Disingkirkan: Pengajaran buat Muhyiddin, Shafie, Zahid dan lain-lain
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menstrukturkan semula kabinet memang penuh kejutan dan di luar dugaan, apatah lagi buat timbalannya yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan buat naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal. Hanya Allah dan mereka sahaja yang tahu apa perasaan mereka apabila dipecat dengan mengejut seperti itu.
Apakah kedua-dua tokoh UMNO itu tidak menyumbang kepada negara dan UMNO atau sangat sedikit sumbangan mereka atau mungkin aktiviti mereka selama ini merosakkan negara dan UMNO, sehingga “dibuang” dengan cara yang amat memalukan seperti itu? Atau apakah sebab sebenar pemecatan mereka?
Jawapannya mudah sahaja, semua orang tahu yang politik UMNO ialah politik kepentingan, lebih tepat lagi kepentingan peribadi dan kroni. Semua orang juga tahu bahawa dalam politik ala Machiavelli sekarang ini, tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal, yang ada hanyalah kepentingan yang berkekalan. Hari ini berkawan, esok bermusuh, esok berkawan, lusa bermusuh dan begitulah seterusnya. Setiap individu, apatah lagi pemimpin, mempunyai kepentingan peribadi masing-masing dan akan bertindak mengikut kepentingan tersebut.
Jadi, kanak-kanak pun tahu yang tindakan Najib memecat Muhyiddin, Shafie, Datuk Seri G. Palanivel, Datuk Seri Hasan Malek serta Datuk Dr. Ewon Ebin sudah pasti untuk kepentingan peribadi bagi meneruskan survival politik Najib yang cukup goyah buat masa sekarang. Apa pun alasan lain (selain kepentingan peribadi) yang Najib berikan, tidak akan ada orang yang mempercayainya. Hatta para pengampu Najib sekalipun tidak akan mempercayainya walaupun mereka akan menganggukkan kepala sekalipun.
Siapa pun yang Najib buang dan ambil dan apa alasannya pun, itu adalah haknya sebagai Perdana Menteri yang telah diberikan oleh undang-undang demokrasi. Pencinta demokrasi tidak sepatutnya mempersoalkan perkara ini kerana tindakan Najib adalah demokratik dan tidak ada satu pun yang tidak demokratik.
Cumanya, Muhyiddin, Shafie dan lain-lain anggota kabinet yang dibuang seharusnya mengambil pengajaran dari peristiwa ini bahawa kuasa yang ada pada mereka tidak kekal. Berapa lama sekalipun mereka telah berada di menara kekuasaan, namun mereka boleh jatuh dengan tiba-tiba. Semalam berkuasa, hari ini hilang terus dengan sekelip mata. Inilah pengajaran yang Muhyiddin dan Shafie perlu ambil dari ‘tragedi’ ini.
Pengajaran ini bukan sahaja buat mereka yang dipecat, namun buat mereka yang baru dilantik seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Muhyiddin dan lain-lain, bahawa kuasa yang ada itu tidak akan kekal lama. Zahid yang tersenyum sampai ke telinga dengan jawatan baru sebagai Timbalan Perdana Menteri, belum tentu dapat bertahan lama dengan jawatan nombor dua tersebut kerana politik UMNO ala Machiavelli akan bergantung pada kepentingan peribadi masing-masing.
Kerana itulah, orang-orang hebat seperti Muhyiddin dan Shafie perlu sedar, semasa mereka berada di tampuk kekuasaan, apakah yang telah mereka lakukan untuk Islam. Apakah mereka telah menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menegakkan agama Allah? Apakah mereka telah menggunakan kuasa mereka untuk menegakkan hukum-hukum Allah? Atau mereka selama ini hanya menggunakan kuasa mereka untuk mengekalkan sistem demokrasi yang kufur ini dan mempertahankannya? Atau mereka menggunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi dan untuk kepentingan ketua mereka (Najib) dan mengabaikan perintah Allah SWT? Walhal akhirnya mereka disingkirkan oleh ketua mereka sendiri seolah-olah mereka adalah musuh yang ketat.
Alangkah baiknya jika Muhyiddin dan Shafie menggunakan sisa-sisa pengaruh dan kekuatan yang ada pada diri masing-masing untuk berjuang menegakkan hukum-hukum Allah sekali gus menukar pemimpin dan sistem yang ada pada hari ini kepada sistem Islam, berjuang untuk menegakkan syariah dan Khilafah bagi memastikan agama Allah ini zahir di atas agama-agama yang lain.
Wallahu a’lam.