Dialog Negara Islam di JB bangkit kesedaran

JOHOR BAHRU 20 Mei – Selepas Sandakan, kini giliran Johor Bahru pula menerima kunjungan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di dalam siri jelajah ‘Dialog Negara Islam bersama HTM’. Lebih kurang 200 orang memenuhi dewan Jade Hall, Hotel Goodhope untuk bersama-sama majlis dialog yang julung kali diadakan oleh HTM ini. Program dimulai lebih kurang jam 9.00 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum kedua-dua ahli panel mengambil tempat.

Seperti mana di Sandakan, ahli panel dialog kali ini ialah Ustaz Abdul Hakim Othman dan Ustaz Umar Hussein. Abdul Hakim yang juga Presiden HTM memberi muqaddimah dengan menjelaskan tentang Hizbut Tahrir dan perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan negara Islam, Khilafah. Manakala Umar menjelaskan secara terperinci tentang maksud Khilafah itu sendiri yang merupakan sebuah entiti politik antarabangsa umat Islam, yang telah menaungi dunia lebih dari 13 abad dan runtuh pada tahun 1924.

Di sepanjang dialog, kedua-dua ahli panel diajukan dengan pelbagai persoalan yang menyentuh perjuangan Hizb dan juga Khilafah. Walaupun kebanyakan penanya mengajukan persoalan akan kesukaran untuk Hibut Tahrir merealisasikan cita-cita mulia ini, namun mereka tidak menolak akan kewajipan menegakkan negara Khilafah. Malah sebahagian dari mereka telah menunjukkan rasa tidak suka berada di bawah sistem demokrasi sekarang yang penuh penipuan dan kezaliman. Kebanyakan dari para penanya meminta penjelasan dari HTM tentang bagaimana cara Hizbut Tahrir menegakkan Khilafah apabila tidak mengambil jalan demokrasi dan kekerasan, yang kesemuanya telah dijawab oleh ahli panel secara ringkas tapi padat.

Presiden HTM seterusnya mengajak para hadhirin agar bersama-sama berganding bahu bersama Hizbut Tahrir di dalam memikul tugas yang mulia untuk menegakkan negara Khilafah, agar beban berat ini dapat diringankan dan seterusnya dapat direalisasikan.