10 Prinsip Islam Hadhari + Prinsip 6M = Rakyat Jadi Pening

PUTRAJAYA, 17 April – Pendekatan prinsip 6M akan diberi tumpuan oleh semua agensi agama bagi memastikan agensi berkenaan serba boleh dan sentiasa memandang ke hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom hari ini.  Beliau berkata, prinsip 6M itu ialah Musyaratah (menepati syarat kejayaan) Mua’tabah (menghakis sifat-sifat buruk) Mu’aqabah (mengekalkan tindakan yang benar) Muraqobah (mengawal diri secara berterusan) Muhasabah (menilai diri) dan Mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh).   Dalam amanat sulungnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, katanya, prinsip ini adalah komitmen untuk melahirkan keseragaman ketetapan dan matlamat serta pendapat yang merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh semua agensi ini.  

Ia juga akan menjadi panduan untuk bersikap tegas dan jelas tanpa sebarang kompromi dalam perkara yang menjurus kepada kerosakan organisasi, kata beliau.  Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu katanya, beliau yakin prinsip itu dapat memperkukuhkan lagi agensi agama di negara ini.   Pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan digunakan untuk mengukur kejayaan pelaksanaan prinsip 6M itu. – BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia, 18/04/09

10 Prinsip Islam Hadhari + Prinsip 6M = Rakyat Jadi Pening

Ketika 10 Prinsip Islam Hadhari mungkin belum khatam kini muncul pula Prinsip 6M dengan slogan yang nampaknya bertujuan kononya untuk melahirkan sesuatu yang diharapkan terbaik bagi agensi agama di negara ini. Niat untuk memberikan sesuatu yang terbaik itu amatlah kita hargai, namun apakah kita akan dapat mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk Islam dan umat Islam jika dasar kepada negara ini masih kekal dengan acuan sekular? Kita ingin mengingatkan mereka yang berada di dalam agensi agama khususnya, mahupun pemerintah Islam yang berkuasa saat ini, bahawa menjadi kewajiban kalian semua untuk menerapkan Islam di seluruh peringkat kehidupan samada individu, masyarakat dan negara. Kuasa sudah ada ditangan kalian!

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ Al Baqarah (2) : 208].

Cetuskanlah apa sahaja prinsip samada 6M ataupun 1001M, namun jika Islam tidak menjadi dasar kepada negara maka mana mungkin kita akan mendapat keredhaan disisNya. Suatu cabaran kepada menteri baru yang menjaga urusan agama di Malaysia, apakah anda bersedia untuk mengambil salah satu prinsip 6M yang anda perkenalkan iaitu “Muhasabah” untuk anda memuhasabah pemerintah bagi menerapkan Islam secara keseluruhan dan jika anda melakukannya insyaAllah ganjaran besar akan menanti anda. Sabda Nabi SAW,

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].