Dilema Orang Asal di Malaysia

Apabila kita menyentuh isu melibatkan orang Asal, pasti terlintas di fikiran kita mengenai kehidupan mereka yang serba daif dan terpinggir. Komuniti orang Asal di negara ini dilihat telah sekian lama hidup terpinggir meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Mereka kembali menjadi perhatian apabila tercetusnya insiden kematian beberapa orang Asal dari suku Batek yang dilaporkan berpunca daripada jangkitan campak (measles). Tragedi tersebut turut mencetuskan kontroversi apabila terdapat pihak yang mempersoalkan kesahihan laporan rasmi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung punca kematian serta ujian kualiti air yang dijalankan.

Apa yang pasti, tragedi yang menimpa suku Batek ini secara tidak langsung membuka mata umum terhadap kehidupan mereka yang serba daif dan sikap pihak tertentu yang didakwa mengaut keuntungan melalui aktiviti perlombongan haram yang mengakibatkan pencemaran terhadap sumber air yang digunakan oleh suku tersebut. Pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang terbabit seharusnya tampil ke hadapan bagi menyiasat dakwaan yang timbul. Sekiranya benar terdapat aktiviti perlombongan yang mengancam keselamatan orang-orang Asal yang menjalani kehidupan di kawasan tersebut, maka pihak berkuasa wajib mengambil tindakan tegas ke atas pelaku dan menghentikan aktiviti perlombongan yang dijalankan.

Baru-baru ini, timbul pula dakwaan bahawa terdapat orang Asal wanita yang dipaksa untuk mengambil suntikan perancang kehamilan oleh kakitangan kesihatan. Dakwaan tersebut masih dalam siasatan setakat penulisan artikel ini, namun sekiranya terbukti benar, tindakan tersebut adalah tidak wajar meskipun bertujuan baik. Hal ini kerana orang Asal, sepertimana kaum lain, mempunyai hak untuk membuat keputusan dalam hal melibatkan diri mereka setelah diberikan maklumat secukupnya mengenai manfaat dan risiko suntikan tersebut.

Gaya hidup dan tradisi orang Asal yang rata-rata banyak bergantung kepada sumber alam di hutan serta sering berpindah-randah menjadikan usaha untuk menyantuni keperluan mereka serta menjaga kebajikan mereka sukar untuk dijalankan. Faktor jarak dan perbezaan budaya menjadi antara punca mengapa pihak kerajaan sukar untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan memberikan bantuan dalam meringankan beban kehidupan mereka. Mereka yang mempunyai pengalaman berinteraksi dengan orang Asal pasti menyedari hakikat ini. Namun ini tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk membiarkan mereka terus berada dalam keadaan terpinggir. Sebaliknya, pihak berwajib perlu meningkatkan lagi inisiatif yang dilaksanakan bagi menangani kemelut yang menimpa orang Asal.

Sungguhpun demikian, terdapat juga sebilangan orang Asal yang telah menerima gaya hidup moden dan tidak lagi menjalani kehidupan nomad seperti yang diamalkan oleh nenek moyang mereka. Bahkan terdapat sebahagian daripada mereka yang telah berjaya meningkatkan taraf kehidupan mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara serta menjadi sebahagian daripada golongan profesional seperti doktor dan guru.

Pada Mac lalu, buat pertama kalinya orang Asal mempunyai wakil di dalam Dewan Rakyat apabila calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor mengangkat sumpah setelah memenangi pilihanraya kecil (PRK) Cameron Highland pada Januari lalu. Namun, sejauhmanakah suara orang Asal diketengahkan di Dewan Rakyat? Dalam masa yang sama, timbul persoalan apakah kerajaan benar-benar prihatin terhadap kemelut yang melanda orang Asal, atau sekadar retorik yang tidak diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan di peringkat lapangan?

Sewaktu Konvensyen Orang Asli 2019 yang dianjurkan buat julung kalinya di negara ini pada April lalu, kerajaan telah menyatakan komitmen dalam menangani isu masyarakat berkenaan, termasuklah dalam usaha merangka Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Nasional. Namun, keadaan orang Asal di negara ini masih tidak banyak berubah sehingga kini. Sejauhmanakah pelan pembangunan yang dirancang itu benar-benar meletakkan kepentingan komuniti orang Asal sebagai teras utama di tengah-tengah konflik kepentingan yang wujud dalam kalangan penggubal polisi dan mereka yang berada di koridor kekuasaan?

Di samping isu penularan penyakit yang dihadapi, orang Asal turut berhadapan dengan isu tanah adat yang menimbulkan konflik antara komuniti tersebut dengan syarikat konsesi balak yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri. Kemelut ini mendapat liputan media apabila sekumpulan komuniti orang Asli dari suku Temiar di Gerik membentuk sekatan di laluan yang digunakan syarikat pembalakan baru-baru ini. Perkara sebegini tidak seharusnya terjadi sekiranya batas penentuan tanah dan kepemilikannya diputuskan dengan jelas sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan membenarkan syarikat pembalakan untuk menerokainya. Dalam masa yang sama, implikasi penerokaan tersebut terhadap kehidupan dan keselamatan komuniti orang Asal yang berada berhampiran juga perlu dipertimbangkan sebelum sebarang kelulusan dibuat. Kerajaan tidak sewajarnya dikaburi habuan yang dijanjikan oleh syarikat kapitalis tanpa memikirkan kesannya terhadap komuniti ini.

Dalam masa yang sama, tidak lama dahulu timbul bantahan daripada pihak tertentu terhadap kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menetapkan sasaran untuk mengIslamkan semua orang Asal di negeri tersebut dalam 30 tahun lagi. Projek yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pihak yang menentang usaha dakwah ini berhujah bahawa pengIslaman tersebut dibuat terhadap golongan terpinggir dan mengambil kesempatan atas kesempitan hidup yang dihadapi. Bantahan tersebut bukan sahaja datang daripada orang bukan Islam, bahkan turut disuarakan oleh orang Islam sendiri.

Alangkah malangnya apabila golongan sebegini menentang usaha menyebarkan risalah Islam kepada golongan orang Asal, seolah-olah ajaran Islam itu buruk dan tidak patut disebarkan kepada komuniti orang Asal. Sedangkan usaha murni sebegini sewajarnya disokong dan dibantu bagi menyebarluaskan lagi ajaran tauhid yang membebaskan kita daripada kegelapan menuju cahaya.

Namun, dalam masa yang sama, kebajikan kelompok orang Asal ini juga perlu dipelihara dan disantuni secara berhemah. Islam hadir mengatur urusan kehidupan manusia secara menyeluruh, termasuklah dalam memberikan jaminan pemenuhan keperluan-keperluan asas dan hak-hak lainnya. Tanggungjawab ini wajib dipikul oleh negara melalui kerjasama pelbagai agensi yang wujud dalam menyantuni keperluan rakyat. Melalui usaha sebegini, barulah konsep Islam sebagai rahmat kesekalian alam dapat direalisasikan dalam erti kata yang benar dan bukan sekadar menjadi retorik yang indah di atas kertas dan dalam ucapan-ucapan sang menteri.

Demikianlah dilema yang dihadapi oleh komuniti orang Asal di negara ini. Tidak dinafikan, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan untuk menangani kemelut yang menimpa mereka, namun inisiatif-inisiatif tersebut tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya tiada kesinambungan antara penggubal polisi, pelaksana, dan juga pemegang taruh dalam memastikan hak-hak dan kebajikan mereka terjamin.