Diskusi Wanita MHTM: Eidul Adha: Pengorbanan dan Kemenangan Hakiki

BANDAR BARU BANGI 21 Nov :  Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah berjaya menganjurkan Diskusi Wanita bulanan bertempat di Bilik Seminar Khilafah Centre, Seksyen 7 bertajuk “Eidul Adha: Pengorbanan dan Kemenangan Hakiki”.

Objektif Diskusi Wanita pada kali ini adalah bertujuan untuk memberi informasi dan kesedaran kepada umat Islam khususnya muslimah bahawa Islam adalah merupakan agama yang syumul dan mampu menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku pada hari ini. Diskusi ini juga menekankan persoalan bebanan hukum syarak yang tertaklif di bahu setiap muslimah seperti yang disyariatkan oleh Allah dan RasulNya.
 
Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik dikalangan muslimah setempat. Diskusi kali ini telah menghadirkan dua orang ahli panel iaitu Puan Fairus Abd Rashid sebagai panel pertama dan Ustazah Hajjah Ummu Hajar selaku ahli panel kedua.

Majlis selama tiga jam ini bermula pada pukul 9.00pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh adik Aisyah Sakinah, diikuti tayangan multimedia berkaitan pengorbanan dan tanggungjawab muslimah dalam menegakkan syiar Islam.

Majlis diskusi kali ini dikendalikan oleh moderator iaitu Cik Syamsiyah. Bersesuaian dengan tajuk diskusi iaitu “Eidul Adha: Pengorbanan dan Kemenangan Hakiki”, pusingan pertama dimulakan dengan soalan yang dikemukakan oleh moderator kepada Puan Fairus selaku panelis pertama mengenai pengertian sebenar Eidul Adha dan iktibar  kisah pengorbanan Nabi Ismail. Beliau juga diajukan soalan berkenaan dengan penetapan tarikh Eidul Adha yang sering menjadi kekeliruan umat Islam hari ini.

Dalam penjelasan tersebut, beliau menjelaskan bahawa ‘Eidul Adha adalah suatu ibadah yang bermula dengan takbir pada malam 10 Zulhijjah, solat sunat disiang harinya dan diikuti dengan ibadah korban sehingga kepada hari 13 Zulhijjah. Ibadah korban ini adalah iktibar daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail Alaihi Sallam.  Kisah ini mengajar kita supaya selalu metaati semua perintah Allah SWT, meskipun terpaksa mengorbankan sesuatu yang paling kita cintai. Puan Fairus juga menerangkan bahawa ibadah Haji merupakan ibadah yang dituntut semasa Eidul Adha. Haji sebenarnya melambangkan konsep “ummatun wahidah”, tetapi malangnya, setelah ibadah Haji selesai, umat Islam kembali ke tanah air mereka yang telah dipisah-pisahkan oleh sempadan–sempadan palsu yang dikuasai oleh undang–undang ciptaan manusia. Hubungan yang dicipta semasa mengerjakan ibadah haji di Makkah antara seluruh umat Islam berakhir begitu sahaja apabila mereka kembali ke tanah air masing-masing. Hakikatnya penciptaan sempadan–sempadan palsu ini bukanlah satu kebetulan atau satu kejadian yang berlaku secara semula jadi.

Konsep nasionalisme adalah asing kepada Islam kerana ia berdasarkan kepada keterikatan kepada sesebuah negara  seperti yang dicipta oleh kuasa-kuasa penjajah, sebaliknya, Islam mengikat manusia berdasarkan kepada aqidah, iaitu keimanan kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya Sallallahu Alaihi wa Sallam,” ujar beliau.

Puan Fairus seterusnya menegaskan bahawa sesungguhnya ulama seluruh madzhab (Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali) telah sepakat mengamalkan ru’yah yang sama untuk Eidul Adha. Ru’yah yang dimaksudkan adalah ru’yatul hilal untuk menetapkan awal bulan Zulhijjah, yang dilakukan oleh penduduk Mekah dan ru’yah ini kemudiannya menjadi rujukan di seluruh dunia. Itulah cara penetapan tarikh Eidul Adha berdasarkan kepada hadis dari Husain Ibn Al-Harits Al-Jadali, dia berkata,

Sesungguhnya Amir (Wali) Mekah pernah berkhutbah dan berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengamanatkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan ru’yah. Jika kami tidak dapat meru’yah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya meru’yah, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Dawud dan Ad-Daruquthni].

Pusingan pertama diteruskan dengan soalan yang ditujukan kepada Ustazah Hajjah Ummu Hajar. Beliau diminta menjelaskan tentang pengorbanan Rasulullah dalam mencapai kemenangan sebagaimana yang dilaungkan dalam takbir raya dan membandingkannya dengan kehidupan umat Islam hari ini. 

