Dosa Pemimpin Arab : Rakyat Ghaza Makan Rumput
Kesengsaraan mereka turut disahkan pegawai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan ramai penduduk kelaparan.
Bukan sekadar tidak ada keimanan, malah sedikit belas kasihan pun tidak ada bagi pemimpin-pemimipin ini. Mereka langsung tidak ada rasa bersalah dengan apa yang menimpa saudara-saudara kita ini, walaupun mata mereka menyaksikan semua ini.
Rasulullah saw bersabda,
“Tidaklah beriman dengan ku orang-orang yang tidur dengan perut kenyang sedangkan dia mengetahui jirannya sedang kelaparan” [HR Bukhari dan al-Hakim].
Sebagaimana Rasulullah pernah berpesan, perumpamaan umat Islam yang saling mencintai satu sama lain, murah hati kepada satu sama lain, bersikap baik terhadap satu sama lain adalah seumpama satu badan. Jika ada bahagian tubuh yang mengadu kesakitan, bahagian-bahagian lain tubuh akan turut berjaga sepanjang malam. Hal ini menunjukkan betapa perlunya kita membantu sesama umat Islam. Apatah lagi bagi pemimpin di mana di atas bahu mereka terpikul amanah untuk menjaga rakyat.
Keadaan buruk yang melanda umat Islam pada masa kini adalah kerana tidak adanya ‘pemeliharaan’ dari pemimpin ke atas mereka. Pada masa pemimpin sedang enak melahap juadah masing-masing, sedikit bantuan pun tidak diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.
Pemimpin-pemimpin Arab yang tinggal cukup berdekatan dengan Palestine hanya asyik memerhatikan sahaja nasib kaum Muslimin, tanpa membantu sedikit pun. Mereka telah terserang penyakit yang Rasulullah namakan sebagai “al-wahn” iaitu cintakan dunia dan takut mati. Mereka takut untuk membebaskan tempat suci kaum Muslimin di Palestin dan mereka lebih memilih untuk terkurung dan terikat dengan konsep perkauman gaya baru iaitu negara sempadan berasaskan kaum (territorial-nation state).
“Apa yang kami mampu lakukan ialah makan rumput. Hanya ini pilihan yang ada bagi memastikan kami sekeluarga dapat hidup,” kata Amra Abu, ibu lapan anak kepada akhbar Britain, The Times, sambil menuding ke arah rumput hijau yang tumbuh liar di tepi jalan raya Gaza. Setiap pagi, beliau dan anak perempuannya, Rabab, 12, mengutip rumput di sepanjang jalan raya yang didakwanya selamat dimakan. Amra, 23, turut mengemis bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan api. “Saya sudah lupa bilakah kali terakhir dapat makan buah-buahan,” kata Rabab yang memakai pakaian lusuh dan seluar jeans koyak.
Penderitaan Amra antara kisah sedih yang terus menyelubungi Semenanjung Gaza selepas Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza yang menempatkan kira-kira 1.6 juta penduduk. [Berita Harian 17/12/2008]
Penderitaan yang dialami oleh kaum Muslimin ini terjadi tatkala pemimpin negara-negara Arab Teluk adalah pengeluar terbesar minyak dunia, dan tatkala mereka megah dengan pembinaan bangunan pencakar langit nombor satu di dunia dengan hasil kekayaan yang diraih dari minyak. Mereka mengejar kemewahan dunia hingga tidak lagi memandang kepada saudara mereka di Ghaza yang memakan rumput untuk hidup.
Usaha umat untuk menegakkan Khilafah adalah amat mendesak bagi menyelamatkan kaum Muslimin di seluruh dunia. Penyatuan umat di bawah satu payung kekhilafahan dan penghapusan batasan sempadan negara berasaskan kaum, pastinya akan memudahkan penyaluran bantuan dan apa jua keperluan kaum Muslimin di serata dunia. Insya Allah sistem Khilafah ini akan pasti kembali kerana ia adalah janji Allah ke atas kita semua. Cumanya, kita mestilah bersungguh-sungguh untuk menjadi penegaknya.