Dialog Negara Islam menjelajah ke Perlis

KANGAR 1 Julai – Walaupun telah dibatalkan di saat-saat akhir oleh Hotel Putera Palace, lokasi asal di mana program Dialog Negara Islam (DNI) sepatutnya diadakan, namun dengan izin Allah DNI berjaya juga dilangsungkan di tempat lain iaitu di Hotel Sri Mawarni Inn. Alasan pembatalan yang diberikan oleh pihak Hotel Putera Palace sungguh amat mengecewakan kerana langsung tidak profesional. Besar kemungkinan bahawa terdapat tangan-tangan ghaib di sebalik pembatalan tersebut. Apa pun Allah Maha Berkuasa menentukan segala-galanya, alhamdulillah.

Walaupun terpaksa bertukar tempat di saat akhir dengan segala kesukaran yang dihadapi termasuk logistik hotel, keadaan tidak selesa itu langsung tidak mematahkan semangat ahli panel dan juga AJK yang bertugas, sehinggalah ke hujung program.

DNI kali ini mendatangkan Ustaz Abdul Hakim Othman yang juga Presiden HizbutTahrir Malaysia (HTM) sebagai ahli panel pertama dan ahli panel kedua ialah Ustaz TarmiziSalleh, yang juga merupakan AJK Pusat HTM. Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Mustaqim.DNI yang disiarkan secara langsung melalui internet ini membuka persoalan kepada semua peserta yang hadir dan juga penonton di rumah untuk berdialog dengan HTM mengenai isu Negara Islam (Khilafah) yang diperjuangkan oleh HizbutTahrir di seluruh dunia.

Mjalis dialog kali ini digamatkan dengan kehadiran seorang bekas senator yang berasal dari Perlis yang diberi kesempatan untuk berucap bagi mengemukakan pendapat beliau. Majlis berakhir kira-kira jam 1 petang dengan doa penutup yang dibacakan oleh Ust Umar Hussein.