Diskusi Wanita Mengangkat Isu Kecantikan Menurut Islam.
Majlis pada pagi tersebut dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran yang disampaikan oleh ukhti Huda Humairah dari surah an-Nisa bermula dari ayat 1-5. Selaku panel pertama Ustazah Amani mengupas realiti semasa berhubung isu kecantikan dan wanita. Beliau mempertontonkan realiti “muslimah cantik” yang selama ini dilihat sebagai ikon kecantikan dan natijah daripada keadaan tersebut. Sememangnya wanita hari ini terlalu obses akan kecantikan sehingga sanggup melakukan apa sahaja hanya kerana untuk kelihatan cantik. Para muslimah tidak terkecuali sehingga ada yang sanggup melanggar hukum syara’. Mereka seakan-akan lupa dengan firman Allah yang bermaksud “Setiap diri bertanggungjawab di atas apa yang telah diperbuatnya”. [TMQ al-Muddatstsir (74) : 38].
Ustazah Ain Abdurrahman selaku panelis kedua membentangkan kepada para hadirin kepelbagaian definisi kecantikan mengikut tempat dan bangsa. Ternyata seantero dunia saat ini tiada satu pun yang mendefinisikan kecantikan mengikut sudut pandangan Islam. Ternyata nilaian cantik itu hanya di mata manusia. Hadirin juga dibentangkan dengan perkara utama dalam isu kecantikan ini iaitu agenda besar puak kuffar. Puak kuffar Barat yang ternyata tidak pernah senang dengan Islam sehingga kita mengikut telunjuk mereka, terus-terusan menyerang umat Islam. . Penjelasan itu telah memperlihatkan kepada para hadirin dengan satu lagi bentuk serangan puak kuffar terhadap umat Islam.
Para hadirin turut dihidangkan dengan tayangan video berhubung isu yang dibicarakan.
Seterusnya, Ustazah Amani pada pusingan kedua menyentuh dari sudut fiqh Islam dan hukum syarak yang terkait dengan wanita. Islam telah menggariskan panduan khusus kepada umatnya berhubung tatacara berpakaian di tempat umum, larangan bertabbarruj, kewajiban menutup aurat dan sebagainya. Para hadirin juga dikhabarkan dengan hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada wanita dengan gambaran penyiksaan wanita di dalam neraka.
Seterusnya Ustazah Ain pula berkongsi pandangan mengenai bagaimana wanita muslimah sepatutnya menilai diri mereka. Wanita khususnya muslimah haruslah mementingkan kesihatan dan penampilan cantik sesuai dengan kehendak syara’. Beliau memberikan penekanan khusus akan nilai utama diri seseorang di sisi Allah ialah taqwa. Wanita juga perlu berusaha kembali untuk memartabatkan kemuliaan muslimah yang telah diinjak oleh kaum kuffar sejak jatuhnya Daulah Khilafah berabad yang lalu.
Di akhir forum, hadirin tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel. Melalui soalan dan pandangan yang dilontarkan dapat disimpulkan bahawa para hadirin telah mengikuti dengan jelas setiap butir perbincangan sepanjang forum itu berlangsung. Majlis diakhiri pada jam 12:45 tengahari dengan bacaan doa oleh ukhti Huda Humairah.
Di kesempatan ini juga pihak MHTM selaku penganjur program, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada muslimah yang hadir untuk sama-sama memeriahkan seminar. Diharapkan semoga seminar ini dapat menyedarkan umat Islam khususnya para muslimah akan agenda puak kuffar dalam isu kecantikan. Wallahu ’alam.