Rebut Urus Air Rakyat Jadi Mangsa

Isu air di Selangor kini menjadi bahan perang politik di antara kerajaan parti memerintah, UMNO dan pembangkang. Ia bukan sahaja dimainkan oleh pihak pemerintah bagi meraih perhatian rakyat, malah ia turut digunakan oleh pembangkang untuk menangkis segala tipu-muslihat UMNO di dalam usaha untuk mencalarkan imej Pakatan Rakyat di Selangor. Sehingga saat ini, tuduh-menuduh terus berlaku di antara kerajaan dan pembangkang. Pada satu sisi, kerajaan parti memerintah, UMNO menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak cekap menguruskan bekalan air di Selangor tetapi pada masa yang sama, enggan memberikan hak penuh kepada kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat untuk mengambil-alih syarikat-syarikat bekalan air di Selangor.

Di dalam pada itu, pihak kerajaan terus cuba menakut-nakutkan rakyat Selangor dengan mendakwa Lembah Klang bakal mengalami krisis air sekiranya “masalah” ini tidak diselesaikan dengan segera dengan harapan ia akan menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat. Di pihak kerajaan negeri Selangor pula, mereka cuba melakukan pelbagai usaha untuk menangkis segala permainan politik kotor UMNO itu sambil mengusulkan agar syarikat-syarikat konsesi air Selangor diambil alih oleh kerajaan negeri, dengan harapan dapat “merakyatkan bekalan air” untuk semua. Di antara syarikat konsesi air di Selangor yang dimaksudkan adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS. Pada ketika ini, kesemua syarikat-syarikat tersebut di bawah pengurusan ‘orang-orang pro-UMNO’.

Perebutan hak menguruskan air di Selangor ini tidak menguntungkan rakyat. Pengurusan bekalan air ini tidak seharusnya dijadikan isu untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Pihak yang memulakan isu ini sebenarnya adalah pengkhianat sebenar kepada rakyat. Air adalah sumber kehidupan yang harus dikongsi bersama sambil diagih dan diuruskan oleh Negara. Ia harus bebas daripada sebarang permainan politik. Rakyat mesti diutamakan. Walaupun kerajaan negeri Selangor di bawah teraju Tan Sri Khalid telah memberikan bekalan air sebanyak 20 meter padu secara percuma kepada rakyat, ia sebenarnya masih belum mencukupi. Apa yang harus dilaksanakan adalah, air mesti diberikan kepada rakyat secara percuma. Sesebuah kerajaan yang memerintah mesti menampung kos pengurusan perbekalan dan bukan menjadikan urusan membekalkan air itu sebagai satu perniagaan.

‘Menjual Air’ adalah satu perniagaan yang menguntungkan kerana ia adalah perniagaan yang sudah dijamin ada pelanggan. Jika bukan perniagaan, mana mungkin ada keuntungan. Jadi, tidak hairanlah jika berlaku rebutan di dalam hal menguruskan bekalan air di Selangor. Di dalam Islam; Air, bahan api dan tanah merupakan hak milik umum yang perlu dikongsikan oleh semua umat sebagaimana sabda Rasulullah daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api”
[HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan,

“wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api”
[HR Ibnu Majah].

Oleh itu, pengaturan yang perlu dilakukan oleh pemerintah ialah dengan memastikan seluruh rakyat mendapat hak mereka ini secara percuma dan berkualiti. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah rakyat terpaksa membayar bukan sahaja harga kos, tetapi keuntungan yang mesti diraih oleh syarikat pengurusan air padahal air adalah hak mereka tetapi malangnya kualiti air pula amat mendukacitakan. Oleh kerana itu, kaedah pengurusan air perlu dikembalikan kepada hukum syarak, malah segala permasalahan serta pengurusan negara haruslah dikembalikan kepada hukum syarak dan bukan berlandaskan manfaat semata- mata.

Sumber : Berita Harian Online, 09/08/12