Doa rentas agama bercanggah dengan prinsip Islam

Berita:

Penganut lima agama dan kepercayaan berkongsi pentas di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban, hari ini bagi menjayakan Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian dengan membacakan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Lima wakil memperdengarkan doa kepada 300 hadirin membabitkan penganut Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh.

Sumber: hmetro.com.my

Komentar:

Amalan berdoa rentas agama ini bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Walaupun hal ini jarang berlaku namun amalan seperti ini pernah dilakukan ketika peristiwa kehilangan pesawat MH370. Sebelum itu lagi, Marina Mahathir yang sudah dikenali berpemikiran sekular dan liberal, menganjurkan majlis doa bersama dengan tokoh agama Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain-lain bagi mendoakan kesihatan bapanya yang sakit ketika itu.

Bagi kaum muslimin, berdoa termasuk dalam salah satu ibadah mahdhah dan merupakan inti ibadah (mukhul ibadah). Adab dan waktu-waktu mustajab doa telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan juga telah banyak dibahaskan oleh para alim ulama’ muktabar. Ibadah mahdhah ialah amalan yang mesti terikat dengan kaifiyat yang khusus sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Seseorang tidak dibenarkan (diharamkan) sama sekali untuk mengubah, menambah atau mengurangi amalan yang termasuk dalam persoalan ibadah. Malah, kaum muslimin sesekali tidak boleh untuk mengikuti cara atau jejak langkah orang-orang kafir dalam beribadah kerana ini jelas merupakan satu kesyirikan kepada Allah SWT. Agama Islam berbeza dengan agama-agama lain, baik dalam hal Dzat yang disembah serta dalam aspek peribadatannya.

Sedangkan persoalan berdoa bersama-sama dengan penganut agama lain (doa rentas agama) hakikatnya tidak pernah diajarkan oleh Islam dan merupakan suatu amalan ibadah yang telah diada-adakan (bid’ah). Dalam hal ini, jelas bahawa amalan ini tertolak dan tidak diiktiraf oleh Islam sebagai suatu ibadah. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Siapa saja yang melakukan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Muslim].

Selain itu, berhimpun bersama-sama dengan penganut agama lain untuk beribadah (berdoa) telah meletakkan Islam seolah-olah sebaris atau setaraf dengan agama-agama lain. Hal ini sememangnya satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip kaum muslimin kerana jelas bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar dan diredhai oleh Allah SWT serta tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Allah SWT berfirman:

اِنَّ الدِّيۡنَ عِنۡدَ اللّٰهِ الۡاِسۡلَامُ

“Sesungguhnya agama yang diredhai Allah ialah Islam” [TMQ al-Imran (2): 19].

Bagaimana mungkin ketika seorang muslim yang yakin hanya Allah SWT sahaja yang wajib diEsakan, bersama-sama berdoa dengan penganut agama lain yang jelas tidak menyembah dan mensyirikkan Allah SWT. Allah SWT telah memerintahkan setiap muslim untuk berdoa hanya kepada-Nya. Sedangkan penganut agama lain baik ahlul kitab atau musyrik pula berdoa mengikut kepercayaan mereka sendiri dan doa mereka itu untuk selain daripada Allah SWT. Lalu apakah layak bagi seorang muslim berdoa bersama serta turut mengaminkan doa mereka yang mensyirikkan Allah SWT? Renungi firman Allah SWT yang telah memisahkan antara penyembahan dan peribadatan kaum muslim dengan orang-orang kafir, antara keimanan dan kekufuran dalam surah al-Kafiruun:

قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)

“Katakanlah, ‘wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku” [TMQ al-Kafirun (109):1-6].

Di samping itu, wujudnya amalan berdoa rentas agama ini tidak boleh lari daripada kesan pluralisme agama yang lahir melalui peradaban Barat yang Yahudi dan Kristian. Ia terkait rapat dengan agenda Barat dalam dialog antara agama yang cuba menyatakan bahawa semua agama di atas muka bumi ini sama (pluralisme). Disebabkan ‘akidah’ pluralisme agama ini maka terlahirlah ‘ibadah’ baru yang di antaranya  doa rentas agama. Baik dialog antara agama mahupun doa rentas agama, kedua-duanya sama-sama bahaya dan haram bagi kaum Muslimin dan ia merupakan salah satu strategi kuffar Barat untuk merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, umat Islam perlu berwaspada dalam setiap perbuatan mereka agar tidak terjerumus dalam perkara yang bercanggah dengan akidah Islam. Umat Islam juga perlu sentiasa peka dengan ancaman pluralisme yang dibawa oleh golongan liberal serta menolak setiap pemikiran mereka yang jelas bertentangan dengan Islam.

Affan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia