Diskaun Tol, Suatu Lakonan Babak Wayang
Ini merupakan natijah dalam kehidupan dunia kapitalis di mana segala-galanya pasti akan dikenakan bayaran atau cukai terhadap rakyat. Ini berbeza dengan Islam yang mengharamkan cukai tidak kira apa jua nama yang diberi seperti tol, GST dan lain-lain. Keharaman ini adalah bersifat mutlak di mana pelakunya (pemungut cukai) telah diberi amaran dan ancaman yang keras oleh Rasulullah saw sepertimana sabdanya:
“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)”
[HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].
Rasulullah turut bersabda,
“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].
Penekanan ini bersifat tegas di mana pemungut cukai akan dicampakkan ke dalam neraka sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. Dalam dunia sistem kapitalis yang diamalkan sekarang, keriangan umat untuk menyambut hari lebaran serta melakukan kunjungan ukhwah telah diambil kesempatan oleh syarikat-syarikat kapitalis untuk memeras untung secara berganda. Penipuan melalui topeng ‘diskaun’ ini bukanlah suatu perkara yang perlu diraikan kerana pihak konsesi sudah pasti akan mendapat keuntungan yang berganda kerana semakin bertambahnya pengguna menggunakan lebuhraya di musim perayaan ini. Cukuplah sketsa yang memualkan ini kerana umat sudah jerih dengan masalah yang tidak kunjung padam disebabkan bahana penerapan sistem kapitalis ke atas mereka.
Jalan raya (termasuklah lebuhraya) merupakan kemudahan umum yang sepatutnya disediakan oleh negara kepada rakyat secara percuma dan bukannya diberikan hak kepada syarikat swasta untuk mengeskploitasi kemudahan umum ini demi keuntungan mereka. Penyediaan kemudahan-kemudahan asas ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab negara dalam mengatur urusan umat sebagaimana pengaturan keperluan-keperluan umat yang lain seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan keamanan. Oleh itu, drama pemberian diskaun sempena lebaran sebenarnya hanyalah sebuah lakonan wayang pemerintah bersama-sama ejen mereka (pihak konsesi tol) bagi meraih keuntungan di kala rakyat berada dalam kesempitan hidup di bawah sistem kapitalis yang diterapkan dalam negara. Wallahu a’lam.
Sumber : Berita Harian Online, 02/08/2013