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka? [HR Muslim].

Islam sejak daripada awal telah pun memberikan garis panduan yang jelas berkenaan anjing dan kenajisannya. Majoriti ulama mazhab berpegang bahawa haram memelihara anjing kecuali dengan tujuan tertentu. Antara dalil-dalilnya;

Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya bekurangan satu qirath” [HR Bukhari dan Muslim].

“Tidak akan masuk para malaikat ke dalam rumah yang ada anjing, dan tidak juga yang ada patung”
  [HR Muslim].

Walaupun begitu, ini tidak bererti bahawa Islam membenarkan penganutnya menyeksa dan membunuh anjing sesuka hati. Bahkan umat Islam dituntut untuk berlaku ihsan terhadap semua makhluk Allah, termasuklah anjing. Sifat ihsan pula tidak semestinya dizahirkan dengan hanya menyentuh, membelai, memeluk anjing dan menjadikannya sebagai haiwan peliharaan. Banyak lagi cara lain yang tidak melanggar hukum syarak boleh dilakukan seperti memberi makan jika diminta serta tidak memukul atau menganiaya haiwan tersebut. Justeru, program tersebut ternyata keterlaluan lantaran kewujudan aktiviti-aktiviti seperti memeluk anjing sambil bergambar, menyuapkan makanan ke mulutnya tanpa disertu kembali tangan yang terkena air liur anjing dan lain-lain lagi. Cukuplah dengan mendidik umat Islam tentang adab terhadap makhluk Allah itu dan hukum-hakam syarak yang jelas dalil-dalilnya tentangnya yang sekaligus akan menghapuskan stigma ketakutan terhadap anjing dalam masyarakat Melayu-Muslim. Walaupun terdapat mazhab yang tidak mengharamkan umat Islam daripada menyentuh anjing, tetapi ini bukan bermakna kita boleh bermain dan membela anjing sebagai ‘pet’. Penganjuran program sebegini akan hanya melalaikan umat daripada perkara yang sepatutnya diberikan lebih perhatian dari segi keutamaannya.

Letakkanlah Keutamaan Pada Tempatnya

Isu menyentuh anjing ini juga tidak sewajarnya dibahaskan secara berlebihan sehingga mencetuskan polemik berpanjangan yang merugikan umat. Kita tidak sewajarnya terlalu disibukkan dengan berdebat soal khilaf yang bersifat furu’ sehingga mengabaikan kewajipan lain yang jauh lebih utama. Pada hari ini, hukum Allah sudah tidak lagi diterapkan secara hakiki dalam aspek kenegaraan. Hal ini secara tidak langsung menatijahkan pengabaian terhadap penerapan Islam dalam ruang lingkup kemasyarakatan dan peribadi lantaran tiadanya penguatkuasaan syariah daripada  negara.

Penerapan sistem sekular-demokrasi-kapitalis pada hari ini juga telah melahirkan sebuah masyarakat yang secara umumnya bersifat individualistik dan menjadikan manfaat sebagai tolok ukur dalam kehidupan. Akibatnya, amalan ‘amar makruf nahi mungkar’  telah dipandang sepi oleh sebahagian besar umat dan ia diletakkan atas bahu individu tertentu sahaja, itu pun dalam ruang lingkup yang serba terbatas. Malah, atas dasar kebebasan yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi, usaha ‘amar makruf nahi mungkar’ dilihat sebagai satu pencerobohan terhadap hak-hak seseorang individu. Tanpa penerapan Islam secara syumul oleh negara (baca: Khilafah atas manhaj kenabian), akhirnya kemungkaran telah menjadi semakin berleluasa dan membarah. Benarlah sabda Rasulullah SAW;

“Pasti akan terlerai ikatan/simpulan Islam, satu persatu. Maka setiap kali terlerainya satu simpulan, manusia bergantung pada simpulan yang berikutnya. Ikatan/simpulan pertama yang dirungkaikan adalah pemerintahan dan yang terakhir sekali ialah solat”
[HR Ahmad].

Tanpa adanya Khilafah yang menjadi pelindung umat Islam, musuh-musuh Islam  dengan begitu mudah memperkotak-katikkan dan mempermainkan umat Islam. Tatkala umat Islam di Palestin menderita kerana masih dicengkam rejim Yahudi, kesucian Masjid Al-Aqsa yang dicemari pelampau Yahudi, krisis di Syria, Yaman, Iraq, Rohingya serta wabak ebola yang semakin menular di wilayah barat Afrika dan segala bentuk musibah lain yang menimpa dunia umat Islam, kita disibukkan pula dengan perkara-perkara yang melalaikan yang tidak sepatutnya.  Tanyalah pada diri kita sendiri, di manakah letaknya keutamaan kita?

Sedarlah bahawasanya kewajipan menerapkan syariah dan menegakkan Khilafah atas manhaj kenabian merupakan suatu keutamaan yang jauh lebih mendesak pada hari ini. Kewajipan ini merupakan qadhiyah masiriyah (persoalan hidup-mati) yang tertanggung di atas bahu setiap umat Islam secara kolektif. Ayuh, luruskan kembali pemikiran kita dalam meletakkan sesuatu keutamaan dalam kehidupan. Bergeraklah bersama-sama Hizbut Tahrir ke arah meningkatkan semula martabat Islam sekaligus membela umat Islam yang tertindas melalui penegakan semula Khilafah atas manhaj kenabian. Wallahua’lam.

Nota:
*Pandangan mazhab Syafie: Anjing merupakan najis mughallazah dan sesiapa yang menyentuhnya perlu disertu. Ulama besar mazhab Syafie, Imam Syamsuddin al-Ramli dalam karya beliau, Nihayah al-Muhtaj menyatakan dari hal keharaman menyentuh najis. Fatwa beliau kemudiannya diperjelas oleh Al-Syabramullisi; “Meletakkan (menyentuh) najis hanya diharamkan yang mana ianya perkara yang sia-sia”. Ertinya haram menyentuh najis sekiranya tiada keperluan (tanpa sebab).

Sumber: [1] Sentuh Anjing: Majlis Fatwa putus ikut mazhab Shafie