Diskusi kerosakan demokrasi buka tirai 2013
Sesi pertama dimulai dengan memberikan definisi dan penjelasan tentang pornografi dan seks bebas serta realiti sebenar di dalam masyarakat. Nur Ain mengingatkan mengenai ‘pornografi terhormat’ yang banyak beredar di dalam masyarakat tanpa disedari. Gambar-gambar wanita dengan pose yang menggoda, gambar seksi, berpakaian sukan dan banyak lagi iklan yang mendedahkan sebahagian besar daripada anggota tubuh wanita kini dipandang biasa oleh masyarakat kerana telah terlalu banyak dipaparkan di media-media arus perdana.
Kesemua ini telah menyumbang kepada jenayah seksual dan kebejatan akhlak di kalangan remaja. Ditambah lagi dengan bahan-bahan pornografi yang sangat mudah diperolehi dengan meningkatnya kemajuan telekomunikasi dan internet membuatkan seks bebas dan jenayah seksual semakin meningkat dari hari ke hari.
Panel kedua, Ummu Hajar seterusnya mendedahkan bahawa semua kerosakan ini adalah berpunca daripada “sistem” kehidupan hari ini iaitu demokrasi kapitalis. Sistem demokrasilah yang membenar serta menggalakkan hal ini berlaku. Inilah sistem yang rosak lagi merosakkan kerana hukum berada di tangan manusia, bukan di tangan Allah.
Nur Ain kemudian mendedahkan kegagalan sistem demokrasi dalam menyelesaikan masalah pornografi dan seks bebas serta menghuraikan dengan panjang lebar bagaimana sistem buatan manusia ini telah menjadikan masalah ini semakin membarah di dalam masyarakat tanpa dapat dibendung.
Ummu Hajar akhirnya menjelaskan penyelesaian terbaik dari Islam dan memperincikan bagaimana Islam dapat menyelesaikan masalah ini hingga ke akar umbi. Selain ketakwaan individu untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara maksiat seperti ini, mahu tidak mahu, umat Islam sememangnya memerlukan sebuah Negara Islam yang akan menerapkan hukum Allah sebagai penyelesaian tuntas kepada segala permasalahan, Panel kedua ini seterusnya mengingatkan kewajipan para Muslimah untuk turut sama berperanan dalam menyelesaikan masalah ini melalui penegakan semula Daulah Islam yang akan menerapkan hukum Allah ke atas masyarakat seterusnya menjadi rahmat sekalian alam.
Ukhti Safanah mengakhiri majlis dengan bacaan doa memohon agar hukum Islam kembali semula menaungi ummah secara kaffah dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah di atas jalan kenabian.