Didakwa kerana edar risalah, dua pemuda HTM diperintah bela diri

KUALA KUBU BHARU 28 Mac – Dua syabab (pemuda) Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) diperintahkan untuk membela diri setelah hakim Mahkamah Kuala Kubu Bharu memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes hari ini.

Kedua-dua tertuduh tersebut, Ust Darukhutni bin Zainal Abidin dan Sdr Mohamad al-Hafiq bin Mohamad Khairudin telah didakwa mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) atas pertuduhan mengedar risalah Sautun Nahdah di Masjid Nurul Iman, Serendah pada 20 Mei 2016.

Sautun Nahdah (SN) merupakan keluaran rasmi HTM yang dikeluarkan secara berkala bagi menyampaikan pemikiran dan penyelesaian Islam terhadap isu-isu semasa. Kedua-dua tertuduh telah didakwa kerana mengedar SN bertajuk “LGBT: Kudis-Kudis Daripada Peradaban Barat” dan juga “5 Tahun Syria Diratah – Apakah Tiada Penyelesaian?” yang menampilkan pandangan syarak berhubung isu-isu yang dibangkitkan.

Dalam temubual yang dilakukan sejurus selepas tamat perbicaraan semalam, peguambela yang mewakili kedua-dua syabab HTM tersebut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan hakim kerana meyakini bahawa kes pendakwaan amat lemah di sepanjang proses perbicaraan. Namun beliau tetap optimis dan yakin dengan kekuatan kes yang diwakilinya ini serta bersedia untuk kes pembelaan nanti. Hakim menetapkan 18 dan 19 April depan bagi pihak tertuduh untuk membela diri.

Lebih 30 orang anggota dan penyokong HTM turut hadir bagi menyatakan solidariti kepada kedua-dua pejuang Khilafah yang didakwa tersebut, termasuklah barisan Pimpinan Pusat dan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman.