Sang Perompak Berlagak Baik Dengan Gula gula Diskaun

Diskaun raya 20 peratus

PETALING JAYA: Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) menawarkan diskaun tol sehingga 20 peratus kepada pengguna kenderaan kelas 1 di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Elite untuk enam hari sempena Aidilfitri kali ini.   Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways, Nik Airina Nik Jaffar, berkata tawaran diskaun itu antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 16, 17, 18, 22, 24 dan 25 September ini.   “Diskaun itu tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedia ada yang sedang dinikmati oleh pengguna kenderaan Kelas 1 di kedua-dua lebuh raya itu di luar waktu puncak setiap hari,” katanya pada sidang media di sini, semalam.   Katanya diskaun itu sebahagian daripada Program Insentif Perjalanan menghargai pengguna lebuh raya seperti disaran Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, baru-baru ini.    Nik Airina menasihatkan pengguna mematuhi Cadangan Jadual Waktu Perjalanan (JWP) ditetapkan Plus Expressways yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu.    Beliau berkata, JWP yang dikuatkuasakan untuk enam hari iaitu pada 18, 19, 22, 23, 26 dan 27 September ini. 

“Kami menjangka jumlah trafik di lebuh raya kendalian kami, terutama Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat secara mendadak kepada 1.3 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding sejuta kenderaan pada hari biasa.   “Jadi kami berharap pengguna dapat mengikuti jadual itu yang terbukti menjadi faktor utama menyumbang kepada kelancaran trafik di lebuh raya,” katanya.   Beliau berkata, ketika perayaan Tahun Baru Cina lalu kira-kira 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti JWP.   “Risalah JWP akan diedar kepada pengguna lebuh raya mulai minggu depan di semua plaza tol utama di negara ini,” katanya.   Sejumlah 2,500 kakitangan Plus dan 400 anggota polis dan St John Ambulans ditempatkan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik. � Bernama

Sumber: Berita Harian 11/09/09

Kemudahan Lebuhraya Adalah  Hak Rakyat: Bukan Hanya 20%. Kerajaan Kapitalisme Merompak 80% Hak Rakyat.

Wahai Umat Islam, sesungguhnya kerajaan kapitalisme telah merampas dan merompak hak rakyat atas nama “penswastaan”. Hak ini kemudiannya diniagakan dan terus rakyat diperbodohkan sehingga rakyat merasa bahawa perniagaan hak mereka ini merupakan suatu kewajaran!

Inilah kehidupan dunia Kapitalisme.  Hak milik umum seperti air, api/elektrik, jalanraya, minyak dan lainnya dirampas oleh kerajaan sekular dan dipindahmilikkan kepada GLC dan mereka (GLC) akan dengan rasa bangganya memaparkan keuntungan syarikat mereka setiap tahun! Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan perkara  ini dalam satu hadis dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan,

“wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api”.  [HR Ibnu Majah].

Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang dibenarkan Rasulullah untuk semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana individu menghalangi individu lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh menswastakan suatu aset yang Allah telah sediakan kepada awam.

Dan kini, meskipun dengan diskaun 20%, rompakan masih berlaku. Inilah kebijakan para pemimpin sekular yang secara sedar mahupun tidak sedar menipu rakyat mereka sendiri. Rakyat telah digula-gulakan dengan idea yang nampak menarik namun akhirnya yang terbeban dan sengsara adalah rakyat itu sendiri.

Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa kerajaan Kapitalisme dengan polisinya yang sedia ada akan terus memperkenalkan produk-produk beracun yang dilabelkan dengan madu. Produk-produk ini akan dijual kepada rakyat dan rakyat dipaksa untuk membelinya.

Wahai umat Islam! Bukankah apa yang dilakukan oleh kerajaan Kapitalisme ini suatu bentuk penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Apakah kerajaan sekular seperti ini yang masih kita harapkan?