Ekosistem Halal?

Malaysia Tumpu Wujudkan Ekosistem Halal

ALOR SETAR 28 Mei — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri lebih menumpukan kepada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ekosistem halal dan tidak hanya hab halal bagi produk makanan.
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, Malaysia boleh dikatakan agak ketinggalan dalam pengeluaran produk makanan halal kepada beberapa negara terutama Thailand tetapi kerajaan tidak mahu fokus halal hanya kepada produk makanan sahaja tetapi juga produk lain.

Beliau berkata, berbanding negara lain yang produk halal mereka adalah makanan, Malaysia turut memiliki produk-produk kosmetik dan farmaseutikal yang halal selain proses pembuatan produk halal adalah mematuhi syariah.

“Selain produk dan pembuatan produk, kita juga pastikan proses seperti pembungkusan dan logistik mematuhi syariah. Produk-produk halal kita adalah 100 peratus halal dalam aspek logistik…dari kilang sampailah kepada pengguna.

“Produk (halal) kita mempunyai piawaian yang tinggi dan diterima baik di seluruh dunia. Kerana itu pasaran halal kita berkembang dengan pesat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Industri Halal Peringkat Wilayah Utara di sini hari ini. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia Online, 28/05/2010

Ekosistem Halal?

Kalau dulu Malaysia semasa era Pak Lah sibuk dengan Hab Halal dan Islam Hadharinya, sekarang idea tersebut telah berkubur setelah Pak Lah turun dari jawatan. Tiba-tiba muncul idea baru untuk mengadakan ekosistem halal. Idea ini kelihatan macam baik namun setelah ditelusuri, rupanya ia tidak lebih dari menyediakan makanan halal dan prasarana yang halal yang terbatas. Hakikatnya, Islam memandang bahawa masyarakat itu terdiri komponen individu, peraturan, pemikiran dan perasaan.

Oleh itu, untuk membentuk ‘ekosistem halal’ yang hakiki, maka segala hukum-hakam yang mengatur kehidupan manusia itu mestilah disahkan halal oleh Islam. Sebagai contoh,  peraturan pemakaian tudung perlulah dikuatkuasakan, judi hendaklah diharamkan, isteri-isteri menteri perlulah memakai tudung, hukum-hakam di mahkamah perlulah sesuai dengan aturan Islam dan ekonomi berasaskan riba wajib dihancurkan. Dari segi pemikiran pula, rakyat yang ada hendaklah dididik dengan didikan Islam, bukannya didikan kapitalisme. Pendek kata, Islam haruslah diterapkan secara menyeluruh dan asas-asas kehidupan non-Islami yang mendasari kehidupan kita hari ini mestilah dihapuskan.

Barulah idea ‘ekosistem halal’ itu benar-benar terealisasi!!!