Malaysia Baru, ‘Avengers’ Versi Malaysia, Dan Dilema Janji 100 Hari

Malaysia Baru – itulah  slogan popular yang sering didengari di corong-corong media massa dan media cetak mutakhir ini. Sejarah besar telah berlaku di Malaysia kerana buat pertama kalinya Barisan Nasional telah tewas dalam pilihan raya setelah lebih enam dekad memegang tampuk pemerintahan. Pihak pembangkang (kini telah membentuk kerajaan) yang mulai mendapat nafas baru sejak tercetusnya gelombang reformasi genap dua puluh tahun lalu akhirnya berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu. Tun Dr. Mahathir kemudiannya sekali lagi telah diangkat menjadi Perdana Menteri bagi mengetuai barisan kabinet yang baru bagi memikul harapan rakyat membawa Malaysia ke arah mencapai wawasan yang didambakan.

Sejak 9 Mei lalu, kejutan demi kejutan berlaku dan rakyat sangat teruja dengan langkah-langkah yang telah dan bakal diambil oleh barisan yang mengemudi Malaysia Baru ini. Salah satu kejutan yang dilakukan oleh Mahathir ialah dengan menubuhkan Majlis Penasihat buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air bagi menasihati pihak kerajaan dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan sepanjang tempoh awal peralihan ini. Nama-nama besar yang dipilih ialah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, taikun Tan Sri Robert Kuok, Penolong Setiausaha Agung, Jomo Kwame Sundaram serta bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican. Nama-nama tersebut tidak asing lagi dalam negara ini serta mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Mereka inilah yang menjadi tempat rujukan kerajaan baru agar setiap keputusan yang dibuat mempunyai risiko yang paling kecil. Penubuhan majlis ini disambut baik oleh rakyat secara umumnya, sehingga ada segelintir ‘netizen’ yang menganggap majlis tersebut sebagai pasukan ‘Avengers’ Malaysia – merujuk kepada sekumpulan hero dalam sebuah filem fiksyen. Berbekalkan pengalaman dan kepakaran daripada Majlis Penasihat ini, pastinya lebih banyak lagi kejutan dijangka akan diumumkan khasnya dari sudut perekonomian negara dalam tempoh 100 hari setelah Pakatan Harapan (PH) meraih tampuk pemerintahan.

Tempoh 100 hari ini dilihat sebagai salah satu penentu ukur prestasi kerajaan baru, dan rakyat secara amnya, baik daripada pihak penyokong mahupun pembangkang pasti akan mengikuti sebarang polisi dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan PH. Mereka juga menanti-nantikan sejauh mana kerajaan ini menunaikan janji-janji yang ditabur dalam manifesto pilihan raya lalu.

Sungguhpun demikian, tempoh 100 hari ini juga merupakan suatu tempoh yang begitu singkat untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan. Bahkan mutakhir ini, penyokong pembangkang baru mulai mengungkit-ungkit dan menyindir setelah beberapa pengumuman dibuat didapati tidak selari dengan janji yang dibuat dahulu. Apatah lagi setelah kerajaan PH mengumumkan pada 31 Mei lalu melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa sebahagian daripada sepuluh janji dalam manifesto bagi tempoh 100 hari terpaksa ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan. Pastinya menjadi cabaran yang cukup besar bagi kerajaan dalam menunaikan janji tersebut, tambahan pula dengan beban hutang yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Dalam tempoh ini juga kerajaan bukan sahaja perlu bertindak dari segi ekonomi, bahkan dari segi sudut yang lain juga perlu dilihat supaya janji-janji tersebut dapat dilaksanakan seperti struktur undang-undang yang baru, hak kesamarataan antara kaum dan agama tanpa mencetuskan perbalahan antara setiap parti dalam pakatan yang membentuk kerajaan. Dalam pada itu, keputusan kerajaan pimpinan Mahathir untuk memberi keutamaan kepada aspek ekonomi sudah dapat dijangka kerana bagi sebuah negara demokrasi kapitalis, ekonomi negara merupakan perkara akar dalam melihat kejayaan sesebuah negara. Meskipun ini merupakan kali pertama Malaysia diperintah oleh parti yang lain, namun begitu sistem yang dijalankan tetap sama iaitu sistem demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Apa pun, semestinya lebih banyak halangan dan kritikan akan dilontarkan terhadap kerajaan yang masih baru menempuh fasa awal peralihan ini. Hal yang sama juga pasti akan dapat dilihat sekiranya gerakan Islam ditakdirkan memperoleh kemenangan di Malaysia. Namun persoalannya, adakah rakyat Malaysia serta barisan kabinet sudah cukup bersedia untuk mengamalkan Islam secara kaffah (menyeluruh)? Penerapan Islam secara kaffah di sini bermaksud bukan sekadar menampilkan barisan pemimpin yang baru, bahkan membawa perubahan bersifat sistemik sebagaimana tuntutan Islam, yang mungkin kelihatan begitu asing bagi rakyat Malaysia. Oleh demikian, usaha gigih dan konsisten perlu dilakukan bagi menyediakan umat ke arah penerimaan peralihan sistem daripada demokrasi menuju kepada sistem Islam yang lengkap dan sempurna. Alangkah indahnya seandainya Majlis Penasihat yang dilantik itu terdiri daripada insan-insan yang bukan sahaja berkaliber, bahkan menasihati barisan pimpinan ke arah perubahan sistemik dalam menerapkan hukum-hukum Islam. Malangnya, perkara ini tidak terjadi. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memperjuangkan dan menyuarakan aspirasi ini agar Islam diterapkan secara menyeluruh meliputi aspek perekonomian, perundangan, kehakiman, pergaulan, mahupun percaturan politik dalam dan luar negeri.