Ustazah Ummu Hajar menjelaskan bahawa pengorbanan Rasulullah adalah melaksanakan tugas menyampaikan Islam yang mulia kepada manusia sehinggalah akhirnya Islam sampai kepada kita pada hari ini. Allah Subhanahu Wa Taala telah menolong Rasulullah Sallahu Alaihi wa salam dan para sahabat sehingga mencapai kemenangan yang hakiki iaitu tertegaknya Islam di bumi ini. Mereka berjuang menegakkan Islam dan menyebarkan berita gembira kepada seluruh umat manusia. Namun, kehidupan umat Islam hari ini dilihat jauh daripada penghayatan Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Kehidupan umat Islam diatur oleh sistem yang bukan daripada Islam dalam pelbagai aspek kehidupan. Akibatnya, umat Islam menyambut Eidul Adha di seluruh dunia dengan tarikh yang berbeza. Ini berlaku apabila negara Islam dipecahkan menjadi negara-negara kecil dengan sempadan geografi yang dilukis penjajah. Lebih menyedihkan lagi, musuh Allah tidak berhenti membantai dan membunuh kaum Muslim serta mengeksploitasi kekayaan alamnya tanpa ada pembelaan dari para pemimpin umat Islam itu sendiri.

Atas dasar wahyu, Rasulullah telah membuat ketetapan Eidul Adha dan telah menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia dengan ketetapan tersebut. Justeru, atas dasar apakah ketetapan Eidul Adha yang dibuat oleh pemerintah sekarang? Atas dasar apakah pemerintah kaum Muslimin memecah-belah dan mencerai-beraikan kesatuan kita? Atas dasar apakah kaum Muslimin di seluruh dunia menyambut Eidul Adha pada hari yang berbeza-beza?,” tegas beliau.

Diskusi menjadi lebih hangat dengan perbincangan seterusnya dalam pusingan kedua oleh Puan Fairus. Selaku panelis pertama, beliau telah diminta untuk membentangkan realiti kehidupan umat Islam pada masa kini dan sebab-sebab semua itu berlaku.

Menurutnya lagi, umat Islam telah menjadi mangsa korban  kuffar Barat. Umat Islam ditindas, tanah umat Islam dirampas dan hak umat Islam dikebas. Itulah yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan dan negara-negara umat Islam yang lain. Tambahan pula, di suatu sudut lain, umat Islam turut menjadi  mangsa korban kepada penerapan idea sekularisme, budaya hedonisme dan pemikiran kapilatisme.

Kesannya, pelbagai masalah yang sangat kritikal berlaku di tengah-tengah umat seperti masalah gejala sosial, kemiskinan, kemunduran pemikiran dan sebagainya. Semua ini adalah disebabkan lunturnya ketaatan kepada perintah dan larangan Allah serta pudarpnya  semangat pengorbanan walaupun Eidul Adha disambut dengan meriah pada setiap tahun,” tambah beliau.
 
Dengan itu, Puan Fairus menyeru kepada para muslimah yang hadir pada diskusi kali ini untuk sama-sama berkorban demi mencapai kemenangan hakiki dan yakinlah dengan firman Allah:

Kerana sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan, Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, Dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap.” [TMQ alam Nasyrah (94): 5-8]

Panelis kedua Ustazah Hajjah Ummu Hajar pula melontarkan pendapatnya mengenai cara bagi umat Islam melaksanakan kewajipan demi mencapai kemenangan hakiki yang dilaung-laungkan.

Menurutnya lagi, untuk mencapai kemenangan yang hakiki, seluruh kaum muslim hendaklah segera kembali menerapkan semua aturan-aturan Islam yang sememangnya sesuai dengan fitrah manusia dalam semua aspek kehidupan. Sudah selayaknya kaum muslim meninggalkan pelbagai aturan kufur (sekularisme) yang menyengsarakan umat manusia. Jadi, untuk mencapai tujuan itu, umat Islam wajib mengembangkan dakwah dengan istiqamah  dan tanpa rasa putus asa. Umat Islam harus sedar bahawa dakwah adalah sebahagian daripada ibadah (pengabdian) kita kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Dakwah yang dilakukan mestilah dalam rangka untuk mengubah pemikiran umat Islam  yang jauh dari Islam supaya mematuhi setiap perintah Allah dan menjauhi larangannya, agar seluruh hidupnya hanyalah untuk Allah dan diharapkan semoga umat Islam bersedia untuk membangunkan semula Khilafah yang telah dijanjikan oleh Allah itu dengan harta dan nyawa mereka,” ujarnya lagi.

Pihak MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua hadirat yang menjayakan Diskusi wanita pada bulan ini.  Semoga kehadiran puan-puan akan di kir sebagai satu amal soleh dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.  Wallahu ‘alam.